Oleh H FANSURI
Seorang ahli dan penyokong tegar Umno tampil menasihatkan, "Sudahlah tu. Kasihan kepada Khusrin. Beliau langsung tak bersalah dalam hal ini..."
Desakan itu bermula apabila saya mula menyemak makna Khusrin yang terkandung di dalam Surah Al-Asr. Firman Allah s.w.t. "Wal Asri. Innal insaana la fi khusrin."
Jika diterjemahkan, maka maksudnya lebih kurang begini, "Demi masa sesungguhnya manusia itu akan selalu berada dalam keadaan kerugian."
Khusrin di sini bermakna rugi atau kerugian. Mungkin, makna Khusrin di sini tidaklah sama pengertian dengan Khusrin yang menjadi sasaran kemarahan di negeri Selangor sekarang ini. Dan, kita juga tidak berminat memanjangkan kisah nama beliau yang mungkin terkait dengan makna tersebut.
Jadi, tulisan ini bukan tertuju kepada Khusrin, tetapi dicurahkan kepada sistem yang mengalir ke dalam perjalanan fikiran masyarakat kita. Tulisan ini dilantunkan kepada suatu sistem yang telah memilih dan Khusrin ke darjat jawatan yang beliau sandang sekarang ini.
Mungkin Khusrin ada maksud lain, jadi usahlah kita kaji dan teliti maknanya dengan rinci sangat.
Bagaimana Khusrin terangkat?
Yang paling penting ialah bagaimana seseorang itu terangkat dan diangkat ke tempat itu. Persoalan lain yang timbul, kenapa dia dipilih, layakkah dia? Adakah mereka yang diangkat itu mudah goyah dengan godaan wang rasuah seperti bekas menteri besar Selangor?
Maka, jika persoalan ini tidak kita jawab dan tidak kita teliti, justeru memang benarlah kita kini benar-benar berada dalam ambang gerbang 'khusrin', iatu kerugian.
Hal sistem yang mengangkat Khusrin ini penting dibahas kerana di sana ada sabda nabi yang menyebut bahawa, “Apabila kepimpinan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat-saat kehancurannya.”
Dalam hal ini, kita kena menyemak kembali adakah suruhan Allah s.w.t ini kita benar-benar laksanakan dengan betul-betul apabila Tuhan berfirman, “Allah menyuruh kamu menyerahkan amanah kepimpinan itu kepada yang benar-benar ada keahlian dalam kepemimpinan.”
Perlu kursus khas mengasuh kepemimpinan
Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam Risalah Untuk Kaum Muslimin merumuskan hal berikut:-
"Selang demikian, aneh sekali bahawa dalam mengamanahkan tugas yang terpenting dalam kehidupan masharakat - iaitu tugas memimpin-tiada pula sekali-kali diperlukan bagi seseorang itu menempuh pelajaran, latihan dan ujian yang khusus yang akan dapat membimbingnya ke arah peringkat keahlian memimpin masharakatnya." --- Perenggan ke-10, halaman 25.
Kembali kepada Khusrin, kononnya beliau bukan calon terawal. Ahli Parlimen Shah Alam Abdul Khalid Samad berkata, bahawa beliau adalah pilihan terakhir; orang keenam dalam senarai pilihan.
"Saya rasa, kalau ada 12, maka beliau akan menjadi orang yang ke-12," katanya. Dalam hal lain, Khusrin berhak dipersalahkan jika beliau tegar menyarung jawatan itu dalam keadaan beliau sedar bahawa dirinya bukanlah calon pertama.
Jadi, siapa yang salah? Najib Razak?
Maka, bertanya pula seorang rakan yang lain, "Jika Khusrin tidak bersalah, jadi siapakah yang bersalah dalam hal ini?"
Inilah pertanyaan yang Melayu selalu lupa mencari jawapannya. Kalau tidak lupa, nescaya mereka berkata, "Kita tidak payahlah tuding jari kepada sesiapa dalam hal ini, Ayuh selesaikan bersama-sama."
Cara berfikir begini adalah salah dan ia adalah cara berfikir yang bermasalah. Dalam banyak kejadian salah laku, memang ada pesalah dan pesalah ini perlu dihukum bagi mencapai kestabilan, keharmonian dan keseimbangan dalam masyarakat.
Misalnya, rakyat didapati bersalah kerana mencuri kerana sistem tidak benarkan mereka mencari wang. Secara kebetulan pemimpin menjadi saudagar mengutamakan kantung sendiri, lalu tertutup peluang rakyat mencari rezeki. Maka yang perlu dihukum lebih awal ialah pemimpin.
Bantu yang dizalimi dan menzalimi
Hadis nabi menyebut, "Bantu saudaramu yang dizalimi atau yang menzalimi." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, kami tahu cara membantu yang dizalimi, tapi mengenai penzalim ini, bagaimana kami mahu membantunya?"
Maka, kata nabi, "Melarang penzalim daripada menzalimi orang lain, maka itulah cara membantunya..."
Umno penzalim! Kita perlu bantu penzalim Umno dengan melarangnya berterusan berbuat zalim ke atas rakyat. Umno yang tebal Iman jangan cuma berselawat demi syafaat tapi amalkan pedoman nabi; minta Khusrin diletakkan di tempatnya yang asal.
Cari pengganti lain. Umno kena bersoal jawab dengan Tuhan. Nabi sudah membangunkan pesan peringatan. Hanya terpulang kepada kita sama ada mahu ikut atau tidak?
Bahawa sistem Umno yang diterajui Najib Razak membela sistem yang menyebabkan Khusrin dan lain-lain watak naik sebagai penyelia masalah rakyat Selangor.
Hakikatnya, Sultan dicabut akar kuasanya oleh Umno belaan penjajah British sejak dahulu. Pintu kesedaran rakyat perlu selalu diketuk, dan PR perlu selalu bersabar menempuh fitnah, mehnah dan selalu kuat menahan badai tsunami politik Umno bernama tribulasi ini.
No comments:
Post a Comment