Wednesday, May 25, 2011

PPSMI: Menjejaki revolusioner The Huntchback of Notre Dame di Paris

Oleh H FANSURI

Assalamualaikum. Dato' A Samad Said yang terhormat. Saya baru pulang dari Notre Dame, Paris. Di sini ada buku-buku lama di tebing sungai; Le Chateau de Fontainebleau (Morin Jean) berharga 4Euro dan buku Le tour de la France par deux enfants (G Bruno) yang dijual dengan harga 10Euro.

"Buku ini semuanya bahasa Perancis lama, kamu fahamkah?" kata penjual buku di sini apabila saya bertanyakan isi kandungannya. "Tapi, tidak apa. Saya akan selalu berada di sini. Pejabat saya di sebelah jalan sana." Jari telunjuknya menuding ke arah sebuah bangunan di tepi jalan yang bernombor 29.

"29 Quai Saint Michel?" getus hati saya sendirian. Sebenarnya Pak Samad, kalaulah saya ada duit lebih, saya ingin beli Histoire des Juifs (Sejarah Yahudi) yang berharga 490Euro itu. Ia dikarang tulis oleh Tome Premier. Tahun bila saya tidak sempat semak kerana mahu bergegas.

"Buku sejarah Yahudi ini ada enam jilid," kata penjual buku berbangsa Perancis itu. Di sepanjang jalan ini saya rasa ia seperti Chowrasta di Pulau Pinang tempat menjual buku-buku lama terpakai yang masih ada peminatnya sendiri. Atau pun ia seperti Jalan Kwitang, Jakarta tempat orang berjual beli buku-buku lama dan murah (khabarnya kini sudah ditutup!?) yang juga masih punya peminatnya yang tersendiri.

Sementara itu, seorang kenalan baru di sini memberitahu bahawa Le Chateau de Fontainbleau dan buku-buku klasik di situ memang sulit dibaca kerana terlalu lama jalan bahasanya. {Telahan awal saya - ia mungkin seperti jalan bahasa dalam hikayat lama agaknya? Contoh ayat Inggeris purba, mungkin seperti perkataan 'THOU' dan lain-lainnya.}

"Bahasanya lebih ke arah puisi," kata Natalie, ketika membelek kedua-dua buah buku yang saya beli tadi. "Oh! Yang ini pula kisah dua orang anak muda Perancis yang mengembara ke seluruh negara."

Berasaskan bualan ringkas dengan beliau, maka saya mengetahui bahawa Perancis pada suatu masa dulu ada ramai raja dan Le Chateau ini pula seperti tempat perburuan ketika kerabat diraja ini mengisi masa lapang mereka.

Mungkin saat era feudal inilah ratu-ratu permaisuri bersama puteri raja Marie Antoinette (Rosmah Mansor alaf baharu) hidup bermewahan hingga umat tertindas. (Watak wanita bangsawan curang sulit ditemui dalam Alam Melayu. Kalaupun ada, setakat kini, hanyalah nama Tenku Prabu di Singapura.}

Kita malah punya sederet senarai nama panjang - Puteri Saadong, Tun Fatimah dan Siti Zubaidah dari Kembayat Negara (Champa) yang bermatian untuk negara, bangsa dan raja mereka.

Dan, loceng rumah suci penganut Nasrani ini pun telah berbunyi... berdenting genta bergema! Ia mengingatkan saya terhadap The Huntchback of Notre Dame. Seperti Bilal yang melaung azan lalu bangkit melawan majikan Umaiyah, maka begitulah The Huntchback yang melawan tuannya pada era feudal. Ringkasnya, marhaenis yang tiada pangkat gelaran apa-apa, mampu menerajui perubahan sekali gus menjuarai revolusi untuk membina negara baharu!

Saya menulis perihal Bilal bin Rabah dan The Huntchback of Notre Dame ini kerana suatu sebab. Iaitu, dalam perjuangan memansuhkan PPSMI ini, kita mungkin perlu gerakkan sepenuhnya tenaga-tenaga biasa sahaja. Tidak perlulah lagi diangkat nobat Dato' Seri, Tan Seri dan Profesor Emeritus bertaraf gelaran pendeta-pendeta di pangkal nama mereka itu.

Menurut hemat saya, perjuangan revolusi mereka seperti revolusi dewa-dewa yang berjuang untuk syurga dan bukan untuk bumi. Bait-bait ini seperti hal yang terangkum dalam puisi W S Rendra, Bersatulah Para Pelacur di Kota Jakarta. Saya fikir, sikap menobatkan para dewa pendeta Umno dari kayangan ini sebagai awal pemuka pejuang bahasa hanya akan merencatkan perjuangan memansuhkan PPSMI itu.

Tiada ertinya jika dewa pendeta ini hanya berkata dan bersuara - mansuhkan PPSMI - tapi apabila mengundi, BN juga yang tetap menjadi pilihan mereka. Kita mesti jelas mengenai suatu perkara. Iaitu, kita gagal bukanlah kerana tidak bersatu dalam suatu bentuk lafaz umum yang biasa disebutkan orang.

Kita gagal, (paling tepat) kerana 'tidak bersatu untuk tidak undi Umno' dalam pilihan raya akan datang nanti, persis seperti 'fatwa' Pak Samad sebelum ini; 'undi apa sahaja kecuali Umno dan BN'. Itu sahaja keyakinan saya yang mahu dikembangkan di sini. --- Sekolah Pemikiran Gare du Nord, Paris, 8:20 pagi, 2 Mei, 2011.

No comments: