Saturday, December 18, 2010

Nota buat Umi Hafilda, ada apa dengan wanita Maghribi?

Oleh H FANSURI

"Seluruh dunia ini adalah perhiasan dan perhiasan terbaik di dunia ini adalah wanita yang solehah." (Riwayat An-Nasa'ie dan Ahmad).

Ya, dunia ini adalah perhiasan untuk santapan mata. Demikian sabda nabi. Kemudian baginda Rasulullah s.a.w menambah sabdanya, "...dan sebaik-baik perhiasan di dunia ini adalah wanita solehah..."

Perkataan solehah di sini bukanlah diukur melalui kecantikan rupa paras wajahnya tetapi sikapnya, akhlaknya dan kesantunannya yang menjadi ukuran perhitungan dan perkiraan Rasulullah s.a.w.

Sebab itu juga, Rasulullah s.a.w mengajarkan kita bacaan doa ketika berdandan, berhias di cermin, "Ya Allah, sebagai mana Kau indahkan rupa paras luaranku, maka indahkanlah akhlak (rupa paras dalamanku."

Apabila nabi mengajarkan perihal 'santun' (berakhlak baik) dan 'pantun' (berbicara baik), maka baginda juga seorang yang cantik akhlaknya dan tulus indah bicaranya. Rasulullah s.a.w punya gaya berbahasa yang sangat puitis dan indah sekali.

Dalam hadis lain, kita menemui catatan Aisyah yang mengesahkan keindahan akhlak baginda itu sendiri. Perakuan Aisyah, "Adalah akhlak baginda Rasulullah s.a.w itu adalah (gambaran cerminan) al-Quran itu sendiri."

Wanita solehah perhiasan dunia, bidadari perhiasan akhirat

Tetapi, hari ini perhiasan di dunia adalah ukuran cantik rupa paras wanita. Orang-orang bukan Islam ini telah berani memperagakan tubuh kaum perempuan itu sendiri. Ratu cantik itu diperkenal, dipersembah dengan aksi yang mengghairahkan ke serata dunia.

Maka, inilah sepucuk nota ringkas untuk kita bawa-bawa berbincang dengan Umi Hafilda Ali, ketika mengirim pesan buat saudaranya Azmin Ali berhubung malu kepada Allah dan malu kepada malaikat.

Oleh kerana Umi Hafilda ada rasa malu kepada Allah dan malu kepada malaikat, maka dia tentu juga beriman kepada Allah dan malaikat yang terhitung dalam perkara-perkara ghaib. Orang beriman sudah tentu malu kepada Allah, kerana nabi berpesan, bahawa, "Sifat malu itu separuh daripada keimanan."

Ini bererti dia yakin kepada Tuhan dan beliau percaya syurga dan isinya yang dipenuhi bidadari sebagai perhiasan syurga, setelah wanita solehah itu hiasan dunia. Semoga beliau merenung nas di bawah ini.

Kisah bidadari, perhiasan di syurga

"Di sisi mereka ada bidadari-bidadari yang tidak liar pandangannya dan jeli matanya, seakan-akan mereka adalah telur (burung unta) yang tersimpan dengan baik." (Ash-Shaaffaat: 48-49)

"Dan pada sisi mereka (ada bidadari-bidadari) yang tidak liar pandangannya dan sebaya umurnya." (Shaad: 52)

"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka, dan tidak pula oleh jin." (Ar-Rahmaan: 56)

"Seakan-akan bidadari itu permata yakut dan marjan." (Ar-Rahmaan: 58)

"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik- baik lagi cantik-cantik." (Ar-Rahmaan: 70)

"(Bidadari-bidadari) yang jeli, putih bersih, dipingit dalam rumah." (Ar-Rahmaan: 72)

"Dan ada bidadari-bidadari bermata jeli, laksana mutiara yang tersimpan baik." (Al-Waaqi'ah: 22-23)

"Sesungguhnya Kami ciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung, dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya." (Al-Waaqi'ah: 35 - 37)

Kemudian, Ummu Salamah r.a bertanya kepada baginda, "Ya Rasulullah, jelaskanlah kepadaku firman Allah tentang bidadari-bidadari yang bermata jeli."

Baginda bersabda, "Bidadari yang kulitnya putih, matanya jeli dan lebar, rambutnya berkilau seperti sayap burung nasar."

Saya berkata lagi, "Ya Rasulullah, jelaskan kepadaku tentang firman Allah, "Laksana mutiara yang tersimpan baik." (Al-Waqi'ah: 23)

Baginda bersabda, "Kebeningannya seperti kebeningan mutiara di kedalaman lautan, tidak pernah tersentuh tangan manusia." 

Akhir pesan buat Umi Hafilda

Dan, banyaklah lagi pesan kita berhubung kebaikan wanita solehah perhiasan dunia dan bidadari dalam syurga itu. Ketika Umi Hafilda menyeru saudaranya agar malu kepada Allah dan malaikat, pesanan itu baik dan moga dia cuba bandingkan diri dengan wanita solehah zaman nabi dan bidadari di syurga.

Tapi, apabila dia meminta saudaranya kembali bertaubat ke pangkal jalan dan semua itu terkait dengan politik, maka kita ingin berpantun, "Nasi lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan, buang emak buang abangnya, kerana politik hamba ikutkan."

Patutlah mutakhir ini ada gesaan untuk lelaki Malaysia menikahi wanita Maghribi. Saya tidak bersetuju kerana wanita Maghribi belum tentu perhiasan dunia dan bidadari syurga (kita pun bukan soleh sangat).

Tetapi ketika mengenangkan Umi Hafilda, kelam pandangan sebentar dan hati ini menjadi berbalah jua adanya... mungkin gesaan memilih gadis Maghribi itu ada benarnya. Ini syor BN juga, bukan PR. Tidak tahulah apa pandangan Umi Hafilda dalam isu ini.

No comments: