Tuesday, March 15, 2011

Tugas-tugas revolusioner Malaya melalui sastera

Oleh H FANSURI

Dr Awang Sariyan mencatat di Facebook sebagai berikut, "Teringat akan tafsiran Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas semasa berkuliah (1973 - 76) di UKM Pantai Baharu: Peribahasa 'Ikut resmi padi, makin tunduk makin menjadi' menegaskan perlunya seseorang 'tunduk kepada kebenaran', bukan tunduk melulu seperti lembu dicucuk hidung menurut kehendak mana-mana pihak."

Kata-kata ini mengalunkan riak kenangan pada masa-masa yang lalu ketika PPSMI masih teguh berdiri. Dan, hari ini gelombang revolusi thawrah itu akan terjadi lagi jika berlaku ketentuan daripada Tuhan. Di Universiti Malaya, ada gergasi yang tidak mahu tunduk kepada kebenaran sejarah mahu pun tunduk terhadap kemahuan negara termasuk kemahuan warga kampusnya sendiri.

Perkataan ini mungkin pada asalnya dinisbahkan kepada sikap seseorang yang terpelajar dan sombong dengan kecendekiaannya. Dalam pengalamannya Al-Attas pernah memberi pengajaran terhadap pelajar Sosialis yang tidak menghormati kedudukan guru. Al-Attas adalah tergolong dalam kumpulan yang punya keahlian dalam kesusasteraan. Pentingnya kesusasteraan kerana Bung Pram berkata, orang yang berderet gelaran sarjana akan digelar binatang yang pandai jika tidak diasah jiwanya dengan ilmu kesusasteraan.

Tapi, pensyarah yang berjiwa murabbi sastrawi di universiti hari ini semakin berkurangan. Bukannya tidak ada. Mereka hadir dalam jumlah yang sedikit. Kalau pun ada, sulit ditemukan yang berani. Kalau ada yang berani mencabar, nescaya akan terbuang ke daerah yang lain.

Apa pun, tahniah kepada pensyarah yang berani mengasuh siswa-siswa mereka akan menjadi pemberani. Di Akademi Pengajian Melayu, UM, sudah ada pelajar-pelajar yang merungut, "Pensyarah Melayu kita bisik-bisik sahaja ketika melawan Jurnal ISI ini, pensyarah Cina setidak-tidaknya bercakap juga."

Kalau pensyarah mahu lebih dihormati, maka mereka perlu lebih berani. Bak kata — Pramoedya Ananta Toer, "Dalam hidup kita, cuma satu yang kita punya, yaitu keberanian. Kalau tidak punya itu, lantas apa harga hidup kita ini?" (Anak Semua Bangsa, halaman 119)

Pengarang bukan badut, dia mengguling kejahatan

"Pengarang itu korps avant garde, bukan menghibur... tugasnya melawan kejahatan dalam tulisan-tulisannya," kata Pramoedya Ananta Toer. Beliau sosok yang sering keluar masuk penjara sepanjang usianya yang tepu dengan urusan mengarang untuk mengguling kejahatan, kecurangan dan kemunafikan.

Maka di sinilah juga letaknya tugas-tugas pengarang, penulis, penyair, cerpenis dan novelis itu. Gelaran yang paling tinggi diraih adalah pengarang yang memusatkan perhatiannya terhadap usaha-usaha melawan kejahatan ini.

Kita boleh lihat betapa ketakutan memainkan peranan dalam hati sasterawan itu sendiri. Mereka sudah takut-takut menukang karya kreatif dalam bentuk yang boleh mengancam dan mencungkil kebiadapan penguasa. Sudah jarang pengarang yang keluar masuk penjara serta dipantau gerakannya oleh polis mata-mata gara-gara kenakalannya dalam berkarya.

Pengarang yang berjiwa besar mungkin ingin mengubah dunia dengan penanya. Oleh itu, dia mesti berjuang dengan hatinya dan hatinya perlu berani. Ini memerlukan masa yang panjang juga untuk menciptakan keberanian. Seseorang perlu dikorbankan atau berkorban.

Mayta, revolusioner tegar, istiqamah dengan iltizam, sumpah dan semangat revolusi

Menyentuh hal pengorbanan ini, saya terbaca keluhan saudara S M Zakir berhubung ketiadaan revolusioner dalam kalangan penulis untuk mengambil bahagian dalam urusan mengirim memorandum bantahan mengenai novel Interlok kepada Perdana Menteri Najib Razak.

"Saya serik jadi seperti revolusioner Mayta..." kata S M Zakir ketika merumuskan kesulitan yang beliau hadapi bersama teman-temannya itu. Kata beliau, sudah banyak perjuangan yang dituntut daripada persatuan penulis selain isu sastera, Interlok, bahasa Melayu dan sebagainya.

"Tapi, ramai yang bercakap bahkan mengarah. Bila bertindak, hanya beberapa kerat yang sanggup beraksi," kata beliau lagi.

Sebahagian besar yang lainnya, tambahnya, masing-masing membawa haluan dan alasan tersendiri; sibuk dengan kuliah, balik kampung, saudara mara bernikah, membawa anak-anak berjalan dan sebagainya lagi.

"Maka, saya teringat novel mengenai riwayat Mayta, yang dikarang oleh Mario Vargas Losa. Mayta melancarkan revolusi dengan disertai 3 orang dewasa dan 7 orang pelajar sekolah," katanya ketika mengenangkan pengalaman peribadinya itu.

Tambah beliau, ketika beliau bersama Mohamed Saleeh Rahamad dan Amirudin Md Ali Hanafiah di Pejabat Perdana Menteri Najib Razak menghantar memorandum berkaitan isu Interlok, maka kedudukan mereka itu sama seperti Mayta.
Jadi, yang kekal tinggal melaksanakan aksi revolusi itu hanya mereka bertiga, sama seperti Mayta dan rakan-rakannya. Barangkali, atas sebab itu, beliau menitipkan pesan ringkas di Facebook, "Minta maaflah, saya sudah serik menjadi seperti Mayta."

Sebetulnya, inilah yang terjadi di kebanyakan universiti kita pada hari ini. Apabila ada seorang pelajar dan pensyarah ingin membuat revolusi, maka tiada yang tergerak sama untuk mengikut dan menyertainya atas alasan takut periuk nasi mereka terjejas dan pinjaman PTPTN mereka tergendala.

Dengan berat, saya terpaksa menulis semula secebis kisah peribadi ketika berkuliah. Ketika sendirian berdepan HEP, memang ada yang hanya menonton dan tidak kurang yang menaburkan kata-kata melemahkan semangat revolusi. Pada ketika inilah kita akan dapat melihat jatuh bangun seseorang itu. Jika seorang revolusioner itu sanggup menjadi seperti Mayta, maka dia akan dikenang sebagai lagenda selepas kematiannya.

Dalam salah satu laporan di New York Times, kedudukan Mayta itu dilaporkan sebagai berikut, "Mayta was a professional revolutionary, adept at manipulating those younger and more naive than himself. To a former cohort, Mayta was a weak man, incapable of planning an insurrection, a mere follower and a dupe."

Syahadan, sejak sasterawan tidak bersuara, atau ketiadaan penyair yang keluar masuk penjara gara-gara kenakalan dalam tulisannya, maka kita melihat zaman sekarang sudah menjadi gila akibat ditukang oleh kata-kata manusia parti adanya...

No comments: