Friday, December 17, 2010

Sudut Pidato; perlu dihantar teks ucapan kepada HEP atau tidak?

Oleh H FANSURI

Baru-baru ini, ahli Parlimen Padang Terap Nasir Zakaria membangkitkan beberapa persoalan mengenai hal-ehwal universiti. Antara isu yang dibangkitkan ialah...

Pertamanya, isu kebajikan mahasiswa yang mana ia terkait dengan hal pinjaman atau biasiswa yang tidak mencukupi. Hal ini berlarutan sejak dahulu sehingga menyebabkan mahasiswa terpaksa bekerja secara sambilan untuk mencari duit poket lebih.

Dalam keadaan harga barang semuanya naik ini, mahasiswa perlukan banyak wang dan semua itu telah menyebabkan wang perbelanjaan seterusnya berbaki dalam RM600 sahaja.

Turut dibangkitkan syor supaya kementerian melihat kadar perbelanjaan ini mengikut zon, oleh kerana kadar perbelanjaan yang berbeza-beza bagi setiap kampus universiti.

Misalnya, perbelanjaan untuk sewaan kolej kediaman, desasiswa dan asrama tidak sama antara kampus universiti, tetapi jumlah peruntukan wang PTPTN itu sama sahaja kepada mahasiswa di semua kampus.

Katakan yuran sewa kolej kediaman bagi universiti di Lembah Kelang adalah RM700 semester. Dalam masa yang sama, yuran kolej kediaman di kampus utara adalah RM400 semester, maka wang PTPTN itu tetap juga diagihkan dengan kadar yang sama bagi semua mahasiswa.

Hal ini berlaku pada zaman saya. Tapi, adakah kaedah agihan jumlah biasiswa ini masih kekal? Adakah agihan ini adil menurut tafsiran agama, khasnya Islam?

Walhal kita diberitahu bahawa keadilan dalam Islam itu tidak semestinya agihan sama rata tapi ia mesti diagih, dibedak-bedakkan dengan keperluan seseorang itu.

Secara akal rasional, mahasiswa yang terpaksa berdepan dengan kadar sewaan yang lebih tinggi, perlu menerima biasiswa dan pinjaman yang lebih tinggi juga.

Hal-hal yang semacam inilah yang sepatutnya dibangkitkan oleh kalangan mahasiswa itu sendiri dalam Sudut Pidato atau pun di Parlimen Mahasiswa untuk membentangkan belanjawan pelajar itu sendiri.

Jika Parlimen Mahasiswa itu mempunyai salinan teks handsard Parlimen sendiri, maka mudah bagi kita untuk menyemak semula perjalanan usul bahasan yang sedang berlangsung dalam kalangan pelajar itu.

Sudut Pidato, Parlimen Mahasiswa terbatas

Tetapi, maklumbalas yang kita terima di Parlimen baru-baru ini agak mengecewakan. Misalnya, ketika Nasir bangkitkan isu kebebasan akademik yang melibatkan Parlimen Mahasiswa dan Sudut Pidato maka di sana terbitlah juga beberapa halangan baharu dan lama.

Antaranya, perbahasan di Parlimen Mahasiswa itu yang mungkin juga dibatasi oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku). Termasuk juga dalam hal ini, ialah hal pelaksanaan Sudut Pidato yang dibatasi undang-undang atau peraturan-peraturan yang diada-adakan oleh pihak universiti itu sendiri.

Kalau kita mahu bersungguh-sungguh mengukuhkan Parlimen Mahasiswa, maka mahasiswa ini perlu bersuara keras untuk menuntutnya agar perbahasan itu boleh dirakam atau ditulis minit mesyuaratnya seperti mana amalan parlimen biasa hari ini yang ada hansard parlimen.

Teks Sudut Pidato perlu disahkan oleh HEP?

Saya perlu ceritakan daripada mula, bagaimana wujudnya desas-desus mengenai sudut pidato ini yang ada teks. Cerita ini bermula dengan kunjungan dua mahasiswa; Hilman Idham dan Firdaus ke rumah Ahmad Lutfi Othman di Ampang.

Dalam kunjungan itulah, Hilman, Presiden Kami (Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen) bercerita mengenai sulitnya beliau dan rakan-rakan mengambil bahagian di Sudut Pidato di UKM itu.

Saya terkejut dengan hal yang baharu saya dengar itu. Dan, bualan berhubung hal itu berlalu begitu saja tanpa ada apa-apa tindakan selanjutnya.

Maka, suatu hari saya terpandang kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Saifuddin Abdullah yang merungut bahawa tiada mahasiswa pun yang menggunakan sudut pidato itu selama ini. Jadi, jika ia digunakan sekali pun, tentu sahaja ketika pilihan raya kampus.

Maka, hal itu berbangkit sekali lagi di dalam Facebook Saifuddin. Kali ini, barulah saya dapat ceritakan hal yang sebenarnya. Ternyata, beliau terkejut kerana tidak tahu bahawa ada peraturan sedemikian.

Maka, dalam acara forum ketika Saifuddin digandingkan dengan mantan Naib Canselor UiTM Ibrahim Abu Shah, hal sudut pidato yang dibataskan teks yang perlu disahkan HEP ini turut dibangkitkan juga.

Maka, kata Ibrahim seperti biasa universiti perlu kawal lidah percakapan pelajar agar isu-isu berbangkit itu tidak mengganggu ketenteraman awam. Ini pendirian 'old school' (sekolah pemikiran lama).

Orang-orang seperti Ibrahim tentu sahaja lebih suka memilih untuk menyekat, apatah lagi beliau sendiri punya sejarah berdepan dengan kemaraan pelajar-pelajar radikal ini.

Bagaimanapun, beberapa bulan lalu saya dihubungi orang-orang dalam UKM sendiri yang menegur hal kritikan saya terhadap keterbatasan sudut pidato dengan teks yang perlu disahkan oleh HEP ini.

Si fulan ini mendakwa bahawa, tiada kes teks yang perlu disahkan oleh HEP UKM itu. Wallahu 'alam. Saya sendiri menjadi lebih keliru mengenai kedudukan ini. Adakah mereka menafikan kewujudan hal itu, gara-gara kritikan Saifuddin terhadap tindakan HEP UKM itu?

Dan, apabila Nasir Zakaria baru-baru ini bertanya kepada kementerian di Parlimen berhubung hal teks sudut pidato yang perlu disahkan oleh HEP itu, maka jawapan di pihak kementerian adalah...

"Hal ini semua diserahkan buat kampus masing-masing," kata kementerian. Ertinya, universiti berhak untuk memutuskan sama ada mereka mahu sahkan teks ucapan sudut pidato atau pun tidak.

Jadi, kita ingin bertanyakan HEP UKM, sebenarnya wujudkah teks sudut pidato yang mesti diserahkan kepada HEP untuk disahkan sebelum mahasiswa itu membacanya di sudut pidato?

No comments: