Friday, May 20, 2011

Kristian agama rasmi, sambung semula 'cinta' Umno - PAS? (L14)

Oleh RUHI HAYATI THANI

"Saya terkejut dua kali bila rakan-rakan sepejabat mengesahkan PM kita 'melatah' PM mengenai kedudukan agama Kristian sebagai agama rasmi negara ini," kata seorang teman. Beliau kemudian meminta buah fikiran kami berhubung kenyataan Najib Razak itu.

Saya tidak pasti sangat apakah yang sedang diperkatakan Najib Razak kerana kenyataan pemimpin Umno dalam kebanyakan media arus perdana tidak boleh diangkat setinggi pedoman dan setaraf wahyu. Segalanya menjerat akal fikiran lalu menjadikan akal fikiran kita semakin tidak waras dan tidak lagi jernih berfikir.

Bagaimanapun saya boleh berkongsi pandangan mengenai suatu hal. Iaitu, mengenai cara Najib berfikir. Ceritanya berpaksi kepada asas falsafah Umno, iaitu mewujudkan sengketa dan kacau-bilau. Lalu, di tengah kancah kacau-bilau itu, maka muncullah wira baharu.

Dan, wira baharu itulah Umno sebagai badan penyelamat Melayu. Untuk tujuan ini hendaklah diresapkan dalam fikiran Melayu seluruhnya bahawa Umno itulah pembela sejati. Tapi, Umno tidak mampu membela Melayu kecuali PAS bergabung semula dengan Umno demi menyelamatkan Islam di negara ini.

Taktik pecah-belahkan PAS dan DAP mesti diwujudkan. Anwar sebagai watak dan tokoh pimpinan PKR dilibatkan dengan skandal seks dan isu liwat. Oleh itu, jika PAS mahu membela Islam, maka keluarlah daripada DAP dan PKR lalu setia bergabung dengan Umno. Itulah antara hujah terawal Umno.

Isu fitnah liwat dan video seks trio Dato' T nampaknya makin hanyut oleh kerana kecuaian Eskay yang tidak mempertimbang bahasa Thai dalam video itu sementara misai, janggut dan tulisan Anwar di Twitter pada malam kejadian itu telah menyebabkan rakyat semakin tidak mempercayai fitnah itu lagi.

Maka, kedudukan Kristian sebagai agama rasmi itu tiba-tiba dilibatkan kepada seorang pimpinan DAP. Seperti mana video seks Dato' T itu tersiar dengan saranan supaya Anwar dan Wan Azizah meletakkan jawatan maka begitulah juga kedudukan Kristian sebagai agama rasmi itu disebutkan Utusan dengan mempalitkannya terhadap pimpinan DAP supaya menggoyahkan ikatan DAP-PAS-PKR dalam Pakatan Rakyat yang sedia terjalin itu.

Berita Utusan itu disiarkan dengan jalinan falsafahnya yang tersendiri. Ia tidak berdiri sendiri melainkan ada niat dan tujuan tertentu. Setiap berita yang tersiar di muka depan mestilah bernilai peluru dan senjata yang kukuh untuk memecahkan tembok akidah pertahanan Pakatan Rakyat.

Ya, laporan itu mungkin benar-benar wujud. Utusan Malaysia melaporkan kewujudan majlis pertemuan tertutup paderi di seluruh negara, di Pulau Pinang yang didakwa sedang membawa agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan.

Tapi, akhbar ini juga yang menyiarkan gambar lucah daripada Youtube berhubung perilaku seks seorang pimpinan PR di muka depannya. Sebagai Muslim, kita tentu tidak lupa pesanan Al-Quran bahawa, setiap berita yang hadir tiba daripada orang fasiq, maka hendaklah disemak sebaik mungkin.

Apatah lagi, ia mengutip pandangan daripada sumber lain seperti blog di mana kesahihannya masih boleh dipertikaikan. Apa yang penting, ketika Utusan Malaysia melaporkan kedudukan agama Kristian sebagai agama rasmi Malaysia, maka laporan itu tidak berdiri dengan sendirinya. Inilah yang terutama.

Jadi selepas ini jangan hairan kalau wujudnya ulasan-ulasan daripada para pemuka dan kolumnis Utusan yang mencetak 'fatwa' lewat penulisan mereka, "Adalah lebih baik jika PAS itu bergabung terus dengan Umno demi kesejahteraan Islam seluruhnya di Malaysia."

"Untuk apa lagi bergabung dengan DAP, jika parti tersebut menuai kebencian terhadap Melayu di samping mencabar Islam sekali gus berniat menjadikan Kristian sebagai agama rasmi?" mungkin kalimat seperti ini juga akan diulang-ulang. Semua jangkaan ini mesti hadir dalam fikiran rakyat.

Sebenarnya, Najib Razak kini sudah kelihatan lesu di mata masyarakat kerana wujudnya pendapat yang menyatakan bahawa beliau sendiri sudah ditekan oleh Idris Jala ketika membuat keputusan untuk bersetuju dengan pengedaran Bible dalam bahasa Melayu di Malaysia.

"Bersetujunya Najib terhadap pengedaran Bible dalam bahasa Melayu itu adalah kerana dekatnya pilihan raya di Sarawak," kata seorang teman penulis. "Menteri Kristian dalam kabinet Najib itu berkemungkinan membenam jarum hasutan hingga menggoyahkan pegangan Najib yang sedia lemah itu."

Jadi, kenapa Utusan hanya berani mengaitkan kedudukan Kristian sebagai agama rasmi dengan melibatkan Jeff Ooi daripada DAP? Kenapa tidak terang-terangan mengacu lembing pena dan menuding pedang kalamnya terhadap Idris Jala yang seolah-olah ada muslihat mengenai pengedaran Bible Melayu menjelang pilihan raya Sarawak baru-baru ini? Jawapannya, Utusan sendiri kini berada dalam dilema.

Utusan takut menegur Najib, Najib takut Idris Jala, Idris Jala pula takut sebab ditekan oleh para pengikutnya. Para pengikut Idris Jala pula mungkin takut kepada laporan Utusan yang entah benar entahkan tidak itu. Lalu, bagi mencari jalan keluar dan ruang selamat, Utusan terpaksalah mencari musuh baru pula, iaitu DAP daripada Pakatan Rakyat.

No comments: