Friday, May 20, 2011

Sumpah laknat itu ibarat sampah bagi Umno

Oleh H FANSURI

Seorang ahli akademik Umno pernah berkata, "Memang Eskay tayangkan video seks tersebut, tapi beliau tidak pernah menuduh Anwar berzina." Saya tak tahu mahu kata apa terhadap pandangan orang yang dianggap cerdik pandai Umno ini. Mahu ketawa besar pun ada juga.

Ini kerana, beliau tergolong cerdik dan bijak pandai Umno. Ketika mengulas isu iktisad, mungkin fakta-faktanya boleh kita manfaatkan. Tapi, ketika beliau menjebakkan diri dalam hal-ehwal politik, maka terserlah sikap kurang cerdik beliau itu.

Ketika beliau berkata, 'memang Eskay tayangkan video seks itu, tetapi Eskay tidak pula menuduh Anwar berzina', cara berfikir yang manakah yang beliau gunakan dalam mengulas kes ini?

Mujurlah catatan beliau itu cuma terapung di Facebook. Jika beliau menulis pandangan begini di Utusan, jenuh sakanlah diketawakan orang. Mungkin beliau mahu membela Eskay dengan menyatakan bahawa Eskay sebenarnya tidak tuduh pun Anwar berzina, hanya sekadar menayang video seks lucah itu kepada umum sahaja. Tapi, cakap-cakap sebegitu tetap sahaja tidak masuk akal.

"Jadi, kalau Eskay tidak tuduh Anwar berzina, kenapakah beliau bersumpah laknat?" bidas salah seorang daripada pengikut status beliau di Facebook itu.

Pertanyaan itu membuatkan ahli akademik Umno itu kelam pandangan sebentar. Lama juga beliau mengambil masa untuk menjawabnya. Beliau mungkin sedar bahawa beliau terperangkap dengan kenyataannya di status FB itu.

Sebelum ini, beliau pernah menulis pandangan juga di Facebook yang jika diteliti seolah-olah membayangkan beliau bersikap adil, saksama. Dan, beliau seolah-olah cuba menulis pandangan yang menunjukkan bahawa beliau tidak bersikap berat sebelah dalam menilai video seks tajaan trio Dato' T itu.

"Saya tidak bersetuju dengan cara trio Dato' T menyiarkan video seks tersebut," tulis beliau. Tetapi, tidak berapa lama selepas status tersebut, ada pula catatan terbaru beliau yang menyentuh ceramah seorang ustaz berhubung kedudukan pemimpin penzina yang tidak layak memerintah negara.

"Ini ucapan seorang ustaz mengenai penzina yang tidak layak memimpin," tulisnya dalam status di FB itu. "Sila nilaikan tanpa sentimen kepartian."

Agak aneh, dalam sehari beliau telah menunjukkan bahawa seolah-olah beliau tidak bersetuju dengan sikap trio Dato' T menayangkan video seks itu dan kemudian menunjukkan sikapnya secara tersirat terhadap Anwar dengan berkata, "Penzina tidak boleh memerintah umat."

Rasa kecewa dan sakit hati juga sebab terkenangkan beliau adalah kenalan saya ketika sama-sama memimpin persatuan siswa saat berkuliah. Saya cuba mengikis syak wasangka dan cuba berbaik sangka, tapi gagal. Ini kerana, tampak jelas berdasarkan kenyataan status ini bahawa di dalam hatinya masih jua terpaut usaha-usaha menjahanamkan kredibiliti Pakatan Rakyat, dalam keadaan beliau adalah 'scholar'.

Sebagai orang terpelajar, kita patut menjuarai pencerahan. Beliau berhak masuk Umno, tapi jangan diperkudakan Umno. Betapa ramainya ahli akademik Umno, tapi mereka berdiam diri (tidak mengkritik PR) dan tidak mencetuskan api sengketa, sebaliknya berusaha dengan cara sendiri walau ada halangan dan kegagalan. Nampaknya, kelompok agamawan dan cendekiawan ini tidaklah dibenci orang walaupun orang mengetahui mereka adalah Umno.

Maka, setidak-tidaknya cubalah menjadi agamawan dan cendekiawan Umno yang seperti itu. Tidak perlu melayan sangat isu-isu yang melibatkan politik picisan kerana akan terserlah begitu jelasnya kehodohan wajah akademik mereka.

Ingin saya terangkan kepada cendekiawan Umno yang dikenali sebagai pengulas ekonomi itu, bahawa Eskay tidaklah 'menuduh' Anwar sebagai penzina secara tersurat, tetapi tidakkah beliau sedar bahawa Anwar tertuduh sebagai penzina secara tersirat?

Anwar adalah penzina secara tersirat apabila trio Dato' T secara ijmak, khasnya Eskay telah berfatwa, bahawa lelaki yang mengadakan hubungan sulit di dalam video seks itu adalah Anwar. Jadi, sudah wujud tuduhan bahawa Anwar telah melakukan hubungan intim dengan wanita yang dikatakan dari China itu. Saya sesungguhnya tidak faham, kenapakah persoalan yang semacam ini masih juga diragui cendekiawan Umno itu.

Runtuh rasa hormat saya kepada beliau. Ketika terdengar berita beliau masuk Umno, hal itu masih boleh diterima dengan lapang dada atas alasan, siapa pun berhak menyertai mana-mana badan parti politik dan sesiapa pun berhak mengundi mana-mana parti.

Hendaklah diketahui bahawa sumpah atas nama Al-Qur'an untuk Umno adalah sampah. Lalu, mereka tidak peduli gesaan bersumpah. Trio Dato' T sudah kalah sebenarnya. Sumpah itu sengaja dilafazkan agar menampakkan mereka di pihak yang benar.

Soalan saya terhadap rakan cendekiawan Umno, jika Anwar bersumpah nanti, adakah beliau akan halang trio Dato' T daripada menuduh Anwar sebagai penzina pada masa depan? Saya bertanya begini lantaran Shuib Dato' T orang Perkasa, iaitu kenalannya dalam badan NGO Melayu itu yang kebetulan beliau pimpinan tertinggi badan itu.

Ataupun, adakah rakan lama saya cendekiawan Umno ini boleh melobi Perkasa untuk pecat Shuib dan lain-lain rakan Perkasa yang memfitnah seperti ini pada masa depan?

No comments: