Oleh H FANSURI
Akhirnya, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menunda pembacaan Rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru 2010 di Parlimen sehingga Jun depan. Keputusan ini dibuat gara-gara bantahan penduduk di kawasan ini, demikian kata beliau.
Akhirnya, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menunda pembacaan Rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru 2010 di Parlimen sehingga Jun depan. Keputusan ini dibuat gara-gara bantahan penduduk di kawasan ini, demikian kata beliau.
Rang undang-undang itu sepatutnya dibaca kali kedua pada sidang Parlimen kali ini, tapi ditangguhkan sehingga tiga bulan. Sebetulnya, ini bukan isyarat penuh; tanda keberhasilan dan kejayaan penduduk.
Hal ini tentu bercanggah terhadap kenyataan Raja Nong Chik bahawa 90 peratus penduduk di sini telah bersetuju dengan rang undang-undang baru itu. Jika beliau yakin mendapat sokongan, kenapakah Raja Nong Chik sendiri yang menundanya. Realitinya yang ada, bantahan terzahir melalui kain rentang yang dinaikkan oleh penduduk di sini.
Bagaimanapun, penundaan itu tidak membawa makna apa-apa kerana rang undang-undang telah dibaca buat kali pertama pada Disember tahun lalu tanpa makluman penduduk di sini.
Setelah dibacakan rang undang-undang baru itu, maka barulah Raja Nong Chik bertemu orang-orang di sini. Walhal, sepatutnya perundangan wujud selepas muafakat wujud. Hal ini pun gagal beliau diselami.
Falsafah pembentukan undang-undang
Bagaimanapun menurut Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (Mas) Kg Baru Shamsuri Suradi, Putrajaya sudah menggugurkan peruntukan kontroversi; imuniti 'tidak boleh dicabar' seperti yang tertulis dalam rang undang-undang itu ekoran bantahan pemilik, pewaris tanah.
Sebenarnya, dengan sikap menggubal undang-undang baru ini pun, kita sudah boleh melihat wujudnya niat yang tidak baik dalam kalangan pihak tertentu. Suatu hal lagi sikap membaca perundangan terlebih dahulu sudah menggambarkan sikap Melayu elitis yang tidak faham corak pemikiran Melayu sejati.
Kalau kita bertanya Raja Nong Chik bagaimanakah boleh wujudnya undang-undang dan kenapa hukum itu disebut sebagai undang-undang, maka beliau mungkin tidak tahu.
Undang-undang wujud disebabkan kita adalah khalifah Allah, wakil Tuhan yang menentukan peraturan dalam kehidupan. Kenapakah hukum-hakam itu disebutkan sebagai undang-undang adalah disebabkan oleh sikap Melayu yang mengundang orang terlebih dahulu sebelum membentuk undang-undang.
Demikianlah akrabnya pemikiran Melayu dengan Islam yang mengamalkan syura ini. Tiada salah lagi.
Kecintaan terhadap Kg Baru dipupuk melalui sejarah
Sebenarnya kecintaan orang terhadap Kg Baru ini semakin lemah jika mereka tidak dihadapkan dengan sejarah kampung yang berusia lebih daripada 100 tahun ini. Ia telah dihuni dan pernah disewa pejuang Melayu berhaluan kiri sebelum ini. Antaranya adalah Ahmad Boestamam.
Ada beberapa tempat yang dirakam Boestamam berkisar perjalanan hidupnya di Kg Baru itu. Misalnya kenangan beliau ketika wujudnya rapat umum di Kg Baru.
Beliau menulis sebagai berikut: “Pada hari itu - hari Api (Angkatan Pemuda Insaf) genap berusia setahun – Api Selangor telah mengadakan suatu perjumpaan ramai di padang TPCA dekat Kg Baru.”
Dan, kata Boestamam, sebelum perjumpaan ramai itu dilangsungkan, maka suatu perarakan telah diadakan bermula dari Markas Besar PKMM di Batu Road, ikut Jalan Mountbatten sekarang, masuk Jalan Melaka, masuk Jalan Ampang, masuk Jalan Campbell, masuk Jalan Hale (bererti melalui Kampung Baru), masuk Jalan Raja Muda sekarang dan akhirnya masuk ke pada TPCA.
“Saya menghadiri perjumpaan ramai ini,” kata Boestaman dalam Memoir Ahmad Boestamam Merdeka Dengan Darah dalam Api dipetik.
“Dalam perarakan tersebut, kira-kira 1,000 orang anggota Api yang berpakaian seragam dan anggota Awas telah mengambil bahagian. Begitulah salah satu babak yang beliau lukiskan mengenai Kg Baru ketika anggota parti PKMM sedang bergaduh dengan pegawai polis British pada 17 Februari, 1947.
Sebenarnya, tentulah ada banyak lagi rangkuman kisah perjuangan Melayu. Semua catatan ini terakam sebagai suatu bukti kukuh. Dan bukti ini pastinya akan menjadi hujah yang teguh pula agar kita semua bangkit untuk mempertahan Kg Baru daripada dicemari tangan 'pembangunan' yang meruntuhkan.
No comments:
Post a Comment