Thursday, February 24, 2011

Revolusi Jumaat di Kg Baru, protes awal terhadap Nong Chik, Najib Razak

Oleh H FANSURI

Pada 5 Februari lalu, dalam siri jelajah ziarah masjid, Najib Razak berkata bahawa akan ada RM20 juta peruntukan wang yang akan dilaburkan bertujuan meningkatkan prasarana di Masjid Jamek Kg Baru.

Tapi, ramai pihak yang sedar bahawa di balik peruntukan RM20 juta itu, terselit jua agenda penjajahan bentuk baharu melalui Perbadanan Kg Baru yang dicabar, ditentang oleh para penduduk di situ.

Wang peruntukan puluhan juta ringgit itu bagaikan dedak ayam diberi sebagai umpanan tempoh jangka panjang untuk 'menyembelih' para penduduk di sini secara terhormat.

Mereka terus berjuang dan memberontak, tetapi suara berontak itu tidak diapungkan ke akhbar seperti biasa. Namun, malam itu di Lorong Raja Alang 1, barulah terasa bahang penentangan lebih jelas lagi.

Lilit tangan, setiap kali solat Jumaat di Kg Baru?

Dalam pertemuan bersama penduduk di situ, Setiausaha Sekretariat Pembangunan Kg Bharu bagi Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Titiwangsa, Zulhazmi Shariff mengambil kesempatan menyuarakan pandangannya berhubung kaedah penentangan yang boleh dilaksanakan oleh para penduduk di situ.

Awal saranan beliau adalah, memakai baju kuning seragam ketika bersolat Jumaat di Masjid Jamek Kg Baru. Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pendangan itu hanyalah syor peringkat awal sahaja.

“Biar kita semua sepakat pakai baju seragam warna kuning tiap-tiap Jumaat sampaikan orang luar akan hairan dengan gelagat orang-orang di Kg Baru yang memakai baju kuning ini. Atau boleh jadi ada yang nak pakai baju hitam hari Ahad. Itu terserah. Cuma, hari Jumaat itu ramai orang bertumpu di masjid.

“Jika ada orang tanya, kenapa ramai pakai baju yang aneh, maka kita boleh bercerita tentang bantahan penduduk di sini,” katanya yang juga Penasihat Undang-undang bagi Ahli Parlimen Titiwangsa.

Cara penentangan ini, menurutnya mirip kepada corak penentangan kumpulan Baju Merah di Bangkok, Thailand yang disaksikan penduduk dunia mutakhir ini.

"Kalau di Thailand itu ada pasukan kumpulan baju merah, jadi saya fikir kita patut buat. Atau pun, kita juga boleh melilit tangan kita dengan kain,” tambah beliau lagi.

Penduduk berkecil hati

Sementara itu, Hj Mohd Noor, AJK Sekretariat Pembangunan Kg Bharu di bawah Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Titiwangsa turut menyebut keresahan peribadinya berhubung sikap tamak pemimpin. Beliau secara peribadi berasa berkecil hati dengan kepemimpinan Umno yang tidak berunding dengan penduduk di situ secara jujur dan ikhlas.

“Yang menyebabkan saya berasa kecil hati sangat tu, sebab mereka bermesyuarat di Melaka. Maka, hal pembangunan Kg Baru ini mahu diletakkan di bawah Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) yang berada di bawah Rahim Tamby Chik,” kata beliau. Pecah ketawa hadirin sebentar.

“Apa yang Rahim Tamby Chik ni tahu tentang pembangunan ni, saya pun tak tahu,” kata beliau. Dalam penerangannya malam itu, beliau turut menyentuh penglibatan sebuah syarikat yang sudah pun dilantik untuk membuat penilaian ke atas harga tanah-tanah di Kg Baru ini.

Pada celah-celah bingit tawa riuh-rendah itu, puan Shida membangkitkan cadangan untuk buat lencana sebagai tanda awal bantahan ke atas 'pembangunan' yang tidak jujur itu.

Pada akhir pertemuan malam itu, dia sudah mendedahkan bahawa rumahnya sudah pun didatangi orang tertentu yang membuat penilaian ke atas harga tanah, rumah yang dimilikinya sebelum ini.

“Surat daripada syarikat itu pun ada kalau nak tengok,” katanya bersungguh-sungguh.

Kain rentang bantahan diturunkan DBKL

Dapatlah diperhatikan juga wajah penceramah yang mengeluh kesal kerana usaha dan bantahan mereka 'terganggu' oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kita mahu naikkan kain rentang di Kampung Baru ini tuan-tuan, tetapi orang-orang DBKL datang lalu mereka turunkan kain rentang ini. Jadi, saya minta jasa baik tuan-tuan untuk naikkan kain rentang ini di rumah tuaa-tuan sendiri.

“Sekarang, dunia semua sudah tahu tentang kisah penentangan kita di Kg Baru walaupun bantahan kita ini tidak masuk ke akhbar perdana,” demikian kata Mohd Noor ketika membangunkan peringatan itu.

Di samping itu, beliau turut mengulas kehadiran krew RTM yang datang ke rumahnya untuk membuat liputan tentang hal pembangunan di Kg Baru itu.

“Mereka datang siap dengan bawa kelengkapan kamera lagi, tapi akhirnya saya suruh krew RTM balik, kerana saya tahu bantahan saya tidak akan disiar. Kalau saya cerita mengenai bantahan saya, tapi kalau tak siar nak buat apa?” katanya lagi.

Majlis penerangan untuk mengutip bantahan ini akan berterusan dijalankan. Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut berhubung protes penduduk Kg Baru ini boleh berbuat demikian dengan mengikuti Facebook atas nama 'Kg Baru Warisan' dan 'Save Our Kampung Baru'. Pertanyaan boleh dimajukan melalui mel-e ibnuamir@gmail.com dengan subjek 'Bantah - Kg Baru'

No comments: