Monday, August 22, 2011

Filem Cuci, pakaian seragam kuning, filem terawal mendokong Bersih?

Oleh H FANSURI

"Mereka (Bani Israel) berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan-Nya kepada kami apakah warnanya?" Nabi Musa a.s menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyenangkan orang-orang yang melihatnya." --- {Al-Baqarah: 69}



Salam revolusi warga penyair yang dirahmati. Pada 2008, filem Cuci tersiar di pawagam. Ia mengisahkan empat pemuda yang keluar berhijrah ke ibu kota Kuala Lumpur dengan azam menceburi perkhidmatan pencucian.

Fairil (Afdlin Shauki) bercita-cita menyertai pertandingan 'Window Washing Olympic'. Pemenangnya akan dapat kontrak membersihkan bangunan KLCC.

Mereka akhirnya berjuang dengan penuh semangat dan menewaskan segala warga Bangla yang selama ini terkenal sebagai bangsa yang diupah dalam kerja-kerja pencucian, pembersihan. Timbul persoalan nakal di sini - apakah pelakon Cuci menyokong Bersih 2.0?

Soalan berikutnya, adakah syarikat yang memperalat warga Bangla yang kemudiannya telah pun ditewaskan oleh pasukan syarikat Cuci itu adalah tanda isyarat terhadap penolakan terhadap 'perjuangan' puak kesesatan (bani Patriot) yang memperalat warga Bangla untuk tiga tahun selepasnya (2011)?

Sebenarnya, kalau soalan ini diapungkan kepada Hans Isaac sekali pun, beliau pasti menolak. Mana ada artis yang sanggup hilang kerja serta populariti? Dan, hakikat yang sebenarnya pun, tidaklah mereka jangkakan bahawa pada tiga tahun akan datang (2011), akan ada pergerakan Bersih 2.0 yang bakal mengemukakan tuntutan lapan perkara bagi membersihkan amalan pilihan raya di negara ini.

Jika soalan yang sama dimajukan kepada Afdlin Shauki, dia dan rakan-rakannya pasti tercengang dan ramailah lagi para pelakon dan warga Bangla yang berlakon dalam filem itu akan terkoma, terus pengsan ditembak dek pertanyaan ini. Lebih afdal dibelasah dengan bom, gas pemedih mata, bom kanister dibanding terkena ledakan pertanyaan ini.

Mungkin insan sudah diprogramkan sejak azali untuk melihat kuning sebagai warna yang menyenangkan jiwa, meredupkan mata yang memandangnya. Bersih 2.0 adalah lambang manifestasi ke atas keinginan, keghairahan terhadap keheningan jiwa dan kebersihannya.

Kuning yang terpamer di fikiran, tertayang jelma dalam bayangan pendokong Bersih sebelum ini bukan tiada asasnya. Dalam sirah Bani Israel, memang ada kes pembunuhan seorang lelaki kaya yang tidak diketahui siapa pembunuhnya. Misteri mengenai siapa pembunuhnya, mungkin mirip hal Beng Hock dan Ahmad Sarbaini yang terbunuh itu.

Maka, untuk 'membersihkan' pakatan jahat konspirasi pembunuh lelaki kaya Bani Israel serta menyucikan kekeliruan dan kelam fikiran yang berselirat itu, maka turunlah firman Tuhan agar mereka menyembelih seekor lembu yang berwarna kekuningan seperti yang disebut di bawah ini.

"...Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyenangkan orang-orang yang melihatnya." --- {Al-Baqarah: 69}

Hanya polis, Umno, BN dan Patriot pengotor tidak suka revolusioner berpakaian kuning setiap Sabtu. Kini, kita mesti bercerpen, berpuisi, bernovel untuk melahirkan 'sastera kuning' untuk menggalak penggulingan Najib. Biarlah gelora aura dan gelombang kuning merebak serata alam dan diterjemahkan ke bahasa Mongolia dan Kazakhstan juga.

Najib terpukul dengan sambutan Ratu Elizabeth yang berpakaian serba kuning dan protes kuning yang menjalar di sana. Eh! Filem Cuci itu ditayang pada 2008; setahun selepas Bersih berhimpun pada 2007. Eh! Mungkinkah ramai artis telah muak meloya dengan Najib dan Rosmah agaknya? Penggambaran filem Cuci pun dibuat di KLCC; tempat arwah Baharudin Ahmad syahid dalam himpunan Bersih 2.0 itu. Eh!

No comments: