Saturday, April 30, 2011

PPSMI: Tegakkan 'fatwa' lama, asuh Umno BN dengan bahasa undi

Oleh H FANSURI

Assalamualaikum. Kepada yang berbahagia Dato' A Samad Said yang terhormat. Musim ini, rakyat menuai benih syak keraguan terhadap kerajaan akibat salah semaian lewat dasar-dasar tertentu. 


Umat menyaksikan gelora kebangkitan yang pelbagai rencamnya. Daripada hal saman ekor menular wabaknya berjangkit kepada aksi ngeri revolusi di luar negeri. Syahadan, maka gelora lama yang terendam di jiwa dikurung di penjara hati jangan pula dilupakan.

Adapun salah satu benih yang disemai suburkan sejak 2003 itu adalah PPSMI. Tidak perlu kita bercakap panjang tentang hal ini. Sekadar teringat ucapan berhubung kenyataan dan pendirian Pak Samad dahulu, "Ini bukan mansuhkan, tapi penundaan..."

Saya kira Pak Samad benar apabila merumuskan kenyataan Muhyiddin Yassin mengenai pemansuhan PPSMI bermula 2012. Ini bukan pemansuhan, tetapi penundaan. Tetapi, ramailah sudah orang yang terpedaya akibat khilaf dan kekeliruan yang mereka sendiri ciptakan dalam jiwa.

Keimanan dan kepercayaan mereka terhadap Umno, BN, Muhyiddin Yassin dan Najib Razak itu memang menebal nampaknya. Baru-baru ini, saya berbual dengan rakan lalu bertanya mengenai kedudukan PPSMI, Page dan sebagainya.

"Nak ditunda pemansuhannya sehingga 2015..." kata sahabat saya itu. Oleh kerana saya boikot dan pulau Utusan Malaysia dan Berita Harian, perkara itu menjadi hal yang baru pula buat saya. Tambah sahabat saya lagi, kononnya ada juga seorang pimpinan Pakatan Rakyat yang menyokong PPSMI.

"Pimpinan PR itu cakap, berilah peluang kepada ibu bapa untuk hantar anak-anak mereka ke sekolah yang laksanakan PPSMI itu," kata saya sahabat itu. Di sini, saya terdiam. Sebagai termaklum, kami para revolusioner sudah lama memulaukan akhbar media perdana berhaluan kanan itu.

Jadi, jika benar ada kenyataan PR yang menyokong PPSMI, maka hal itu tidaklah saya ketahui. Jadi, saya tidak dapat berikan maklumbalas secara tuntas.

Baru-baru ini saya terfikir mahu apung kembali 'fatwa' Pak Samad - "Dalam memansuhkan PPSMI, sokong siapa saja kecuali BN." Tiba-tiba, sahabat saya berkata, "Kita ubah ayat, sokong sesiapa sahaja kecuali BN dan PR."

Ini tidak lojik. Asas kenyataan beliau di atas ialah, (konon mengikut ceritanya), ada pimpinan PR sokong PPSMI. Asas tindakan itu berpijak di tanah fikiran yang lembab.

Maklumbalas awal saya ke atas pandangan itu ialah, jika benar, ada salah seorang pemimpin PR menyokong PPSMI, maka itu hanyalah pandangan peribadi beliau dan bukanlah pandangan yang mewakili PR secara jumhur.

Nampaknya, ada yang tidak jelas kedudukan PPSMI. PPSMI dasar BN, bukan PR. Saya temui pejuang bahasa muda yang dikelirukan fikirannya sendiri. Tiada campurtangan Umno, BN dalam membentuk jalan fikiran itu. Dia merumus cara berfikirnya sendiri. Jadi, kelemahan ini banyak muncul daripada kelemahan pejuang bahasa juga.

Dan, inilah yang mesti risau. Kita mesti tumpu betul-betul kepada cara gaya fikir pejuang bahasa. Saya tidak perlu panjangkan hujah di sini. Di sini, saya sekadar bertanya sekali gus memohon keizinan.

Saya berhajat menemui setiap ini pejuang bahasa untuk bertanya, "Berdasarkan pendirian Dato' A Samad Said (untuk mansuh PPSMI, undi sesiapa saja kecuali BN), maka adakah anda bersetuju untuk pulaukan (tidak mengundi) BN dalam pilihan raya?"

No comments: