Friday, May 20, 2011

PPSMI: Drama hukuman deraan Zeus ke atas Sisyphus berulang kembali?

Oleh H FANSURI

Salam revolusi, Dato' A Samad Said yang terhormat. Kejadian buli ataupun penindasan telah merebak lalu berkembang sebagai budaya hari ini. Di mana-mana pun, budaya buli penindasan ini sudah berlaku. Tapi, apa daya kita berjuang melawan budaya kejam bertalu-talu ini?

Tidak lama dulu di Facebook, saya terdengar keluhan Dr Awang Sariyan yang menggambarkan sikap kerajaan mengukuhkan PPSMI mutakhir ini bagaikan 'hukuman' berbentuk deraan oleh dewa Greek purba Zeus ke atas Raja Sisyphus.

Antara deraan itu ialah, raja itu dihukum menolak batu besar ke puncak gunung lalu menolaknya jatuh ke gaung. Tapi, Zeus berhelah! Ketika batu ditolak ke puncak, maka ia akan ditolak semula oleh dewa itu ke tanah rata.

Lalu terpaksa Sisyphus menolak semula batu besar itu ke puncak! Kejadian itu berulang-ulang sehingga tiada diketahui hujungnya. Sebab itu, Dr Kembara Bahasa merumuskan, kejadian itu seumpama hukuman deraan yang sedang dialami para pejuang bahasa dalam isu PPSMI ini.

Yang menyebabkan wujudnya persamaan watak antara para pejuang bahasa dengan Sisyphus itu, menurut beliau, adalah hukuman menolak beban batu berulang kali ke puncak gunung yang mirip kepada usaha pejuang bahasa menolak beban batu PPSMI yang tidak pernah-pernah dimansuhkan kerajaan.

Dan sepertimana dewa Greek Zeus yang mendera Sisyphus dengan hukuman menolak batu ke gunung, maka begitu juga kerajaan yang mendera pejuang bahasa dengan mempermain mereka dengan dolak-dalik berhubung pemansuhan PPSMI itu yang tidak akan berlaku itu.

"Cuma, bezanya dalam hal perjuangan PPSMI ini, kedudukan para pejuang bahasa itu bukanlah penjenayah seperti Sisyphus," kata Dr Awang Sariyan lagi.

Ketika menggeledah cerita mengenai Sisyphus ini, saya bertembung dengan catatan seorang ahli falsafah Albert Camus, dalam bukunya The Myth of Sisyphus. Esei beliau mengenai mitos Sisyphus ini dicatatkan pada bab ke-4 buku beliau itu.

Wikipedia melaporkan, "Dalam bab ke-4 Camus menghuraikan lagenda Sisyphus yang mencabar dewa dan merantai Kematian sehingga tiada insan yang perlu mati lagi. Ketika Kematian akhirnya dibebaskan dan tiba saatnya untuk Sisyphus mati, dia mencipta helah yang menyebabkan dia dapat melarikan diri dari neraka. 

Akhirnya dia ditangkap lalu para dewa memutuskan hukumannya, iaitu dia harus menolak batu gunung; buat selama-lamanya. Ketika dia menolak batu itu ke atas, batu itu akan jatuh lagi dan Sisyphus harus memulakan hukumannya kembali sejak daripada mula.

"Albert Camus melihat Sisyphus sebagai pahlawan yang tiada jelas matlamat hidupnya, yang mana Sisyphus itu sepanjang hidupnya membenci kematian lalu dia hidup dalam kutukan hingga terpaksa menerima suatu bebanan tugas yang tidak membawa apa-apa ertinya kepadanya," maklumat ensiklopedia bebas di internet itu dipetik sebagai berkata.

Camus menyimpulkan bahawa deraan, hukuman terhadap Sisyphus yang tidak pernah tamat bekerja keras itu sebagai contoh kehidupan moden di mana setiap ahli masyarakatnya menghabiskan pekerjaan yang sia-sia sama ada di kilang-kilang dan pejabat-pejabat.

"Para pekerja hari ini bekerja setiap hari sepanjang hidup mereka untuk tugas yang sama, dan nasib ini tidak kurang masuk akalnya..." demikian menurut pandangan failasuf moden dari Perancis itu.

Camus tertarik terhadap fikiran Sisyphus ketika menuruni gunung untuk memulakan perjalanan baru. Dia sedar nasib buruknya, tapi Sisyphus tidak punya harapan untuk teruskan hidupnya lagi. Sisyphus sedar bahawa nasib tidak dapat diubah oleh keluhan.

Walaupun sedar dia sedang dirangkul menderita, Sisyphus, sama saja seperti orang yang belum dicerahkan fikirannya, terus menolak batu itu. Camus berkata, ketika Sisyphus mengakui bahawa tugasnya sudah sia-sia dan nasibnya tidak menentu, dia sebenarnya bebas untuk menyedari bahawa keadaan yang sedang dihadapinya itu adalah semakin tidak jelas lagi.

Akhirnya, Camus simpulkan, semua orang tertindas itu menyangka bahawa 'semuanya baik-baik sahaja' dan manusia harus bayangkan bahawa Sisyphus sebenarnya menemui kebahagiaan walaupun hakikatnya dia menderita.

Pak Samad. Tamat ulasan Camus yang saya faham mengenai tragedi yang menimpa Sisyphus oleh sebab deraan dewa-dewa Greek purba. Sekarang kita tumpukan fikiran para pejuang bahasa yang diancam derita akibat batu beban PPSMI yang perlu mereka tolak sehingga ke puncak gunung itu.

Adakah mereka Sisyphus PPSMI? Adakah mereka bersetuju mereka telah dipermainkan dewa Umno dalam batu besar PPSMI? Jika mereka setuju bahawa mereka dipermainkan dewa Umno yang bejat jahat ini, apa tindakan mereka?

Adakah fikiran mereka masih sama seperti Sisyphus, iaitu menerima dengan rela segala hukuman deraan buli penindasan Umno tanpa melawan secara fizikal setelah mereka lawan secara mental?

Saya bertanya begini lantaran ingin menawarkan ramuan melawan untuk para pejuang bahasa Sisyphus PPSMI - iaitu mereka perlu melawan dengan undi PR dan tolak BN. Titik. Pak Samad fikir bagaimana?

No comments: