Saturday, April 30, 2011

Kalau 10 artis 'masuk' PAS selepas Bob Lokman, apakah persediaan PAS?

Oleh H FANSURI

Akhirnya, Bob Lokman dijemput ke pejabat Harakah di Jalan Pahang Barat pada 14 April lalu. Undangan kedua ini terlaksana selepas undangan pertama sebelum ini tidak dapat dipenuhi atas masalah tertentu. Maka, saya dimaklumkan beberapa teman berhubung beberapa perkara yang penting mengenai 'talk' Bob Lokman itu.

"Ada 10 orang artis datang jumpa saya apabila saya masuk PAS ni," kata seorang teman. "Tapi saya nasihatkan mereka agar berhati-hati, jangan nampak sangat kita ni rapat dengan PAS ini."

Sebelum itu, sambil minum-minum di Restoren Haslam pada petang Khamis, hari yang sama, seorang teman lain memberitahu, "Bob cakap tadi, dia pun tergerak nak masuk PAS selepas dia kerap ikuti ceramah agama seorang ustaz Nazri di Kelang."

Kata teman-teman juga, ada beberapa bekas pegawai polis pencen yang mengucapkan tahniah kepada beliau yang bertindak berani masuk PAS itu. Kata seorang teman, "Bob Lokman ni, rupa-rupanya luas perkenalannya, Sultan Kelantan yang sebelum ni pun rapat dengan dia..."

"Bob ni orang mana sebenarnya?" saya bertanya lagi kepada rakan bualan itu.

"Dia memang Kelantan," kata rakan saya itu kemudian. Dan, kata teman itu lagi, artis selebriti itu juga memiliki susur galur keturunan ulamak terkenal di Kelantan juga. Saya mengangguk-angguk. Demikianlah antara secebis kisah yang boleh dikongsi sedikit berhubung ceramah Zohor yang diadakan di aras 3 bangunan Harakah itu.

Apabila kisah ini tersiar, maka nilai pemberitaannya agak tinggi. Bob juga meminta agar nama-nama artis itu tidak diumumkan. Sebenarnya tidak penting juga persoalan artis masuk PAS atau tidak. Yang paling utama di sini ialah, artis-artis itu mahukan pembaharuan jiwa, kejernihan hati dan pencerahan.

Yang ada dalam senarai ingatan saya, hanya tinggal enam orang sahaja. Untuk kali ini biarlah identiti mereka ditulis dengan pangkal huruf terawal pada nama mereka; W, K, A, H, WS dan C. Empat lagi saya tidak tahu. Dan sekali lagi, nama-nama artis tidak penting. Biarlah rahsia seperti lagu Siti Nurhaliza.

Apakah tapak persediaan untuk artis selebriti PAS?

Daripada bualan Zohor itu, akhirnya terpecah juga cerita mengenai kedudukan susur-galur artis selebriti yang sudah jelas masuk PAS ini. Maka ulamak di Kelantan yang mana Bob menjadi cicitnya itu adalah Tok Kenali. Hah! Saya sedikit terperanjat.

Mulanya hal ini saya tidak mahu cerita. Tapi, oleh kerana Tok Kenali ini dikatakan akrab dengan seorang lagi ulamak di Kelantan; Tok Selehor (Selehong), maka ada keperluan juga untuk dituliskan sedikit hal kedua-dua ulama itu di sini.

Konon, diceritakan orang, adapun Tok Selehor ini berminat dengan bunyi-bunyian, lagu dan seni hiburan. Arwah Ustaz Wan Saghir pernah menulis hal Tok Selehor sebagai berikut:-

"Ustaz Ismail Awang menulis, 'Tok Selehor pernah mengadakan Maulid an-Nabi secara besar-besaran dan dialah ulama Kelantan yang mempelopori perayaan itu. Berzanji dibaca dengan penuh perasaan. Perarakan besar-besaran di adakan. Pernah berpuluh-puluh ribu orang datang ke majlis perayaan Maulid Nabi anjurannya."

Tulisan itu menambah lagi, "Hal ini (berzanji, maulid nabi) pernah dikritik oleh akhbar-akhbar pada zaman itu, tetapi beliau (Tok Selehor) tidak juga berhenti kerana beliau ingin menanam rasa cinta umat kepada Rasulullah s.a.w. yang penuh tenaganya berjuang menyebarkan Islam. Dengan cara itu anak-anak pondok lebih cepat bermesra dengan Rasulullah s.a.w. daripada hanya menyampaikan kisah tanpa diadakan gerak kerja.'"

Tamat catatan Ustaz Wan Saghir di sini. Apa yang penting dimuatkan di sini ialah, persoalan kritikan akhbar dan rungutan orang-ramai terhadap amalan berzanji dan maulid nabi ketika itu. Maka, hal amalan berzanji dan perarakan maulid Tok Selehor itu dibangkitkan kepada Tok Kenali.

Tetapi, dikatakan bahawa Tok Kenali hanya berdiam diri apabila dihadapkan perihal Tok Selehor yang masih meneruskan amalan berzanji serta perarakan maulid yang kuat dicela masyarakat saat itu.

Peristiwa ini dilihat sebagai berikut - iaitu hal berzanji dan perarakan maulid seolah-olah diredhai tokoh ulamak bertaraf wali itu. Maka, persoalan bunyi-bunyian, muzik dan hiburan itu masih jua bersifat khilaf sampailah ke hari ini.

Baik Tok Kenali mendiamkannya dan baik Tok Selehor, masih jua meneruskan adat kebiasaannya dan kesukaannya; berkompang dan bergendang apabila tiba musim perayaan perarakan maulid dan berzanji itu. Muzik, budaya dan seni hiburan yang bersifat khilaf itu masih tertakluk dan dikaitkan dengan hal gaya penyampaian uslub dakwah.

Ya, tidak penting lagi siapa 10 artis selebriti yang akan masuk PAS selepas ini. Biar pun 100 sekali pun artis dan selebriti yang akan masuk PAS, bukanlah suatu hal yang penting. Perkara yang utama dibincang PAS ialah apakah wadah yang boleh diusahakan PAS agar para selebriti ini terus-menerus berkarya demi syiar agama?

Inilah yang perlu kita fikir dengan berani. Tuhan jadikan semua kita tidak sama minat, kepakaran. Tidak sesuai minat dan kecenderungan artis selebriti ini dihalakan ke pentas agama. Sebab itu, kita kena berani berfikir untuk jawab soalan pada masa depan. Ambil satu contoh soalan-adakah PAS akan menaja filem Islami?

No comments: