Tuesday, February 01, 2011

LKY hina Islam, Najib masih tergamak 'jual' tanah Tg Pagar

Oleh H FANSURI

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir memang bersikap berat sebelah, 'bias' ketika beliau memarahi Abdullah Ahmad Badawi dalam isu jambatan bengkok yang melibatkan Singapura.

Tapi, beliau tidak mengeluarkan apa-apa pun bantahan terhadap sikap Najib Razak yang 'menjual' tanah Malaysia di Tg Pagar yang kini telah dihuni oleh KTMB sejak sekian lama beroperasi.

Tidak cuma dengan Najib Razak beliau bersikap berat sebelah. Terhadap sikap Rosmah yang berlagak seperti Khairy pada zaman Abdullah sekali pun, Dr Mahathir sudah kehilangan taringnya.

Terbaru, tindakan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew menggesa umat Islam supaya tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam amat mengguris rasa.

Hujah Kuan Yew itu dangkal. Kata beliau, jika Melayu terlalu berpegang kepada agama, khasnya Islam maka hal itu boleh menghalang perhubungan serta integrasi kaum.

Pendirian beliau bahawa sikap terlalu mengikuti Islam itu akan menyekat pembangunan adalah suatu penghinaan terbaru terhadap Islam itu sendiri.

Islam menggalakkan tolak ansur, menganjurkan semangat integrasi

Sebenarnya, Islam adalah agama toleran. Ambil satu contoh hadis nabi yang menyatakan bahawa setiap anak-anak yang lahir itu sebenarnya sudah Muslim pada asalnya, sehinggalah anak itu menganut faham dan kepercayaan agama yang dianut oleh kedua ibu bapanya.

Jika anak itu lahir daripada keluarga Mongolia misalnya, maka tentu sahaja dia muslim atau muslimah, sehinggalah dia dijadikan Buddha, Kristian atau menganut apa sahaja agama yang dianuti ibu bapanya.

Islam tidak mengajar Muslim memaksa supaya anak yang baru lahir itu dipulangkan kepada kita untuk diislamkan. Islam memberi kebebasan kepada mana-mana ibu bapa itu mengkristiankan, meyahudikan, menghindukan, membuddhakan anak-anak mereka sendiri.

Proses ini berlaku tanpa perlu kita khuatirkan apa-apa pun mengenai pendirian agama anak-anak yang baharu lahir itu kemudian hari, walaupun mereka jelas sudah Muslim sejak awal kelahiran di dunia ini.

Juga, Islam membenarkan integrasi antara kaum, malah ia mengharuskan perkahwinan integrasi yang merentas faham agama antara kedua-dua mempelai Muslim dan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani).

Misalnya, kalau pemuda Melayu Muslim ingin menikahi wanita Mongolia beragama Kristian, maka hal peruntukan itu sudah pun jelas termaktub di dalam petunjuk al-Quran dan pedoman hadis nabi.

Jika kedua-dua pasangan suami isteri berbangsa Mongolia Kristian mahu memeluk Islam, nescaya hal itu akan dipermudahkan oleh agama Islam. Tidak perlulah kedua-dua mempelai itu dinikahkan semula. Perkahwinan mereka dalam keadaan mereka beragama Kristian itu sah diiktiraf oleh Islam.

Dan, banyak lagi yang memperihalkan agama Islam sangat toleran, tasamuh. Kuan Yew sepatutnya arif mengenai agama Islam ini sejak beliau memerintah Singapura dalam tempoh yang lama.

Siapa penasihat agama Islam Kuan Yew di Singapura?

Ada beberapa hal yang berlaku di sini apabila Kuan Yew menyebut hal Islam yang tidak berintegrasi dan tidak membangun itu. Pertama, Kuan Yew mungkin tidak baca al-Quran dan hadis untuk cuba memahami inti ajaran dan isi pegangan Islam.

Atau keduanya, orang Melayu; Umno, badan lembaga Islam di Singapura tidak menjelaskan Kuan Yew tentang hal-ehwal Islam. Seterusnya Kuan Yew tiada seseorang yang bertindak sebagai penasihat untuk beliau memahami Islam. Hal ini sepatutnya ada bagi orang-orang seperti Kuan Yew.

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen itu khabarnya memiliki penasihat agama Islam sendiri untuk beliau memahami kehendak umat Islam di Kemboja. Biar pun ada laporan yang menunjukkan bahawa Melayu Cam di sana hidup dalam keadaan miskin melarat, namun Hun Sen tetap ada penasihat agama Islam.

Menyentuh perihal Kuan Yew ini, Mufti Perak Harussani Zakaria berkata, Menteri Mentor Singapura itu tidak layak membuat kenyataan kerana beliau sendiri tidak memahami ajaran Islam.

Harussani menambah, sejarah menunjukkan bahawa Islam menyokong pembangunan kerana terdapat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa beberapa bidang keilmuan dunia seperti sains, kejuruteraan dan berasal daripada cendekiawan Islam.

Islam paling lantang bersuara mengenai hal kejayaan

Saya fikir, pada masa-masa akan datang, Kuan Yew perlu lebih banyak menelaah takrif kejayaan dalam sudut pandangan Islam. Apakah makna pembangunan daripada sudut pandangan Islam itu sendiri.

Islamlah yang terkedepan menggemakan kejayaan (Al-Falah) dalam azan. Buku Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going itu mungkin melihat kejayaan dalam ruang jendela pemikiran Barat.

Entahlah. Dalam keadaan penghinaan itu pun, Najib masih tergamak laksanakan 'pembangunan' KTMB Tg Pagar. Jika Muslim anti 'pembangunan', kenapa masih berusaha dengan Muslim seperti Najib Razak?

Atau, fikiran dan falsafah Najib Razak berhubung kemajuan, kejayaan dan pembangunan itu masih ditakluk dalam kerangka berfikir Barat?

Apa-apa pun, Najib Razak! Batalkan segera perjanjian dengan Singapura darihal 'pembangunan' KTMB Tg Pagar itu! Jangan kita dihinakan lagi!

No comments: