Monday, February 21, 2011

Aspirasi Umno bebas di PWTC, Pro M ditutup mulut

Oleh H FANSURI

Medan Pusat Dagangan Dunia Putra (PDDP) menjadi tempat pertemuan antara pelajar Aspirasi dan tokoh-tokoh pimpinan Umno tertinggi baru-baru ini.

Feomena ini terkait dengan dua perkara yang mungkin terjadi. Pertama, hal itu terkait dengan demam pilihan raya kampus yang semakin dekat atau, kedua kerana pilihan raya umum yang semakin hampir.

Antara yang turut ditampil berucap di depan pelajar Aspirasi adalah juara perasuah; Isa Samad. Antara 'kata-kata hikmah' dan pesanan beliau kepada Aspirasi itu.

‎"Rasuah di mana-mana, taklah teruk sangat. Kalau buruk dah hancur dah Malaysia ni," kata Isa Samad ketika menyampaikan ucapan di forum masa depan kepimpinan Melayu di PWTC baru-baru ini.

Sebagai perasuah handalan, nilai-nilai rasuah itu tetap ditegakkan sebagai akhlak terpuji. Aspirasi dan kalangan Umno bertepuk sorai selesai ucapan itu dilafazkan.

Tidak ramai yang boleh faham kenapakah ucapan sebegini diraikan. Tidaklah ramai orang yang mampu menebak di alam fikir, kenapa perasuah masih boleh diangkat Najib Razak untuk mengepalai Felda dan dipilih sebagai calon Umno-Apco ketika menjelang pilihan raya kecil sebelum ini.

Sebenarnya, Malaysia sudah hancur. Tapi oleh sebab perihal 'kehancuran' itu kerap digambarkan Umno sebagai negara yang baharu dilanggar garuda atau Acheh dilanggar tsunami, maka negara belum hancur dalam bentuk bayangan gambaran sebegitu.

Jadi, jika 'kehancuran' dalam bentuk itu barulah Isa melihatnya sebagai kehancuran, maka jawapan kita sebagai berikut. Pertama, negara ini belum teruk dilanggar kehancuran bukanlah kerana jenayah rasuah di Malaysia belum mencapai tahap serius. Negara belum hancur, kerana doa orang soleh di negara ini.

Kalau tidak kerana orang-orang soleh, nescaya terjadilah rusuhan alam. Laut merusuh dengan tsunami, dunia menggelora isinya bertaburan dengan sekian banyaknya gempa bumi, dan hujan taufan pun ikut demonstran di sana-sini. Tetapi, Tuhan dan para malaikat telah berpakat-pakat untuk mencabut nyawa ahli-ahli parlimen seorang demi seorang sahaja.

Jika ditinjau masa yang lalu, perihal awal yang Allah Tuhan saat menghancurkan sesuatu kaum yang terlaknat itu, Dia mewahyukan nabi-nabinya supaya segera keluar daripada negeri itu, lalu apabila yang tinggal cuma manusia jahat, maka berlakulah rusuhan alam yang maha dahsyat dan setiap isi bumi turut ikut berdemonstrasi.

Bala dan kehancuran dalam bentuk berlainan

Jadi, dalam konteks hari ini tidak mudah bala akan turun dalam bentuk yang pernah diturunkan ke atas umat terdahulu. Tapi jika faham, nilai-nilai dan segala pesan Isa Samad ini diimani amatlah bahaya jika diambil oleh Aspirasi sebagai pewaris Umno-Apco.

Aspirasi Umno-Apco akan meniru faham-faham Yahudi ini iaitu tidak mengapa berbuat sedikit jenayah dan dosa kerana Malaysia ini akan aman dengan sebab pemerintahan Islam 'Umno'.

Rasuah di bawah pemerintahan 'Islam' Umno lebih afdal sebab Malaysia ini masih belum hancur dalam erti kata dan faham Isa Samad. Sebetulnya Aspirasi Umno-Apco perlu menyedari bahawa punca negara ini selamat kerana masih ada rakyatnya yang berzikir dan bersuara membetulkan keadaan, dan ia bukan disebabkan afdalnya Islam di bawah tadbiran Umno-Apco itu.

Umat berzikir, rakyat tetap bersuara walau ditutup mulut

Masih ada orang yang berzikir mengingati Allah, masih ada umat yang berani menegakkan kemakrufan menegur, kemungkaran pemimpinnya walau hidup mereka ditekan dan dihinakan Umno-Apco sendiri.

Hakikatnya, Aspirasi juga berasa gentar dengan penerimaan masyarakat kampus itu sendiri. Kalau tidak nescaya mereka kekalkan nama Aspirasi di universiti. Saya dimaklumkan bahawa Aspirasi ditukar kepada Gerak di salah sebuah kampus universiti ternama.

Sebagai pemimpin masa depan (kalau Umno tidak rebah dilanggar revolusi), maka hendaklah Aspirasi Umno-Apco menyedari bahawa kekuatan negara ini adalah disebabkan umat ini masih berzikir memuji nama Allah s.w.t, masih berfikir menegak kemakrufan dan masih tegar berdegil menumbangkan kebatilan.

Oleh itu, lidah mereka perlu diizinkan bersuara menegur pemerintahan dan hati mereka mesti dibiarkan basah dan fikiran mereka merah meriah dengan menegur kebejatan yang ada.

Jangan ditutup mulut mereka untuk bersuara membetulkan keadaan. Biarkan anak-anak muda itu diberi ruang untuk bernafas, berlatih berbicara mengenai negara mereka sendiri.

Jika pegawai HEP di universiti termasuk Ketua Pengawal Keselamatan masih juga meneruskan warisan Firaun, Namrud maka Aspirasi yang dibela akan hanya menjadi waris Isa Samad lalu dibiarkan terus berkata, Malaysia ada daulatnya, sebab itu tidak hancur.

Walhal, yang mengundang sebab bahagia negara ini adalah kerana kehadiran siswa yang tetap istiqamah membela kebenaran walau lidah diikat dan mulut ditutup menjelang pilihan raya kampus.

No comments: