Thursday, August 18, 2011

Karya unggul dimatangkan oleh pengalaman 'perang' Bersih 2.0

Oleh H FANSURI

Salam revolusi buat semua! Syahadan, dalam Weltanschauung Suatu Perjalanan Kreatif, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, laman 144 ke 145, Shahnon Ahmad menulis,  


"... dan diri ini sebenarnya terjebak dalam Perang Dunia Kedua, kesan perang tidak begitu jelas. Tidak seperti kesan yang dipendam oleh Sasterawan Negara Dato' A Samad Said, dan kemudiannya diluahkan dalam Salina. Salina benar-benar memperlihatkan sensitiviti A Samad yang begitu halus dan tajam kerana dapat mengungkapkan kesan Perang Dunia Kedua ke atas masyarakat, terutamanya terhadap watak Salina itu sendiri."

Tiba-tiba ada nama baru yang didewasakan pengalaman saat menempuh badai taufan di gelora samudera Bersih. Mereka berkarya dengan caranya. Yang pandai menyunting video, mengguna Youtube. Ada pula yang tiba-tiba menulis sejak dilempari bom gas pemedih mata kanister.

Mereka yang tak diketahui latarbelakang mereka ini, apakah mereka penyajak atau tidak, tiba-tiba mengarang sajak, cerpen dan hadir dengan rangkaian susunan kata-kata indah bermadah.

Ajaib! Yang dahulu mengeluh mengenai cara-cara mengarang, bengkel penulisan kreatif pun tidak mereka lalui, kelas anjuran DBP; MPR (Minggu Penulis Remaja) termasuk acara Mastera, tidak pernah dijengah, tiba-tiba gelora kuning Bersih ini mencetak begitu ramai karyawan pada 'perang moderen' kini.

Pak Samad seperti kata Shahnon, antara watak yang didewasa matangkan oleh Perang Dunia Kedua (termasuk sasterawan lain). Mereka boleh menulis dalam percintaan seperti kebanyakan novel cinta di pasaran, tapi dalam karya itu ada terselit bawaan kisah pedih dalam timbunan derita hidup.

Bersih itu madrasah alam, sekolah pengalaman dan alumninya adalah antara insan terunggul yang dicetak oleh jentera pengalaman yang langsung lahir dan lepas begitu sahaja. Madrasah sekolah ini lahir mendadak semulajadi. Sebab itu kata-kata yang sarat tercipta selepas 'perang moderen' ini lahir dan lepas begitu sahaja, meluncur begitu mudahnya.

Kita patut berbangga dengan kemajuan mutakhir ini. Mana-mana penyair yang menutup pintu hati dan jendela batinnya dari keadaan racau dan kacau di sekeliling, perlu menimbang semula sikap mereka mutakhir ini. Sejarah membuktikan bahawa insan yang terbaik itu lahir selepas perang, lahir dalam kancah pergelutan kuasa imperialisme British kolonialis, dan perang Jepun.

Bersih memberi ruang buat karyawan hari ini yang tidak sempat melihat kebejatan perang masa lampau. Lalu mereka diberi peluang agar tampil sebagai generasi karyawan baharu yang menjulang seni untuk masyarakat.

Shahnon menyambung lagi, "Sewajarnya, kesan Perang Dunia Kedua itu aku simpan dan peram baik-baik untuk diluahkan dalam karya sastera aku kelak. Tidak begitu kesan aku terhadap perang waktu kecil dahulu..."

Bagaimanapun, beliau tampil sebagai sasterawan negara! Pun begitu beliau tetap melihat betapa perang banyak mengasuh menjadi insan sebenar. Ini sastera (agama) yang mengasuh pengertian jiwa agar tunduk kepada kuasa Tuhan. Ini, sastera yang mengikat jiwa ke arah pengabdian utuh, langsung mengangkat keperibadian ke atas alam dan kemanusiaan.

No comments: