Oleh H FANSURI
Entah sejak bila Umno menjadi 'Tuhan' kepada Melayu? Kita sebut 'Tuhan' kerana kalimat Tuhan itu adalah lambang kepada pergantungan dan perpaduan manusia.
Entah sejak bila Umno menjadi 'Tuhan' kepada Melayu? Kita sebut 'Tuhan' kerana kalimat Tuhan itu adalah lambang kepada pergantungan dan perpaduan manusia.
Asalnya, Melayu mempunyai hubungan yang rapat, rapi dan akrab dengan raja. Tetapi, lama kelamaan, hubungan itu pudar. Sejak bila hubungan Melayu dengan raja terputus? Ceritanya lebih kurang begini...
Ketika British mula memerintah Tanah Melayu, malah jauh sebelum itu lagi, Portugis sudah menemui Raja Melayu untuk berdagang di negara ini. Portugis misalnya mahu tanah yang 'kecil', tetapi akhirnya dengan helah muslihat, maka wujudlah perkampungan Portugis yang luas sehinggalah ke hari ini.
Itu kisah Portugis. British pula sanggup mewujudkan pesuruhjaya, residen dan penasihat untuk tiap-tiap raja-raja Melayu bagi setiap negeri-negeri di Tanah Melayu. Hal dasar campur tangan British ini dibuat atas nama iktisad, ekonomi dan memajukan negeri-negeri Melayu agar selaras kemajuan Barat saat itu.
Dengan beralihnya masa, peringkat penjajahan ini mencapai perubahan sedikit demi sedikit. Negeri ini dinamakan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri Melayu Tidak Bersekutu termasuk Negeri-negeri Selat. Semua penjenamaan dan struktur pentadbiran ini terkait dengan hubungan kedudukan residen sebagai 'penasihat' sultan atas nama kemajuan dan pembangunan negeri Melayu itu.
Pembangunan adalah nama lain bagi 'Penjajahan'
Maka, penjajahan juga adalah nama lain, nama alternatif bagi penjajahan. Umno sebagai anak asuhan British turut mengguna kaedah yang sama atas nama kemajuan yang hakikatnya bertujuan memunggah kekayaan demi kepentingan sendiri dan kroni.
Kemudian, peranan penjajahan itu dimajukan selangkah dengan penubuhan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menyatukan raja-raja Melayu dengan tujuan penjajahan jangka panjang. Raja-raja ini kemudian akan 'dipaksa' menurunkan tandatangan untuk menyetujui Malayan Union.
Demikian penjajahan dilakukan secara sedikit demi sedikit. Yang penting di sini ialah, kedudukan raja sebagai tonggak kesatuan Melayu dan menguasai raja-raja itu bererti menguasai Melayu seluruhnya.
Pun begitu bagi tiap negeri ada Ketua Menteri pula. Hubungan negeri amat kuat. Hal sukar dipecahkan. Sebab itu, Tunku Abdul Rahman mengeluh apabila tiada kesatuan raja-raja menjelang kemerdekaan.
Mengenangkan kesulitan menyatukan pendapat antara ketua-ketua menteri itu, maka salah satu kaedah yang digunakan oleh Tunku ialah-membawa ketua-ketua menteri setiap negeri atas kapal mewah ketika sedang berlayar ke London. Maka, dalam tempoh pelayaran yang lama itulah mereka berdebat panjang.
Kuasa raja berpindah kepada menteri (parti) di atas kapal
Hal debat panjang itu amat penting guna menyatukan pendapat antara mereka. Kedudukan Tunku itu di mata ketua-ketua menteri amat istimewa kerana beliau putera berdarah raja. Maka, akhirnya di situ juga bermulanya pemindahan 'kuasa' raja-raja kepada menteri-menteri atau setepatnya parti (Umno).
Ini penting difahami kerana Melayu asalnya taatkan raja. Sekali lagi, pertemuan antara ketua menteri di atas kapal mewah ke London itulah bermula pemindahan 'kuasa' raja kepada parti (Umno).
Sejak itu, pemikiran Melayu mula diracun dengan sengatan yang merosakkan jalan fikiran mereka. Jadi hari ini orang Melayu sudah tidak pun mempedulikan 'kuasa' kepada raja-raja Melayu dan mereka mula melihat parti (Umno) dan menteri-menteri (Umno) sebagai lambang kekuasaan mutlak.
Sekarang, marilah kita uji cara berfikir orang Melayu untuk melihat kebenaran hal ini. Bagaimana kita melihat Melayu berpecah? Bagaimana kita mengukur dan menyukat perpaduan Melayu?
Kita mesti uji fikiran dengan soalan ini. Adakah perpecahan Melayu dengan berbilangnya parti Melayu; Umno, PAS, Semangat 46, PKR? Atau, kita melihat perpecahan itu dengan sebab perbalahan raja-raja?
Kita sendiri boleh bersikap jujur dan ikhlas dengan pertanyaan ini. Sekarang, marilah kita bertanya pula dengan jujur – berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, adakah kedudukan parti Melayu disebut? Atau, mana yang lebih jelas disebutkan kedudukannya dalam perlembagaan? Institusi raja atau parti?
Parti boleh diwujudkan, diharamkan dengan dibatalkan pendaftarannya seperti pengharaman Umno dan boleh dibubarkan. Tetapi, institusi raja-raja itu kekal wujud sejak ratusan tahun yang lalu.
Kalau kita jujur, tentu kita menyebut bahawa raja memang wujud disebut dalam perlembagaan, lengkap sempurna kedudukannya sebagai pelindung Islam secara ideal. Ini tidak disebut terhadap parti Melayu sehinggalah parti itu sendiri membuat perisytiharan dalam perlembagaan partinya.
Antara peristiwa moden yang layak disebut sebagai perpecahan Melayu adalah perang saudara berebut kuasa antara Raja Mahadi dan Raja Abdullah di Klang. Hal itu melibatkan raja dan bukan parti Melayu.
Selain institusi raja, maka institusi apa pun seperti NGO Melayu atau pergolakan antara parti Melayu tidak layak diangkat sebagai perpecahan Melayu. Yang ada, pemimpin Melayu yang tamak lagi ahmak. Dan, bermodal kekeliruan itu, mereka sangka mereka berpecah lalu mula menyeru perpaduan Melayu.
No comments:
Post a Comment