Friday, December 17, 2010

Hukum Karma? Harun jatuh, Khir pun jatuh

Oleh H FANSURI

Jangan-jangan negeri Selangor ini memang ada sumpahan agaknya kepada Umno. Bekas-bekas menteri besar Selangor Umno sebelum ini banyak yang terpalit dengan amalan penyelewengan.

Kita semua jangan lupa dengan peristiwa Kg Berembang. Dan, jangan lupa bahawa sebelum itu, Khir pernah menghadiahkan penyapu kepada salah seorang pegawai bawahannya secara terbuka. Anugerah penyapu kepada majlis kerajaan tempatan itu itu dilihat sebagai suatu penghinaan.

Menurut Sulalatus Salatin, hasil perjanjian kontrak sosial yang termeterai antara Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana, anak-anak Melayu itu jangan diberi malu. Jika penguasanya tidak pedulikan hal ini, maka kerajaannya akan diterbalikkan Tuhan.

Khir Toyo telah melanggar pantang-larang ini dengan memberi malu dan aib ke atas rakyatnya sendiri. Hari ini, selepas menerima kekalahan di Selangor sehingga beliau tenggelam dalam arus deras tsunami politik 2008, kini beliau berdepan dengan dakwaan lainnya.

Dakwaan ke atas Khir

Khir Toyo akhirnya meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang setelah media arus perdana sudah banyak menghumban caci-maki ke atas pentadbiran Selangor di bawah Pakatan Rakyat sebelum ini.

Khir melunas wang ikat jamin sebanyak RM750,000 atas dakwaan memiliki dua lot tanah dan sebuah rumah di No.8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 pada 29 Mei 2007 termasuk untuk isterinya.

Antara lain, laporan menyebut bahawa tindakan itu dilakukan di kediaman rasmi Menteri Besar, Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, di sini pada 29 Mei 2007 ketika Khir masih memegang jawatan Menteri Besar.

Wang ikat jamin sebanyak tiga suku juta itu menyebabkan saya terkenang usikan nakal seorang teman, “Kalau tak percaya Khir itu memang kaya, upah orang-orang untuk culik mana-mana ahli keluarganya. Jangan-jangan, sejuta pun dia boleh bagi kalau diminta oleh penculik itu.”

Bagaimanapun, blognya www.drkhir.com menjelaskan, kedudukan beliau dalam Umno sebagai anggota jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Selangor, itu diserah kepada pimpinan parti. Khir belum sedia berundur daripada Umno kerana parti itu seolah-olah tonggak yang menyelamatkan orang-orang parti.

Sikap ini sama seperti Samy Vellu yang kalah dalam pilihan raya 2008. Samy hanya meletak jawatan di dalam kerajaan sebagai Menteri Kerja Raya, tapi bukan jawatan Presiden dalam MIC.

Harun jatuh, Khir pun jatuh

Subky Latiff pernah menulis dalam Mastika berjudul, 'Harun jatuh, Ali pun jatuh'. Ini bermula dengan 'kegilaan' Harun Idris, bekas MB Selangor yang menjemput Muhammad Ali, bertinju di Kuala Lumpur dengan Joe Bugner pada 1975 . Hal ini juga terkait dengan tuduhan rasuah yang terkaitan Bank Rakyat.

Ali jatuh dan perlawanan tinju ini tidak menguntungkan. Akhirnya, Harun terhukum penjara 8 tahun.

Pada 1 Mac 1977, Harun dipenjarakan di Penjara Pudu selama tiga setengah tahun yang patutnya tamat pada 1984. Beliau bebas pada 1981 selepas Dr Mahathir menjadi PM.

Harun dipenjarakan kerana Hussein Onn tegas. Penyokong Harun meminta jasa baik Tunku agar Harun dibebaskan. Tapi, Harun memalukan Tunku kerana gagal membela Melayu hingga tercetus 13 Mei.

Rusuhan di Kg Baru, bermula di Rumah MB Selangor di hujung Jalan Raja Muda Abdul Aziz. Namun, hal itu dikatakan memberi kesempatan kepada Harun untuk menarik orang Melayu ke kota dan mereka dibenarkan membuat rumah setinggan di Kuala Lumpur, PJ. Kerajaan Selangor juga meluluskan tapak rumah untuk setinggan sekitar Ampang, Ulu Kelang dan kampung Datuk Keramat.

Maka, hari ini, Khir sebelum kejatuhannya mahu mensifarkan setinggan di Selangor. Sejarah kehadiran setinggan di Selangor ini hendaknya jangan dilupakan orang, termasuk Khir.

Bagaimana Harun jatuh? Adakah ia sama atau hampir sama dengan Khir? Menurut ceritanya, walaupun Harun memalukan Tunku dengan tindakannya yang dikatakan gagal membela Melayu pada 1969 tetapi Tunku sempat menasihati Harun agar menerima hukuman penjara itu dan kemudian membuat rayuan.

Rayuan itu dimajukan kepada Hussein, tapi seperti biasa, ia ditolak. Pada 1981, Yang Dipertuan Agong membuat pengampunan. Laporan penjara dan jasa Harun disemak. Maka, Harun dibebaskan Lembaga Pengampunan sempena Jubli Perak Merdeka.

Pembebasan itu membuatkan ramai tertanya, kalau beliau diampuni raja, (ini membelakangi mahkamah dan hakim?) maka apakah dosa-dosa lain boleh diampunkan?

Harun dirayu kembali bergiat dalam politik. Tetapi, Harun tidak boleh bertanding, kecuali diampunkan. Jika Harun diampun, beliau mungkin dilantik semula sebagai MB, Menteri, malah PM.

Ketika kes Khir heboh, beliau mungkin bernasib baik kerana Najib tidak segagah Hussein yang tidak hiraukan rayuan Harun di Penjara Pudu.

Rakyat sedar bahawa Najib lemah kerana 'dikuasai' Rosmah; PM de facto, Khir ada harapan berkuasa semula bila-bila masa setelah diampunkan Najib yang lemah itu.

Bagaimanapun, ingatlah bagaimana kuasa rakyat yang keramat menentukan tamatnya politik Harun itu. Ketika Umno diharamkan akibat bantahan Umno 11, beliau menyertai Semangat 46.

Dalam pilihan raya kecil Ampang Jaya pada 1989, Harun bertanding di sana sementara BN / MCA pula diwakili Ong Tee Keat. Harun tewas kerana citranya sebagai pejuang Melayu 13 Mei luntur. Dan, kaum Cina masih ingat peranannya dalam 13 Mei.

Khir mungkin selamat kerana Najib Razak dilemahkan Rosmah dan PM itu tidak segagah Hussein Onn yang menolak rayuan Harun di penjara. Tapi umat masih ingat penghinaan Khir dengan penyapu. Umat masih terkenang ngauman jengkaut besi yang meruntuhkan surau Kg Berembang.

No comments: