Thursday, August 18, 2011

Aura kuning merebak 1Dunia, maruah Najib ditelanjangkan

Oleh H FANSURI

Kepada peserta Bersih 2.0 yang terlupa peristiwa lama 2007, marilah kita menyingkap rahsia dan menyelak kembali tirai kenangan lama. Kita mesti ingat betapa bekas menteri penerangan Zainuddin Maidin (Zam) pernah memarahi seorang wartawati Al-Jazeera yang menemu bual beliau berhubung Bersih.

Zam terlalu amarah hingga beliau menyifatkan wartawati itu sama sahaja seperti kebanyakan media lain, iaitu media luar selalu melihat negara Asia ini terlalu lembap daya kemajuan berfikirnya.

"Apa kamu anggap Malaysia ini? Kami tidak seperti Burma dan lain-lain negara," demikian maraknya luapan kemarahan yang dihamburkan Zam sehingga belia merumuskan wartawati itu menganggap Malaysia bagaikan negara-negara lain yang sedang berantakan dilanda konflik berterusan seperti Burma.

Bagi Zam, mungkin Burma dan lain-lain negara di rantau Indochina seperti Laos, Kemboja dan Myanmar yang asyik berperang itu adalah rendah mutunya kerana kerap berperang sehingga pembangunan dan kemajuan pun menjadi tersekat.

Itu cerita dahulu, kenangan lama yang sudah dibungkus ke dalam rak simpanan lama. Baru-baru ini, dalam suatu kenyataannya di sebuah akhbar, Zam ini bersetuju pula dengan amalan kebebasan media untuk melaporkan hebahan manifesto setiap parti di Malaysia.

Ini bermaksud, tuntutan gelora aura kuning Bersih itu setidak-tidaknya berjaya meresap masuk ke dalam ruang fikir Zam yang dahulunya berdegil dengan tuntutan Bersih. Atau, beliau mungkin tersedar dan insaf selepas kejatuhannya. Ini juga bermakna, tidak mustahil jua jika Najib dapat diinsafkan setelah digulingkan dalam revolusi anjuran Bersih nanti.

Bagaimanapun, terhadap semua tuntutan Bersih itu, bukanlah Zam tidak menolaknya langsung. Ini negara bebas. Zam berhak menyatakan hal yang tidak dipersetujuinya itu, asalkan sahaja penolakan itu dinyatakan dengan kejujuran. Maknanya, Zam tidak menolak Bersih kerana Bersih itu diresapi pengaruh Kristian, Komunis sebagai yang kerap dilantunkan media negara mutakhir ini.

Dan, antara hal yang nampaknya beliau tidak bersetuju sedikit adalah mengenai tempoh masa berkempen pilihan raya umum yang perlu dilanjut selama 21 hari. Kata beliau, SPR sebelum ini pernah memberi tempoh kempen sebulan seperti 1969 lalu sehinggakan parti politik dan para calon menaikkan rasa sentimen lain.

Peristiwa berdarah 1969, tambahnya menyebabkan SPR mengurangi masa kempen itu. Ia diambil memandangkan setiap parti sudah ada lidah rasmi yang menurutnya boleh berkempen sepanjang masa.

“Sekarang kita tidak memerlukan tempoh kempen yang lama, kerana perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur hanya sekejap dengan penerbangan dan jalan yang selesa,” kata Zam lagi ketika menolak tuntutan Bersih 2.0 itu.

Penolakan usul dan tuntutan ini boleh didebatkan pada bila-bila masa. Setidak-tidaknya, gelora ini menyebabkan menteri dan bekas menteri sudah celik mata mengenai revolusi, demokrasi, kebebasan berucap, berhimpun dan menyedari beberapa perkara dalam perlembagaan. Ini sudah cukup baik.

Apa-apa pun, bekas menteri penerangan itu bersetuju dengan beberapa perkara dalam tuntutan Bersih 2.0 tetapi terhadap tuntutan agar tempoh kempen selama 21 hari itu, beliau tidak bersetuju. Maka, alasan yang beliau kemukakan untuk menolak tempoh masa berkempen selama 21 hari kelihatan lebih rasional dan tidak memihak. Cara bercakap seperti ini sulit ditemukan ketika beliau menjawat jawatan sebagai menteri penerangan dahulu.

Najib Razak bolehlah ditundukkan sehingga beliau menjadi rendah hati, tawadhu' seperti Zam juga asalkan rakyat berani membuang beliau melalui jalan demokrasi (pilihan raya) atau pun menggulingkan pemerintahannya lewat pintu gerbang revolusi (pilihan di jalan raya).

Memanglah hari ini Najib akan marah-marah seperti Zam juga yang pernah marahkan Bersih ketika jaringan sosial itu mendapat liputan Al-Jazeera. Tapi, setelah kejatuhannya nanti akibat tersiar kisah cincin berlian Rosmah Mansor dan kisah Apco Israel itu, maka kewarasan Najib Razak kan mula hadir dan dia akan menyokong Bersih ini pada kemudian hari.

Hari ini, memanglah Najib Razak marah-marah kerana jaringan Bersih ini sudah berjaya menyatukan semua bangsa-bangsa di Malaysia, sedang Patriot tajaan beliau melalui Pemuda Umno itu gagal menyatukan Pemuda MCA dan Pemuda MIC sekali pun.

Sebenarnya, Najib Razak patut berbangga dengan perjuangan Patriot kerana sudah wujud perpaduan ummah dan kesepaduan antarabangsa di dalamnya. Ini kerana, Patriot berjaya memikat hati warga Bangla daripada Bangladesh yang ikut 'berjuang' di jalan raya setelah diupah Patriot.

Jadi, siapa kata perjuangan Patriot tidak bersifat antarabangsa, tidak rasional dan tidak internasional? Najib mesti 'tangkap syahdu' terhadap iltizam dan semangat Patriot ini. Jadi dengan sokongan padu yang diberi oleh warga Bangla Patriot ini, pada hakikatnya Najib belum kalah dan tewas kepada Bersih 2.0 walau beliau disambut dengan tentera kuning di United Kingdom dan beliau bersama Rosmah disambut Ratu Elizabeth dengan pakaian kuning.

Siapa kata Najib tewas? Bersih 2.0 perlu susun plot drama bersiri Bersih 2.1 dan babak seterusnya untuk mengguling Najib Razak yang masih berbangga lantaran kekuatannya didokong warga Bangla 1Malaysia ini.

No comments: