Tuesday, March 29, 2011

Antara revolusi 'Lat Kampung Boy' dan Najib Razak di Kg Baru

Oleh H FANSURI

Pada 23 Mac lalu, ada persembahan 'Lat Kampung Boy sebuah muzikal' bersempena Malam Gala. Walaupun dilewatkan pementasannya lebih kurang 15 minit (asalnya, pementasan itu dijadual pada 8:30 malam ) sebab kelewatan PM Najib Razak dan isterinya Rosmah, tetapi ia tetap menghiburkan dengan lawak jenaka termasuk jalan ceritanya yang baik.

Persembahan kehidupan Lat (Mohammad Nor Khalid) berdasarkan kisah hidupnya itu dipersembahkan dengan warna-warni; perihal suka-duka dan pahit getir hidup sejak di kampung sehingga alam dewasa menjemputnya datang menukang kehidupan di ibu kota.

Bermula dengan kehidupan sebagai wartawan di meja jenayah New Straits Times (NST), beliau kemudiannya ditawarkan menjadi kolumnis untuk mengisi ruang pojok kartun-kartunnya yang bersifat revolusi. Walaupun persembahan muzikal itu dipersembahkan dengan lucu, namun penonton yang kritis akan dapat menangkap makna dan garis-garis besar pemikiran Lat yang tertuang dalam bancuhan warna kehidupan kartunnya yang sentiasa segar itu.

Salah satu persoalan yang sentiasa terapung dalam fikiran Lat selama ini adalah kemuncak kerinduannya terhadap kampung halaman yang tercinta. Saat bapanya meninggal, hati Lat patah. Gelap dunia seluruhnya hingga beliau sanggup meletakkan jawatan sebagai wartawan untuk pulang ke desa.

Namun, pada masa yang sama, secara kebetulan kemahirannya dalam lakaran kartun revolusioner mula dikenalpasti oleh Tan Sri A Samad Ismail. Pihak NST menyedari kartunnya tersiar dalam sebuah majalah. Sejak itu, bintangnya mula bersinar garang dengan nyalaan terang.

Beliau terbang dari negara ke sebuah negara sehinggakan kesibukan itu merenggangkannya dengan keluarga. Namanya mula diperkatakan di peringkat antarabangsa. Sebenarnya, bukan kartun yang menambat hati orang, tapi makna yang terhimpun dalam lukisan kartun revolusi itulah yang diamati pihak luar.

Jennifer Rodrigo Willmott, penulis Reader's Digest, misalnya merumuskan kartun Lat sebagai, "Lat's cartoon characters have always been ordinary people—a villager in his checkered sarong, a money-changer in his white dhoti, a Malay government servant in his bush jacket and sometimes even Lat himself: that character with the flat, round face; the nose slightly off centre; the untidy mop of dark, curly hair; and the constant toothy grin."

Melalui Kampung Boy, Lat menceritakan kawasan bijih timah di desanya sebagai raksasa 'pembangunan' yang menelan segala keindahan. Dan, seperti anak desa lain yang berminat menjadi wira, Lat membayangkan dirinya sebagai koboi John Wayne yang siap berjuang mengguling raksasa bijih timah itu secara revolusi. Makna revolusi beginilah yang mungkin kurang terzahir meghiasi watak-watak kartun hari ini.

Dan kesibukan masa berkembang bagai raksasa yang menelan waktunya dengan keluarga. Keretakan dalam keluarga akhirnya dirungkai dengan langkah terakhir yang bersifat revolusi - Lat memujuk keluarganya kembali ke desa demi mengeratkan semula jalinan kasih sayang sesama mereka.

Maka Lat dan kampungnya adalah lambang Melayu sejati. Melayu tidak boleh dipisah dengan tiga 'K'; Kampung, Kapal dan Keris. Persoalan yang sedang bermain di fikiran saat menonton muzikal ini ialah, adakah Najib Razak sedar bahawa Kg Baru termasuk desa warisan lain di ibu kota perlu diselamatkan jika Dato' Lat sendiri tumpahkan kesetiaannya terhadap kampungnya (dalam Lat Kampung Boy) sehingga di peringkat dunia itu?

No comments: