Monday, March 14, 2011

Dr M – 'lelaki jahat' yang kuatkan Islam?

Oleh H FANSURI

Dalam sepotong hadis ada disebutkan peristiwa seorang lelaki yang berjuang di medan perang lalu dia terbunuh. Ramai yang memuji ketangkasannya, tetapi beliau tidak gugur mati syahid.

Sebenarnya, ada juga orang yang berjuang di jalan Allah s.w.t yang berniat menunjuk-nunjuk, bahawa dialah yang paling hebat berperang supaya namanya harum dalam kalangan manusia.

Ada juga yang tidak dapat bersabar dengan kesakitan yang mereka harungi itu, lalu terus membunuh diri untuk menamatkan penderitaannya.

Walaupun ada yang kelihatan hebat berjuang di medan perang, dan mendapat pujian sahabat, tetapi hal ini berlainan pula dengan sikap, pendirian Rasulullah s.a.w. Melihat beberapa pejuang yang kecundang, baginda bersabda, bahawa lelaki itu sebenarnya ahli neraka.

Maka sahabat pun terkejut. Mereka bertanya, bagaimana mungkin orang yang berjuang boleh mendapat imbalan neraka? Lalu baginda bersabda, "Allah s.w.t akan kukuhkan Islam dengan lelaki jahat."

Umno, Dr Mahathir 'kuatkan' Islam?


Perkara ini amat penting difahami kerana ramai orang menganggap Dr Mahathir seorang pejuang Islam yang mengukuhkan agama Islam hari ini dengan kelantangannya mengkritik Barat.

Dalam konteks perang fikiran di rantau ini, memang Dr Mahathir kelihatan jaguh melebihi Najib yang membisu ke atas kenyataan biadap Lee Kuan Yew. (Tetapi, Dr M juga membisu ke atas sikap Rosmah).

Contohnya, Dr Mahathir menyelar Lee Kuan Yew yang meminta Melayu Muslim Singapura melonggar ikatan pegangan mereka terhadap Islam.

Tetapi, ini tidak bermaksud Dr Mahathir adalah lelaki yang baik, soleh ketika menyelar Lee Kuan Yew. Beliau tetap kekal dengan kedudukannya sebagai lelaki yang jahat. Iaitu, lelaki jahat yang memerangi kejahatan musuh-musuh Islam. Beliau bukan lelaki baik ketika 'berjuang' melawan kenyataan Lee itu.

Hal ini mesti difahami umat Islam di negara ini. Sepertimana sabda rasul, "Bahawa Allah s.w.t kuatkan Islam dengan lelaki yang jahat..." Maka, Dr Mahathir ini mungkin juga termasuk dalam golongan lelaki jahat yang dikatakan tidak mati syahid di medan perang itu.

Kalau Dr Mahathir mati sebelum bertaubat maka umat melihat beliau sebagai lelaki jahat yang kuatkan Islam. Beliau bukan kekal kedudukannya sebagai lelaki soleh yang menguatkan kedudukan Islam.

Dosa-dosa lampau Dr Mahathir


Peristiwa pembunuhan genocide, assasin ke atas Ibrahim Libya dan rakan-rakan seperjuangannya tidak boleh mengangkat Dr Mahathir setaraf darjat Insan Kamil Wal Mutakammil. Dosa itu tetap dosa walau dia mendakwa Musa Hitam yang bertanggungjawab dalam pembunuhan itu.

Hal ini sama seperti kedudukan Anwar Musa terlepas daripada isu wang PPRT lesap lalu cuma pegawai bawahan yang terhukum. Katakanlah selepas ini Anwar Musa mati kerana perjuangkan Islam, maka dia tetap juga berkedudukan sebagai lelaki jahat yang mengukuhkan Islam. Dia bukanlah lelaki baik kerana terjebak dengan lesapan wang PPRT itu. Hal ini mesti jelas.

Ia juga seperti kisah pengeboman C4 ke atas jenazah Altantuya dari Mongolia, lalu Azilah Hadri, Sirrul Azhar saja yang terkena tempias hukuman yang terlibat dengan jenayah Bourgeoisie Mustakbirin Najib itu. Jadi, jika Najib berjuang melawan Amerika, maka Najib tetap lelaki jahat yang kukuhkan Islam.

Najib bukan lelaki soleh yang kuatkan Islam, tapi lelaki jahat yang berjuang menguatkan Islam. Maka, timbul persoalan, adakah penjahat yang kuatkan Islam akan masuk syurga, mendapat keredhaan-Nya?

Wallahu'alam. Hal ini semua tergantung kepada keputusan Allah juga. Tapi, berdasarkan petunjuk hadis nabi di atas, maka kedudukan lelaki jahat yang menguatkan Islam ini akan berada di neraka jua.

Walau dia menyelar Lee Kuan Yew, menyerang Amerika dengan lantang, Dr Mahathir tetaplah bersalah dalam apa jua dosa-dosa yang ditimbulkan oleh menteri-menteri kabinetnya.

Beliau pegang 'fail' dosa semua menteri lalu bertindak berdiam ke atas dosa para menteri. Adakah sikap ini mewakili sikap lelaki yang baik? Lelaki soleh akan menegur kemungkaran di depan mata. Tetapi Dr Mahathir berdiam diri. Para menteri jua menyimpan failnya. Masing-masing mereka saling menyimpan fail masing-masing.

Dr M hina Nik Abdul Aziz


Pada 24 Februari lalu, sms Utusan menyebarkan kritikan Dr Mahathir ke atas Nik Abdul Aziz sebagai berikut, "Apabila bapa kepada DAP menyarankan supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada ajaran Islam, Nik Aziz tidak menolaknya kerana anggapannya yang saranan ini tidak seburuk nasionalisme orang Islam UMNO."

Daripada sini, dapat kita lihat betapa jahatnya Dr Mahathir. Menteri Besar Kelantan sebenarnya sudah menolak kenyataan Lee Kuan Yew, tetapi dalam kenyataannya beliau cuba membangunkan peringatan terhadap lelaki jahat (Dr Mahathir) yang 'mengukuhkan' Islam dengan menyelar Lee Kuan Yew itu.

Itulah sahaja yang kita perlu fahami. Putar belit kenyataan Dr Mahathir semakin menambah keyakinan kita bahawa Dr Mahathir tergolong dalam kalangan lelaki jahat yang menguatkan Islam. Dan, berdasar hadis nabi – lelaki jahat yang menguatkan Islam ini akan terlontar ke dalam api neraka jua akhirnya.

No comments: