Sunday, June 12, 2011

PPSMI: Salahkah undi parti kiri? Keris Mas, Pak Sako, A Samad Ismail pun haluan kiri juga

Oleh H FANSURI


Salam revolusi, Dato' A Samad Said yang terhormat. Sekadar menyambung bualan lalu mengenai Sisyphus. Apabila pejuang bahasa itu disamakan dengan lagenda Sisyphus, maka perlu dihuraikan juga tentang cara-cara dan gaya-gaya penentangan secara politik kepartian juga.
Nantinya, kita akan sama-sama lihat, bahawa akan ada dalam kalangan pejuang bahasa nanti yang bangkit menyelar kita apabila kita bangunkan semboyan untuk mengundi parti berhaluan kiri dan memulaukan undi terhadap Umno dan BN.

"Anda masih berfikir dalam kerangka politik kepartian," kata orang-orang yang menggelarkan diri mereka sebagai pejuang bahasa itu. Maka, di sini saya ingin bertukar-tukar fikiran dengan Pak Samad tentang bahan fikiran saya bagi menolak cara gaya berfikir para 'pejuang bahasa' seperti itu. 

Syahadan, sekurang-kurangnya, dalam renungan, tenungan dan menungan peribadi saya, ada tiga watak utama yang boleh ditelaah dan dikaji teliti perjuangan mereka itu. Iaitu Keris Mas, Pak Sako dan tokoh kewartawanan Malaysia, A Samad Ismail. 

Pak Samad yang terhormat. Sebenarnya, masih ada banyak lagi sasterawan-sasterawan tanahair kita yang memulakan kegiatannya partinya dengan politik kepartian yang berhaluan kiri juga. Ketika kita meninjau watak-watak Keris Mas, Pak Sako dan A Samad Ismail ini, mereka juga bergiat cergas dalam lapangan politik kiri.

Pak Sako misalnya pernah memimpin Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sama juga halnya dengan Keris Mas itu. Begitu juga hal A Samad Ismail yang pernah terlibat dengan penubuhan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura. Hari ini, PAP sudah pun menjadi parti pemerintah republik pulau itu. Malah, kalau tidak salah ingatan saya, deraf awal PAP itu pun A Samad Ismail juga yang menulisnya!

Saya rasa, hasil sentuhan A Samad Ismail juga yang membentuk Persatuan Penulis Nasional (Pena) pada hari ini. Tapi, generasi penulis dan pejuang bahasa hari ini sudah jauh meminggirkan diri daripada arena lapangan politik kepartian berhaluan kiri pula. Hal ini mudah dijangkakan; mereka tidak mahu kelibatan mirip kepada kegiatan parti pembangkang.

Tetapi, Pak Samad, ternyata Pak Sako tidak cuma terkenal dengan novel beliau Putera Gunung Tahan malah memimpin pula parti berhaluan kiri PKMM. Usman Awang pula ligat menurunkan catatannya dalam lidah rasmi PKMM dengan nama samaran Atma Jiwa.

Ini semua adalah kesan-kesan sejarah yang jelas jika diperhatikan secara langsung oleh para pemuda yang bergerak di dalam lapangan kesusasteraan ini. Terkadang, saya rasa kesepian dalam merenungkan semua perkara yang saya turunkan catatanya di sini.

Kalau saya bercakap hal-hal sebegini kepada mereka, hanya timbul dua perkara. Pertama, mereka mungkin menuduh saya terlalu kepartian. Keduanya, mereka menuduh saya cuba menerapkan idea-idea pembangkang dalam persatuan penulis semula.

Tetapi, jika Pak Samad mengesahkan kedudukan letak perkara di atas, mungkin mereka akan merenungkannya dengan baik-baik sebab Pak Samad ini orang lama, yang hidup bernafas dan pernah hidup sekali dengan orang-orang yang sudah saya namakan di atas itu.

Ya, ketiga-tiga mereka orang parti berhaluan kiri! Tiada masalahnya jika mereka diangkat sebagai sasterawan pada hujung akhir hayat mereka. Tetapi, anak-anak muda dan para pejuang bahasa hari ini, kenapakah pula tidak mahu terang-terangan bergerak dalam lapangan parti berhaluan kiri, semata-mata untuk memansuhkan PPSMI?

Barangkali, inilah tembok terbesar yang perlu kita runtuhkan, iaitu ketakutan kita untuk mengisytiharkan diri sendiri untuk terjebak dalam parti haluan kiri semata-mata untuk memansuhkan PPSMI itu. Walaupun ada yang marahkan Umno dan BN kerana PPSMI, masih ada yang mengundi Umno kerana takut atau entah kerana kepentingan diri peribadi.

Maka, hal-hal halus yang terselit di dalam fikiran tiap-tiap ahli persatuan Pena dan Gapena inilah yang mesti kita tinjau dan telaah menerusi ucapan-ucapan dan melalui kiriman surat-surat rahsia yang tersembunyi. Tumpuan kita mestilah terarah kepada sudut ini sahaja dahulu Pak Samad. Bukanlah kepada sudut lain lagi jika kita benar-benar menyimpan hasrat untuk memansuhkan PPSMI itu.

Ini kerana, PPSMI adalah Umno-BN dan Umno-BN adalah cerminan wajah kepada ruh PPSMI itu sendiri. Kedua-duanya adalah ikatan yang saling akan menguatkan Umno-BN dan PPSMI itu dan sekali gus bakall melemahkan Melayu dan Islam seluruhnya.

Pak Samad, pendek kata - dalam usaha memansuhkan PPSMI, maka wajiblah kita memastikan seluruh penulis dan pejuang bahasa ini memihak kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ke-13 ini. Jika mereka bertindak sebaliknya, maka marilah kita bersama mengisytiharkan para pejuang bahasa yang masih mengundi Umno-BN ini sebagai 'pengkhianat bahasa Melayu' sekali gus merangkap 'pengkhianat bangsa Melayu'. Apa fikiran Pak Samad?

No comments: