Tuesday, March 29, 2011

Tidak sah revolusi guling pemerintahan secara ilmu sihir

Oleh H FANSURI

Mengguling tadbiran seseorang penguasa yang zalim, penindas serta memeras adalah harus hukumnya. Tetapi, timbul persoalan di sini, adakah sah penggulingan pentadbiran itu dengan melakukan ilmu sihir ke atas pemimpin dan raja-raja di negara itu?

Jawapan awal, secara ringkas di sini adalah, bahawa hukum menggulingkan pemerintahan dengan ilmu sihir tersebut adalah tidak sah!

Membuat coup d'etat secara militer, kompromi serta rundingan itu, masih punya ruang yang luas untuk didebat. Tapi, menggulingkan, melaksanakan revolusi pemberontakan dengan mengenakan sihir ke atas para pemimpin, maka hal itu jelas bercanggah dengan cara dan manhaj syariat.

Di sini, bukan salah revolusi dan revolusioner, tapi isunya adalah kedudukan ilmu sihir dalam pendirian mana-mana agama itu sendiri. Revolusi dan revolusioner tidak salah. Yang salah adalah ilmu sihir.

Kedudukan ilmu sihir di sisi semua agama adalah batil. Boleh dikatakan semua agama menolak urusan persekongkolan dan bersekutu dengan kuasa jahat; Iblis dan syaitan. Tetapi penggulingan pemerintahan melalui cara inilah yang paling banyak berlaku pada zaman kuno yang lalu.

Siapakah Merlin dan ratu-ratu sihir kuno Alam Melayu?


Salah satu bentuk penggulingan pemerintahan secara ilmu sihir adalah kisah Merlin di Camelot. Beliau sudah tidak asing di belahan dunia Barat. Beliaulah ahli sihir yang membina polisi, dasar tadbiran Raja Arthur, iaitu anak Raja Uther. Uther adalah raja yang mempunyai dasar menghukum penyihir.

Dalam drama bersiri The Adventure of Merlin misalnya, ditunjukkan kebangkitan Morgana (permaisuri raja) yang diangkat menjadi Ratu negara Camelot. Ratu Morgana ditabal sebagai ratu setelah suaminya; Raja Uther digulingkan pemerintahannya oleh seorang penyihir yang lain.

Tindakan menggulingkan pemerintahan Raja Uther ini juga boleh dikatakan sebagai suatu bawaan nilai pemberontakan pasukan penyihir kuno secara revolusioner. Pada abad-abad kegelapan di belahan dunia Barat ketika zaman Merlin, ada juga bangsa Druids (Irish Druids); iaitu kaum paganisme yang amalkan ritual 'keagamaan' kuno. Apabila disebut 'keagamaan' kuno, ini termasuk amalan ritual sihir itu sendiri.

Dalam takrif 'Kebudayaan Barat' yang cuba dikembangkan oleh Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, bangsa Irish Druids ini juga turut terlibat sebagai sebuah bangsa yang mengadun faham dan nilai 'Kebudayaan Barat' itu sendiri. Oleh itu tidak hairan jika Kebudayaan Barat hari ini mempersembahkan ilmu sihir dalam pancaran filem dan drama mereka. Produk ini disebut sebagai produk budaya.

Kisah raja diguling penyihir, nenek kebayan ada dalam filem Panca Delima


Kita patut berterima kasih kepada nenek moyang kita yang telah meninggalkan jejak kisah tentang hal nenek kebayan dalam cerita-cerita rakyat. Kita sebagai umat Melayu perlu menilai semula secara kritis siapakah sebenarnya yang dikatakan sebagai 'nenek kebayan' ini?

Jika ditinjau dalam filem Musang Berjanggut, wujud nyanyian kanak-kanak seperti berikut:-

Nenek-nenek si bongkok tiga
siang mengantuk malam berjaga
mencari cucu di mana ada
nenekku kahwin dengan anak raja.

Cucu-cucu tak dapat lari
nenek tua banyak sakti
sekarang nenek nak cari ganti
siapa kena dia yang jadi.


Nyanyian ini merujuk kepada sifat 'nenek kebayan' yang menjelma sebagai wanita cantik bagi menarik perhatian raja-raja Melayu pada zaman kuno dahulu. Selepas beberapa lama berada dalam istana, maka akan berlaku marhalah dan 'period' selanjutnya, iaitu rampasan kuasa melalui jalan sihir.

Banyak hal yang perlu dinilai semula terhadap sejarah dan kisah dianggap dongeng yang lama berlegar, diperturunkan kepada kita hari ini. Misalnya, adakah Puteri Gunung Ledang adalah juga nenek kebayan dan penyihir yang mungkin pernah 'menyihir' sultan sehingga tergamak membina 'jambatan berkembar' diperbuat daripada emas dan perak dari Melaka sehingga ke puncak Gunung Ledang?

Selain itu ada juga kisah-kisah yang memperihal usaha-usaha mengguling pemerintahan Raja Sulaiman secara revolusioner. Apakah kisah Raja Sulaiman digulingkan pemerintahannya ini dilakukan oleh para jin dan kaum ahli sihir? Kita mengetahui jin-jin adalah buruh kepada raja ini dan mereka sentiasa mahu bebas dan merdeka daripada kekuasaan raja Sulaiman ini.

Mungkinkah juga ada kaum penyihir yang sedia bergabung dengan jin untuk melakukan penggulingan ke atas raja-raja soleh pada zaman dahulu seperti kedudukan raja Sulaiman yang warak itu?

Silap mata dan sihir juga timbul mutakhir ini dalam isu fitnah liwat dan sebagainya hingga terkeliru jua fikiran umat. Terkini Carcosa Seri Negara menyiarkan sihir silap mata dan gejala kelucahan melampau.

Melihat ini semua, timbul soalan, mungkinkah ada usaha 'nenek kebayan' pasca moden yang 'menyihir' Najib Razak dan rakyat semua persis kisah nenek kebayan dalam Panca Delima dan Merlin itu?

No comments: