Wednesday, February 02, 2011

Tunisia menjerit! Mesir bangkit! FB diheret dalam AMCP

Oleh H FANSURI

Kylie Mouna, seorang warga Tunisia. Dalam rebung usia remajanya itu, dia sudah hafal sifir politik di negaranya sendiri. Saya bertanya khabarnya di Facebook, lalu bualan ringkas kami berlangsung.


“Saya cuma ingin katakan yang kami rakyat Tunisia berasa amat gembira kerana Ben Ali dan keluarganya sudah pun dikeluarkan dari negara ini.

“Kini, kami dapat menghirup nafas lega, hidup penuh kemerdekaan dan menikmati resipi demokrasi. Kami boleh bercakap apa sahaja mengenai politik dan sebagainya kerana sebelum ini, kami seolah-olah hidup di dalam penjara.

“Sebelum ini kami tidak dapat bersuara apa pun mengenai Ben Ali mahu pun dalam wacana politik. Banyak hak rakyat Tunisia dirompak oleh keluarga Leila Ben Ali khasnya abang beliau; Trabelsi!” kata beliau.

Apa-apa pun, tambah Mouna lagi, mewakili suara-suara kerdil, suara-suara rakyat Tunisia di pinggiran, beliau menyatakan rasa puas hatinya terhadap kejatuhan diktator Ben Ali, pemergian isterinya Leila dan sistem pentadbiran mereka.

“Sekarang, masa untuk berbangga dan bergembira, kerana kami dapat buktikan kepada dunia bahawa rakyat Tunisia adalah rakyat yang kuat dan kami mewakili semangat kemerdekaan, kami telah menunjukkan rasa kecintaan kepada kesejahteraan sekali gus membuktikan bahawa rakyat mahukan demokrasi.

“Sekarang anda tahu, hampir kesemua negara Arab mahu mencontohi tindakan rakyat kami. Mereka melakukan sesuatu seperti mana yang kami laksanakan ke atas negara kami sendiri,” kata Mouna lagi.

Sebenarnya, ada banyak perkara lagi yang beliau mahu bicarakan. Tapi, dia segera menutup bualannya.

“Dan anda tahu, saya ada banyak lagi peristiwa yang boleh dilanjutkan kalau anda berminat,” katanya lagi. Tidak lama selepas bualan bersama beliau itu, tiba-tiba terdengar rusuhan berlaku di Mesir.

Akan jatuhkah Hosni Mubarak?

Di negara Fir'aun itu, kira-kira 200 penunjuk perasaan ditahan semasa pertempuran baru-baru ini. Mereka mendesak Presiden Hosni Mubarak menamatkan pemerintahannya selama 30 tahun. Hal ini tentu sahaja berikutan kesan kejatuhan Ben Ali di Tunisia.

Memang adat rusuhan, akan selalu hadir riwayat yang memperihal terbangnya nyawa dengan begitu mudah. Tiga demonstran dan seorang anggota polis maut baru-baru ini dalam rusuhan itu.

Hal itu memaksa ribuan polis anti rusuhan dikerah ke Kaherah. KDN di Mesir juga melarang demonstrasi. Ugutan turut dikeluarkan, bahawa mereka akan ditangkap jika berkeras.

Demonstran melaungkan seruan 'Hosni Mubarak perlu berundur' di kawasan Dataran Tahrir. Tembakan air dihalakan ke arah demonstran bagi memaksa mereka berundur dari kawasan berkenaan.

Dataran Tahrir telah menjadi kawasan rondaan polis, sementara para buruh kelihatan membersihkan sampah sarap yang ditinggalkan demonstran itu pada keesokannya.

Hosni Mubarak wajar khuatir dengan bebanan yang ditinggalkan oleh para demonstran itu. Beliau yang bertanggungjawab merosakkan Universiti Al-Azhar dengan melantik Syeikhul Al-Azhar (sebelum ini, amalan itu dilakukan oleh kalangan ulamak Al-Azhar), patut gerun dengan sisa-sisa dosanya yang masih berbaki.

Di Mesir, terbit juga laporan bahawa Twitter dan Facebook akan mula disekat ekoran wujudnya usaha-usaha terancang bertujuan menggulingkan pemerintahan Hosni Mubarak yang korup itu.

Mesir mula menyekat Facebook pada Rabu (26 Januari), iaitu sehari selepas kerajaan pimpinan Hosni Mubarak itu melakukan hal yang sama ke atas Twitter. Hal ini dilakukan kerana hadirnya bantahan dan meningkatnya seruan menjatuhkan pentadbiran presiden di negara republik itu.

Sementara itu, mengenai kepenggunaan Twitter di Mesir pula, ramai penggunanya mengalami kesulitan ketika mengguna perkakasan maya tersebut.

Ben Ali jatuh, Hosni resah, jiwa Najib rusuh, gundah dan gelabah dengan gelombang FB

Keresahan Hosni Mubarak terhadap Twitter dan FB termasuk hal kejatuhan Ben Ali dan isterinya, Leila itu barangkali turut dikongsi bersama Najib Razak, Umno dan BN.

Godaman FB yang menghentam fikiran rakyat, mengundang rasukan ke atas jiwa nurani umat, kini merusuhkan jiwa Najib. Adakah FB patut disekat bagi menghalang kejatuhanku kali ini?

Mungkin itu yang terkandung, terkurung dan terkepung di dalam fikiran Najib Razak yang sedang nazak. Belajar daripada pengalaman kejatuhan para diktator, koruptor yang kotor seperti Ben Ali tiada ruginya bagi Najib.

Rusuhan di Mesir, membuatkan Hosni Mubarak menyekat FB dan Twitter. Gelabah yang bukan-bukan mula bersarang di hati diktator Najib. Beliau mesti menyusun kekejaman, kezaliman yang lebih kurang sama atau lebih parah berbanding Ben Ali dan Hosni Mubarak.

KDN diperalatkan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) dipinda menjelang Mac. Kita menunggu gelombang kebangkitan rakyat sebelum itu. Kali ini tiada lagi pilihan raya. Yang ada hanya revolusi! Revolusi sampai bila? Ya, revolusi... Sampai mati!

No comments: