Oleh H FANSURI
Salah satu sebab Melayu yang menyebabkan kemunduran fikiran Melayu adalah kerana tidak berfikir secara Melayu dengan cara mengakrabi kitab-kitab Melayu seperti Sulalatus Salatin karangan Tun Seri Lanang itu. Ini tidaklah bermaksud kitab itu mengatasi Al-Quran, tetapi setidak-tidaknya orang Melayu perlu selalu menyemak dan kerap menoleh ke arah Sulalatus Salatin bagi mencari erti menjadi Melayu.
Salah satu sebab Melayu yang menyebabkan kemunduran fikiran Melayu adalah kerana tidak berfikir secara Melayu dengan cara mengakrabi kitab-kitab Melayu seperti Sulalatus Salatin karangan Tun Seri Lanang itu. Ini tidaklah bermaksud kitab itu mengatasi Al-Quran, tetapi setidak-tidaknya orang Melayu perlu selalu menyemak dan kerap menoleh ke arah Sulalatus Salatin bagi mencari erti menjadi Melayu.
Dalam catatan bertajuk Wasiat Sultan Mansur Syah, disebutkan bahawa ketika baginda hampir gering, maka dipanggil Raja Ahmad (Raja Hussain); dan Bendahara Paduka Raja, dan segala Orang Besar-besar sekalian, datang berkampung. Maka titah wasiat kepada orang-orang besar itu berbunyi:-
Wasiat Sultan Mansur Syah kepada orang-orang besar
“... Adapun pertaruhkulah pada Bendahara dan segala Orang Kaya-kaya sekalian, anak kita Ahmad ialah ganti kita pada tuan-tuan sekalian. Jikalau barang sesuatu salahnya, hendaklah dimaafkan oleh tuan-tuan sekalian, kerana ia budak yang bebas, tiada tahu istiadat.”
Wasiat sultan ini ditujukan kepada orang besar supaya mereka dapatlah memeriksa kelakuan anakanda baginda sepeninggalannya nanti. Hal ini jika ditinjau teliti, maka dapatlah juga difahamkan sebagai berikut, iaitu pembesar-pembesar itu boleh menyemak kelakuan raja-rajanya.
Mereka boleh memaafkan jika raja-raja itu masih cukup umur dan fasih dalam hal-ehwal pemerintahan negara. Tapi, jika sudah jelas kelihatan keterlanjuran, maka haruslah juga dihakimi.
Kemudian, baginda menyambung pesan wasiat terhadap anakandanya, Raja Ahmad, “... hendaklah engkau berbuat adil sangat-sangat, dan jangan engkau mengambil hak orang tiada sebenarnya. Makan haqu'l-adam (hak orang lain) terlalu besar dosanya, tiada diampuni Allah s.w.t; melainkan dengan izin yang empunya hak juga; dan jangan khali engkau keluar di hadap orang, kerana hamba Allah sekaliannya banyak berserah kepadamu; jikalau kesukaran baginya, hendaklah engkau periksa ia baik-baik, …"
Sultan Mansur turut menaruh wasiat berhubung kepentingan syura serta permuafakatan bersama ahlul hilli wal aqdi. Titah baginda kepada anakandanya, Raja Ahmad...
“... dan hendaklah engkau bermuafakat dengan segala menteri dan segala orang-orang besarmu, kerana raja itu, jikalau bagaimana sekali pun bijaksana dan tahunya, jikalau tiada muafakat dengan segala pegawai, di mana akan dapat ia melakukan bijaksananya itu? Dan tiada akan sentosa kerajaannya; kerana raja-raja itu umpama api, segala menteri itu umpamanya kayu; kerana api itu tiada akan nyala, jikalau tiada kayu; seperti kata Farsi, 'Ar'ayatu juan bakhasta sultan khasad', yakni rakyat itu umpama akar dan raja itu umpama pohon; jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri. Demikianlah raja tu dengan segala rakyatnya...”
{Sulalatus Salatin, Tun Seri Lanang, penyelenggara A Samad Ahmad, halaman 170 – 172}
Bolehkah dibunuh hanya tuduhan 'menderhaka'?
Syahadan, pada 3 Januari lalu, khabarnya ada dua buah pertubuhan bukan kerajaan, iaitu Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mencetak 'fatwa' mereka, iaitu mahu Adun Seri Muda daripada PKR, Shuhaimi dihukum gantung kerana didakwa cuba menciptakan 'perang' baharu ke atas Raja-raja Melayu.
Sebelum ini, Shuhaimi mengeluarkan pendapat bahawa jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor tidak memerlukan perkenan sultan dan sebaliknya hal itu adalah berada di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Tidak cukup dengan itu, media menggambarkan seolah-olah parti pembangkang di negara ini seperti mengirim amaran kepada institusi beraja agar raja itu tidak bertindak membelakangi keputusan majlis mesyuarat itu atau terpaksa berdepan dengan rakyat yang menentang istana.
Maka, hari ini keadaan sudah terbalik. Pembesar negeri sudah dipilih, tetapi pembesar lama yang sudah memakai jubah nama Gaps dan Perkasa ingin menyucuk-nyucuk istana agar membuang pembesar yang dipilih dan diberi mandat pemerintahan oleh rakyat.
Jangan berdendam kerana jatuh sebuah negeri
Sepatutnya Umno, sejak menderita kekalahan bermula 2008 di Selangor patutlah bermuhasabah selalu, berzikir dan meratibkan kesalahan mereka dengan jiwa penuh hiba apabila dihukum di dunia.
Di akhirat, belum tentu mereka selamat. Jika tempoh dua tahun untuk dimanfaatkan untuk mengingati dosa dan kesalahan itu, maka barangkali mereka akan diberi mandat semula jika diizinkan Tuhan.
Namun, yang hal rakyat harapkan semakin tidak menjadi nyata. Umno melalui Perkasa dan pertubuhan lain sebenarnya lebih sanggup membunuh saudara mereka sendiri.
Lalu dibuat cadangan untuk menghukum gantung dan membunuh ke atas musuh politik mereka sendiri. Ini cara membunuh seteru politik mereka secara bersih dan tidak melalui tangan mereka sendiri.
Kalau membunuh musuh sendiri atas nama penderhakaan, maka mereka mungkin akan kelihatan bersih kerana kelihatan membela raja-raja Melayu, sekali gus dapat menamatkan riwayat politik musuh. Maka ada dua manfaat dan dua matlamat yang Umno boleh capai di sini.
Kebebalan Umno terjadi kerana mereka tidak akrab dengan karya agung; Sulalatus Salatin yang banyak mencantumkan pesan wasiat kepada Melayu. Umno tidak perlulah diajar al-Quran dan hadis. Memadai kita asuh akal fikirannya dengan Sulalatus Salatin agar mereka benar-benar berfikir seperti Melayu!
No comments:
Post a Comment