Monday, January 10, 2011

Baha Zain seru 'MBM', letak di bawah Majlis Raja-Raja Melayu, (selamatkan Interlok)

Oleh H FANSURI

"Terakhirnya, saya ingin melontarkan cadangan agar forum ini merayu Majlis Raja-Raja Melayu menubuhkan sebuah Majlis Bahasa Melayu, di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong, sebagai wakil daripada Raja-Raja Melayu yang menjadi pelindung atau 'custodian' agama Islam, adat-istiadat Melayu, dan bahasa Melayu di negeri-negeri dan negara Malaysia.

"Majlis terhormat ini menjadi badan rujukan tertinggi dan bertanggungjawab memberi nasihat dan perlu dirundingi dalam hal ehwal pembangunan Bahasa Melayu dan pembentukan dasar-dasar penting kerajaan yang menyangkut kemajuan Bahasa Melayu," kata Dato' Baharuddin Zainal (Baha Zain).

Beliau berkata demikian dalam Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa di Pulau Pangkor, Perak pada 1 Januari lalu. Adakah Baha Zain sudah tidak lagi mempercayai Umno dan Barisan Nasional dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu yang tercantum jiwa, ruh dan semangatnya sebagai yang di sebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan?

Terhadap soalan ini, kita perlu menelaah ucapan beliau berhubung kedudukan bahasa Melayu di sisi BN dan Umno.

Rakyat mesti berani bertanya Barisan Nasional

"Beberapa tahun kebelakangan ini kita sibuk lagi bercakap tentang bahasa Melayu. Terasa aneh juga, tetapi perlu. Kalau Prof Khoo Kay Kim dan Dr Teo Kok Seong bercakap tentang status serta penggunaan BN nampak macam ironi; jika penulis dan sasterawan berbincang mengenai bahasa Melayu terasa macam tragedi; tetapi kalau hari ini ramai pemimpin politik menyokong kepentingan bahasa Melayu nampak macam komedi sedikit.

"Dan munculnya wira-wira bahasa Melayu selepas Tun Dr Mahathir tidak berkuasa nampak macam ramainya 'opportunist' di negara ini. Walaubagaimanapun, kita perlu terus bercakap dan membahasnya semula," kata beliau lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau bertanya lagi, "Apakah bahasa Melayu hanya berhenti di sekolah menengah sahaja? Apakah yang terjadi dengan impian kemerdekaan dan semangat dekad 70-an yang memperjuang Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai kemuncak pendidikan ilmu pengetahuan dalam Bahasa Melayu?

"Ini harus saudara sekalian pertanyakan kepada Barisan Nasional yang berkuasa sekarang dan mencari segera jawapannya. Ini tugas Pena dan Gapena. Kita serahkan tugas dan tanggungjawab penting ini kepada kedua-dua badan bahasa, persuratan, budaya dan intelektual yang gagah ini,"
tambah beliau lagi.

Apakah beliau melihat bebanan tugas bertanya BN ini terpundak ke atas Pena dan Gapena sahaja atau khas buat badan itu? Sukar untuk kita jawab dalam tempoh terdekat.

Namun harus diakui suatu hal; pesara kerajaan makin berani menyoal, menyemak banyak hal. Menteri akan banyak bercakap dengan jujur apabila mereka sudah tidak dipilih dalam kabinet. Ini kerana, mereka yang sudah tidak lagi terlibat dengan pentadbiran kerajaan akan lebih lantang. Hal ini perlu diambil kira juga.

Bersatu menyelamatkan Interlok
Tiba-tiba dunia tersentak dengan bantahan sesetengah pihak ke atas Interlok. Pena berkata, mereka sedia berdemonstrasi. Sama ada demonstrasi akan berlaku atau tidak, itu lain cerita. Mungkin Pena perlu manfaatkan pengalaman demonstrasi Dato' A Samad Said dalam pemansuhan PPSMI sebelum ini.

Saya teringat novel The Village by the Sea (Anita Desai) yang dipilih Kementerian Pendidikan (ketika itu Najib Razak menjadi menterinya) sebagai bacaan bahasa Inggeris ketika Matrikulasi 1 pada 1996. Saya teringat Hari, dan saudara perempuannya Lila yang berasal dari sebuah perkampungan nelayan miskin.

Hari berhijrah ke Bombay dan di sana beliau menyertai perarakan untuk membantah pembinaan kilang yang berdekatan perkampungan mereka. Punca penghijrahan itu ialah kerana ibunya sakit tenat manakala ayahnya pula seorang pemabuk tegar.

Ketagihan arak bukan baharu. Dalam Estet (Mamat Khalid) ada kisah lintah darat yang membela samseng termasuk gejala ketagihan arak yang menyerang perkampungan ladang getah yang dihuni kaum India.

Kata Baha Zain, rakyat mesti berani bertanya BN. Dalam hal ini kita bertanya BN, jika Interlok mahu ditarik balik, kenapa The Village by the Sea dibiar untuk dibacakan sebagai teks sastera Inggeris?

Bagaimana dengan Estet? Ada bezakah? Kenapa ada 'double-standard'? Kalau Baha Zain seru MBM diletak di bawah Majlis Raja-Raja Melayu (kerana Umno gagal selamatkan maruah bahasa) bolehkah Raja-Raja Melayu selamatkan Interlok setelah Umno gagal membela maruah Melayu?

No comments: