Friday, April 01, 2011

Bagaimanakah pengaruh Islam gugur dari Mongolia?

Oleh H FANSURI

Empayar Mughal juga disebutkan sebagai (Mughal Baadshah) adalah sebuah kerajaan yang pada masa kemuncaknya telah diberikan peluang untuk mentadbir Afghanistan, Balochistan, dan kebanyakan anak benua India antara tahun 1526 sehingga 1857.

Empayar Islam ini yang juga dipanggil sebagai Mogul, pernah didirikan oleh pemimpin Mongol, Babur pada 1526, ketika beliau mengalahkan Ibrahim Lodi, Sultan Delhi terakhir dalam Pertempuran Pertama Panipat. Perkataan Mughal adalah versi Indo-Aryan dari Mongol. Agama rakyat Mughal adalah Islam.

Kesan daripada kemajuan pembangunan Islam yang dibangunkan daripada Mongol pada satu saat dulu, maka warisan itu masih juga dapat dilihat pada hari ini.

Catatan di bawah ini dipetik daripada catatan Dr Awang Sariyan (Kembara Bahasa) di Facebook. Hadir rasa kagumnya ketika menyaksikan betapa banyaknya kesan pengaruh bangunan Islam di kota Huhhot.

Huhhot adalah ibu kota salah sebuah wilayah Mongolia Dalam yang sentuhannya dilihat sebagai begitu berseni. Ia hidup dengan senibina Arab (Islam), di sebalik pembangunan hotel, gedung beli-belah mahu pun hospital, demikian menurutnya.

"Penduduk Islam hanya sekitar 40 ribu orang di kota itu, tetapi terdapat daerah penduduk Islam di kota itu yang menjadi salah satu mercu tanda kota Huhhot," tulisan beliau dipetik

Melalui catatan ringkas itu juga, dikatakan ada 12 buah masjid di kota Huhhot sahaja. Sementara itu, di seluruh daerah Mongolia Dalam, yang saiznya sekitar satu perenam negara China, terdapat penempatan Islam yang dianggarkan kira-kira melibatkan ratusan buah masjid.

"Yang menarik ialah bahawa walaupun merupakan penduduk minoriti, Islam diiktiraf sebagai agama yang penting di daerah itu dan penduduknya dihormati oleh penduduk majoriti yang terdiri daripada bangsa Mongol dan Han," kata beliau lagi.

Tambahnya, pada tahun 2008, kota Huhhot telah dikurnia Anugerah Antarabangsa Dubai sebagai kota Amalan Sekitaran Kehidupan Islam.

BAGAIMANA ISLAM BOLEH GUGUR DI MONGOLIA?

Turut menjadi persoalan lain, jika Mongol pernah menjadi Muslim dahulu, bagaimanakah Mongol hari ini sudah menjadi bukan Muslim? Bagaimanakah proses perpindahan agama beramai-ramai itu terjadi?

Kedudukan agama model Altantuya dari Mongolia misalnya turut menjadi bahan perbahasan sebab ada pihak mendakwa bahawa mangsa itu beragama Islam. Tapi akhirnya abu Altantuya yang diambil sudah cukup menyebabkan kita membuat kesimpulan bahawa mangsa itu bukanlah Muslim.

Kematian Altantuya mengheret fikiran kita sejenak terhadap persoalan ini, bagaimanakah Mughal yang asalnya Muslim itu akhirnya bertukar kepada negara yang bukan Islam?

Persoalan bagaimana kuasa Mongolia Islam (Empayar Mughal) itu boleh gugur keislamannya bolehlah disemak daripada sejarah kejatuhan bangsa lain yang pernah juga diberi amanah untuk mendakwahkan Islam ke serata alam. Mereka jatuh kerana sudah lupakan ajaran Tuhan untuk mendakwahkan Islam.

Bani Abbasiyyah, Bani Umayyah telah diberi peluang mentadbir dunia melalui ajaran-Nya, tapi mereka ingkar. Lalu, kekuasaan mereka digantikan dengan kaum-kaum lain pula melalui jalan peperangan.

Menurut sejarah, kerajaan ini sebahagian besarnya adalah di bawah taklukan Sher Shah ketika tadbiran Humayun. Di bawah Akbar kerajaan ini berkembang terus sehingga pada akhir pentadbiran Aurangzeb. Kemudian, Jahangir anak kepada Akbar diberi peluang memerintah kerajaan ini antara 1605 – 1627.

Selepas Oktober 1627, Shah Jahan, anak Jahangir telah mewarisi takhta kerajaan yang luas dan kaya di India. Pada abad itu, dikatakan bahawa empayar ini mungkin merupakan kerajaan terbesar di dunia.

Maka, ketika zaman keagungan inilah Maharaja Mughal Shah Jahan, memerintahkan pembangunan Taj Mahal antara 1630-1653 di Agra, India. Ia dibina atas nama cintanya ke atas isterinya, Mumtaz Mahal.

Ketika inilah empayar Mughal mula berdepan dengan kemerosotannya. Adakah kerana cintanya kepada isteri bagai Najib 'kasihkan' Rosmah jadi hijab pendinding kemajuan yang patut dicapai pada masa itu?

Wallahu'alam. Apa pun, selepas pentadbiran Shah Jahan, maka empayar itu diganti dengan anak ketiga beliau; Aurangzeb. Dan, setelah kematian Aurangzeb pada 1707, Mughal mengalami kemunduran.

Pada 1739, empayar ini dikalahkan Parsi yang dipimpin oleh Nadir Shah. Pada 1756, pasukan Ahmad Shah menceroboh Delhi sekali lagi sebelum Empayar British akhirnya membubarkannya pada 1857.

Inilah kali terakhir Empayar Mughal jatuh. Ia jatuh di India, atau setepatnya, Pakistan. Warisan Mongol ini mengalir ke Pakistan seperti mana kesan pengaruh empayar Turki mengalir ke dalam Alam Melayu.

Pada masa depan sejarah peradaban Islam Mughal ini wajar diberi penekanan di sekolah agar Muslimin masa depan dapat menyemak semula kelemahan untuk diperbaiki.

Tanpa mengenal di mana sempadan kelemahan umat terdahulu, sulit bagi kita membina dan menyusun semula kekuatan kita pada masa-masa hadapan. Misalnya, bagaimanakah keislaman Mongol berpindah ke Pakistan, India menjadikannya Mughal wajar difikir bersama agar kematian Altantuya lebih bererti.

No comments: