Sunday, May 08, 2011

Di manakah protes penyair ke atas 'seni' lucah?

Oleh H FANSURI

"Semalam kulihat sebuah tari
dada montok berlenggok, gila mencari
nafsu jalang dan mata penuh berani,
dengan muzik nada liar memuncak tinggi.

Mata penonton berkisar melebar,
paha putih dalam nafsu menjalar.

Segala terbuka dan segala mendamba,
dan berahi mematuk-matuk pada diri, meminta.

Itulah lagu dengan tari pada malam panjang,
senantiasa berulang pada zaman gila perang;
sedang esok segala hati dan tulisan memuji,
inilah 'seni', hasil gemilang 'seniman' sejati!"

[Lagu dan Tari, Usman Awang, 1954]


Saya sudah lama berhasrat mahu bertanya Usman Awang kalau beliau dapat bercerita tentang pertunjukan yang beliau tonton sehingga terbit kelucahan yang dianggap 'seni'. Malangnya belum sempat bertanya, beliau kembali ke rahmatullah.

Sejak persembahan muzikal di Istana Budaya sebelum, puisi ini selalu mematuk-matuk fikiran. Gerak tari penari wanita yang lincah menari di pentas dan kelibat anggun mempesonakan selalu membawa ingatan saya terhadap puisi ini.

Niat 'menghakimi' puisi ini terpendam sehinggalah Najib dan Rosmah hadir tiba pada Malam Gala; Lat Kampung Boy sebuah Musikal di Istana Budaya. Mungkinkah Usman Awang pada 1954 itu seorang penulis yang diundang membuat liputan mengenai sebuah acara seni hiburan?

Lalu, ketika menonton tari lucah di depannya yang disaksikan ketua menteri Tunku Abdul Rahman, maka beliau memprotes tarian lucah itu sebagai yang terjelma dalam puisi di atas? Tekaan itu mungkin tersasar. Tapi, yang penting di sini ialah Usman menyelar kelucahan yang diperagakan, lalu ia diangkat sebagai 'seni'.

Apabila kelucahan dianggap seni, wujudlah sekelompok pelukis Barat yang melukis gambar lelaki wanita berbogel di dinding rumah ibadat. Ini berlaku di Rom. Oliver Cromwell, seorang ahli Parlimen Britain yang kisahnya diabadikan dalam filem Cromwell, telah menyelar sikap Britain yang meniru Rom itu.

Cromwell yang berjiwa Protestan, ketika menolak bentuk ukiran rumah ibadat itu, menyatakan bahawa semua binaan ini mirip 'kuil' di Roman. "Bukankah Moses (Musa a.s) menyatakan bahawa Tuhan tidak menyerupai segala sesuatu!?" beliau membentak marah.

Dan, hari ini, video seks lucah sudah mula merayap dan menyerap ke dalam jendela ruang fikir ahli politik kita. Siapakah yang bersalah sekarang? Usman Awang setidak-tidaknya sudah membangkitkan protesnya. Di manakah suara para penyair dalam hal ini?

No comments: