Friday, February 04, 2011

Bahasa Indonesia bergema di Mongolia, FB dijajah AMCP di Malaysia

Oleh H FANSURI

Sangat memalukan ketika kita sedang berusaha keras menuju Wawasan 2020, rakyat terpaksa menonton beberapa jenaka lucu yang dimainkan oleh pimpinan Umno.

Baru-baru ini telah berlangsung Forum Parlimen Asia-Pasifik di Ulaanbaatar Mongolia. Di situ, kita dapat melihat rombongan Indonesia yang bertemu di negara tanah tumpah darah Altantuya itu telah menjulang bahasa Indonesia di mata dunia.

Sementara di Malaysia, tempat tumpah darah Altantuya menjelang kematiannya, sedang rusuh bergelut dengan isu penarikan kalimat tertentu dalam novel Interlok. Tidak cukup dengan itu, sudah kedengaran ura-ura menjadikan PPSMI sebagai pilihan di sekolah.

Dalam pertemuan forum di Mongolia itu, rombongan Indonesia menggunakan bahasa Indonesia. Yang pertama menyatakan sikap sedemikian adalah Hidayat Nur Wahid sebagai ketua rombongan itu.

"Indonesia pernah jadi tuan rumah APPF, menyedari bahawa forum ini sangat penting dan layak untuk dilaksanakan," kata Hidayat pada awal-awal pidato beliau itu.

Menurut Detik.Com, dalam forum itu, hanya tujuh bahasa yang digunakan - Bahasa Indonesia, Mongolia, China, Jepun, Rusia, Inggeris dan Korea.

Malaysia belum bagus penterjemahnya?

"Penggunaan bahasa Indonesia dan Melayu oleh negara pemakainya sudah pun diputuskan tahun lalu. Malaysia sudah saya ingatkan tapi katanya penerjemahnya belum bagus," kata politikus Partai Keadilan Sejahtera (PKS) tersebut.

Saya tidak begitu pasti apakah maksud Hidayat apabila beliau menyatakan bahawa Malaysia sudah pun diingatkan untuk berbicara dalam bahasa Melayu itu. Adakah hal ini bermaksud Malaysia sebenarnya sudah diperingatkan sendiri oleh Hidayat supaya bercakap dalam bahasa kebangsaan di forum itu?

Hanya Najib Razak dan Muhyiddin Yassin yang mengetahuinya. Tetapi, bersediakah Muhyiddin Yassin khasnya Najib Razak bercakap di forum yang dilaksanakan di tempat tumpah darah model Altantuya kelahiran Mongolia itu?

Apa-apa pun, Hidayat telah membuktikan sesuatu kepada warga Indonesia. Beliau menyatakan bahasa Indonesia yang dipertuturkan di forum luar negara atau tempatan itu adalah sebagai usaha diplomasi. Hal ini, menurutnya, adalah begitu penting untuk mengangkat martabat bangsa.

"Jangan sampai kita cuma mengekor. Bisa ditunjukkan dengan penggunaan bahasa kita sendiri," tambah Hidayat lagi. Sebenarnya, setiap rombongan negara-negara di forum itu telah memilih untuk mengguna bahasa kebangsaannya. Lalu, Indonesia juga tidak mahu ketinggalan dalam hal itu.

"Tapi, kalau mahu berdebat, biasanya baru dipakai bahasa Inggeris," kata beliau lagi.

Najib Razak dicabar berpidato dalam bahasa Melayu di PBB

Nampaknya baik Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan lain-lain pemimpin Umno tidak akan bercakap di dalam bahasa Melayu sampai ke akhirnya kerana diserang penyakit rendah diri terhadap bangsa lain.

Padahal, Najib tidak perlu takut dengan semua itu walapun takutkan Mongolia itu memang ada asasnya. Tapi, biarlah Najib bersikap profesional dalam hal menunjukkan betapa megahnya jika kita berbahasa ibunda.

Dr Zainal Abidin Borhan dalam suatu ucapan alu-aluannya di Pulau Pangkor pada 1 Januari lalu saat meraikan Festival Lagu-Lagu Puisi pernah mencabar Najib Razak agar berucap dengan bahasa Melayu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Saya secara peribadi percaya bahawa Najib Razak tidak akan sanggup berbuat demikian kerana beliau diserang penyakit lemah dan rendah diri ketika berdepan dengan bangsa-bangsa lain.

Hal ini jelas ketara apabila Najib Razak kelihatan semakin nazak kerana kerap menerima serangan FB, bertalu-talu di internet. Jika Najib Razak tidak sesak, nescaya beliau tidak gentar serangan Facebook ini.

Giliran jutaan 'Facebookers' menjadi mangsa Najib Razak, tawanan AMCP

Sebelum ini, hanya wartawan, akhbar dan editor yang menjadi mangsa serangan Najib, menjadi hamba Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP).

Namun, kini Facebookers di seluruh Malaysia turut terkena belitan KDN serta bahang tempias AMCP menjelang Mac depan.

Jabatan Peguam Negara diminta oleh KDN bagi menilai semula AMCP 1984 supaya dapat menangkap 'Facebookers' dan tidak hanya bahan cetak sahaja.

Peliknya, sebelum ini telah ada blog, multiply dan YouTube, tetapi Facebook juga yang dipantau KDN. Nampaknya, kuasa FB dan 'Facebookers' ternyata jauh lebih ampuh berbanding semua perkakasan.

Semua ini mengirim pesan yang jelas kepada kita bahawa Najib Razak semakin menghampiri waktu-waktu gelap, detik-detik dan saat-saat kejatuhannya.

Bermula dengan ketakutan berbahasa Melayu di Mongolia, serangan penyakit lemah, rendah diri ketika berbahasa kebangsaan di PBB, dan kini kelemahan Najib semakin menjadi-jadi dengan usaha menawan Facebookers melalui AMCP dan KDN.

No comments: