Monday, March 28, 2011

Isu Alkitab: Lindungi Islam dengan kuasa Raja Melayu, bukan PM

Oleh H FANSURI

Ketika Perdana Menteri Najib Razak mengeluarkan kenyataan berhubung pengedaran Bible Melayu di Pelabuhan Klang, kita semua tahu keputusan itu bercanggah dengan keputusan kabinet sebelum ini.

Kabinet pada Mei 1986 mengeluarkan arahan mengharamkan penggunaan nama Allah, solat, kiblat dan kaabah kepada sebarang dokumentasi melibatkan Bible dalam bahasa Melayu dan lain-lain risalah yang terkait dengan sebaran agama Kristian yang disebut sebagai pengkristianan.

Hari ini, Bible Melayu dikenali Perjanjian Baru, Mazmur dan Amsal. Sementara itu, CFM iaitu sebuah badan gabungan kumpulan Kristian mendakwa bahawa Najib berkata - kitab-kitab itu dibenarkan untuk diedar secara meluas sekurang-kurangnya di Sabah dan Sarawak.

Ada persoalan yang lebih besar dibincangkan di sini – adakah Najib Razak itu raja Melayu yang kuasa beliau diiktiraf dalam perlembagaan sebagai pelindung ajaran Islam?

Baik Najib Razak atau CFM perlulah sedar bahawa Raja-Raja Melayu adalah pelindung ajaran Islam di Malaya. Sabah dan Sarawak adalah suatu entiti lain dan Malaya (Tanah Melayu) adalah suatu lain juga ketika membentuk Malaysia. Hal inilah yang tidak disedari oleh Najib dan CFM.

'Tiada masalah' apabila Bible terjemahan Melayu itu mahu dibiar beredar di entiti Sabah, Sarawak, tapi ia hendaklah dibincangkan ke bawah duli tuanku raja-raja Melayu kerana Islam adalah agama rasmi di Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu. Najib adalah pemimpin tertinggi kuasa eksekutif.

Tugas rasmi kuasa eksekutif adalah mentadbir kerajaan sementara Yang Dipertuan Agong adalah ketua negara yang didokongi oleh raja-raja Melayu sebulat suara. Apabila Yang Dipertuan Agong itu adalah ketua negara, khasnya ketua agama di Malaya, maka agama rasmi persekutuan (Malaya) adalah Islam.

Soalnya, bagaimana mungkin Kristian tersebar di entiti Malaya dalam keadaan nama Allah, perkataan solat, kiblat dan lain-lainnya masih juga mahu disebarkan dalam risalah-risalah Kristian hari ini?

Isu utama – rosakkan aqidah umat Islam atau rosakkan ajaran Islam


Seperti yang disebutkan di atas tadi, kita menyedari bahawa kuasa eksekutif PM Najib tidak sampai ke wilayah agama Islam. Yang ditulis di perlembagaan itu adalah kedudukan raja Melayu pelindung Islam.

Sekali pun PM Malaysia seorang Muslim tapi perlembagaan tidak menabalkan Najib sebagai pelindung ajaran Islam daripada dirosakkan oleh unsur-unsur luaran dan unsur-unsur dalaman.

Dan kehadiran Alkitab berkemungkinan besar akan merosak ajaran Islam sedikit demi sedikit seperti mana segolongan pendeta Yahudi merosakkan ajaran Nasrani Nabi Isa a.s setelah mereka merosakkan agama Yahudi bawaan Nabi Musa a.s ke atas Bani Israel sebelum ini.

Ada dua isu yang boleh dibahas di sini. Pertama percubaan merosakkan ajaran Islam oleh penginjil dan keduanya, percubaan penginjil untuk merosakkan aqidah umat Islam itu sendiri.

Walaupun ada pihak menyatakan bahawa kehadiran Alkitab itu akan melemahkan pegangan umat Islam {dan oleh sebab itulah penterjemahan Bible kepada bahasa Melayu itu perlu disekat}, tapi hakikat yang sebenarnya berlaku, bukanlah kekuatan ajaran Kristian yang menyebabkan Melayu berpindah agama.

Malahan, yang lebih perlu diberi perhatian - percubaan penginjil untuk merosakkan nama Allah dengan meletakkan nama-Nya di dalam risalah mereka sendiri.

Maka, hal inilah yang perlu ditentang oleh umat Melayu yang sudah dipilih Tuhan sebagai bangsa yang membela agama Islam pada akhir zaman ini.

Jika ada orang berkata, ajaran Islam tidak mungkin akan dirosakkan, kerana jaminan Allah itu memang jelas ada, maka kata-kata itu tidak kita bantah. Ya, memang benar ajaran Islam akan terpelihara.

Tetapi, Allah s.w.t juga berhak memilih bangsa yang sikapnya untuk menjaga Islam yang diredhai-Nya itu. Selepas tamatnya tempoh Melayu, maka bangsa lain pula yang akan dipilih Tuhan nantinya.

Allah telah memilih bangsa Arab, bangsa Iran, bangsa Turki dan Mongolia untuk memelihara Islam ini, lalu setiap bangsa sudah pun melewati tempoh batas-batas masanya untuk memelihara Islam itu sendiri.

Ada yang telah jatuh roboh dan rebah. Tidak ada siapa pun yang pernah terfikir bahawa bangsa Mongol itu adalah bangsa yang pernah handal dan dipilih untuk mengungguli dunia ketika jahiliyyah dan sudah dimuliakan Tuhan dengan Dinasti Mughal ketika mereka memeluk Islam beramai-ramai di Baghdad.

Tapi, martabat Mongolia sudah rebah, wanitanya diperlakukan secara hina dalam aksi letupan C4 yang melibatkan komisen kapal selam. Terbunuhnya seorang wanita tanpa pembelaan itu bermaksud puncak kehinaan bagi mana-mana bangsa yang menanggalkan jubah Islam dari batang tubuh bangsa itu.

Akhirnya, ditakdirkan kelahiran seorang penguasa kejam seperti Najib yang terlibat dalam kecurangan pembelian kapal selam dari Perancis itu. Tapi Najib juga dilihat sebagai pembela Islam oleh sesetengah orang, padahal tidak. Perancis hari ini bersekongkol dengan AS, Britain dalam mengganyang Libya.

Buktinya Najib membenarkan penyebaran Bible Melayu di entiti Malaya ini. Umat sudah tidak melihat raja Melayu sebagai pelindung walaupun kedudukan raja-raja Melayu sebagai pelindung Islam itu telah jelas disebutkan oleh perlembagaan negara. Hubaya! Hubaya!

No comments: