Friday, February 04, 2011

Tokoh judi negara; Lim Goh Tong ada dewan kuliah di UM?

Oleh H FANSURI

Masyarakat hari ini mesti dibentuk sebagai masyarakat anti judi dan anti perusahaan perjudian. Rakyat semuanya tanpa mengira apa juga bangsa dan keturunan mesti bersatu menolak perjudian ini.

Di Universiti Malaya baru-baru ini, bergegar dengan suara-suara bantahan secara senyap mengenai judi ini. Khabarnya ia berkaitan Dewan Kuliah 1, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan yang telah diubahsuai.

Pengubahsuaian itu disumbangkan Genting Berhad dan dinamakan semula sebagai Dewan Kuliah Lim Goh Tong. Persoalan yang kita perlu timbulkan, kenapa perlu taukeh judi diabadikan namanya di sini?

Suatu ketika dahulu, nama perpustakaan di USM misalnya hanyalah Perpustakaan Utama. Tapi, apabila ada hajat untuk menukar namanya, maka ditukar nama itu kepada Perpustakaan Hamzah Sendut hingga ke hari ini. Konsep ikhtiyar itu memilih yang baik. Jadi, kenapa UM pilih keburukan?

Pemangku Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan UM dalam sepucuk suratnya yang tersiar dalam laman sesawang kampus tersebut telah menjemput warga kampus menghadiri majlis pelancaran itu..

Maka, pada Rabu 26 Januari lalu, Dewan Kuliah 1 itu sudah dirasmikan oleh Lim Kok Thay, Pengerusi Genting Berhad. Sehubungan itu maka rasmilah sudah namanya sebagai Dewan Kuliah Lim Goh Tong, di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya itu.

Sebelum ini, sudah ada bantahan untuk tidak memasukkan Restoren Mc Donald di atas alasan melawan kedurjanaan kapitalis. Kini tokoh judi yang menjadi bahagian daripada kerosakan masyarakat kita telah diabadikan namanya secara akademik. Wajarkah kapitalis diberi tempat tertinggi dalam masyarakat?

Lim Goh Tong tidak layak mendapat tanah di Genting

Apabila membantah nama ini, maka bukan bermaksud kita rasis, perkauman. Bukannya kita tidak tahu bahawa di sana hadirnya kapitalis Melayu yang juga menyumbang ke arah kerosakan lewat perusahaan arak dan perjudian. Jadi, bantahan ini mesti dilihat daripada kacamata lain.

Berdasarkan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu-gunung-ganang adalah antara tempat yang tidak boleh diambil oleh sesiapa pun juga. Wasiat kedua itu berbunyi:

“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.”

Tetapi, masalahnya seseorang yang berdarah raja sendiri (Tunku Abdul Rahman) yang sudah bertindak menyerahkan sebuah bukit, gunung kepada kapitalis Goh Tong untuk dijadikan perusahaan judi.

Dalam masa yang sama kebanyakan Canselor Universiti adalah Raja-Raja Melayu. Setelah diberi suatu gunung bertujuan mengkhianati Allah s.w.t dan Rasul-Nya, maka kini sosok pengusaha perjudian ulung dalam negara ini telah diberikan namanya di dalam universiti yang berada di bawah naungan raja itu.

Tidakkah hal ini menjadi semakin pelik, aneh dan maha ajaib?

Sudut Pidato wajib dimanfaatkan

Ketika rencana ini dtulis, saya percaya bahawa bahang pilihan raya kampus semakin keras terasa. Dan, apakah sudut pidato itu bergema dengan isu-isu seperti ini?

Adakah Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) akan bertindak membantah nama ini? Kini, rata-rata pimpinan negara termasuk pimpinan universiti sudah mati rasa lalu tergamak merelakan kepenggunaan nama dewan kuliah sehinggakan khabarnya NC turut sama merasmikannya.

Di sinilah letaknya peranan sudut pidato sekali gus ia menjadi tempat ujian kepada pimpinan universiti.

Kita juga tertanya-tanya – kalau hari ini novel Interlok dikekalkan Muhyiddin Yassin dengan penarikan perkataan dalam novel tersebut, kenapakah nama Lim Goh Tong itu tidak boleh ditarik balik?

No comments: