Thursday, August 18, 2011

Alumni Bersih 2.0 disokong pelacur yang benci Umno koruptor?

Oleh BOESTAMAM SARI

Walaupun kehidupan pelacur kotor, memualkan dan menjijikkan, tapi Salina yang utarakan kejijikan itu dinobat sebagai novel terbaik juga. Kini, A Samad Said hadir ke depan untuk menggerakkan Bersih 2.0.

Juga, ada kisah Mary Magdalene; pelacur yang diselamatkan Jesus Christ. Malahan, dalam kisah Islam, ada kisah pelacur masuk syurga dengan sebab memberi minum kepada seekor anjing.

Di Indonesia, penyair revolusioner W S Rendra menggubah judul sajak Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta, 1967. Berbeza dengan watak Salina ciptaan A Samad Said, watak-watak dalam sajak gubahan Rendra itu adalah Sarinah dan Dasima.

Sarinah. / Katakan kepada mereka / bagaimana kau dipanggil ke kantor menteri / bagaimana ia bicara panjang lebar kepadamu / tentang perjuangan nusa bangsa / dan tiba-tiba tanpa ujung tanpa pangkal / ia sebut kau inspirasi revolusi / sambil ia buka kutangmu.

Dan kau, Dasima, / Katakan kepada rakyat / bagaimana para pemimpin revolusi / secara bergiliran memelukmu / bicara tentang kemakmuran rakyat dan api revolusi / sambil celananya basah / dan tubuhnya lemas / terkapai di sampingmu. / Ototnya keburu tak berdaya.

Revolusi para pemimpin / adalah revolusi dewa-dewa. / Mereka berjuang untuk syurga / dan tidak untuk bumi. / Revolusi dewa-dewa / tak pernah menghasilkan / lebih banyak lapangan kerja / bagi rakyatnya. / Kalian adalah sebagian kaum penganggur / yang mereka ciptakan.


Sajak Rendra sangat panjang, kita hanya titipkan bait penting sahaja. Semua bait di atas menunjukkan pemimpin revolusi di Indonesia telah mengkhianati isi intipati dan dasar perjuangan mereka sendiri.

Dan baru-baru ini, Mohamed Hanipa Maidin berkata, Bersih 2.0 mendapat sokongan pelacur. Malahan mereka sertai perhimpunan itu. Kedudukan itu semua sudah tidak penting lagi. Sekotor-kotor pelacur, lebih hina tindakan sikap melumur selut di undi manusia, dan kotor lagi sikap mengotori pilihan raya.

Setidak-tidaknya, dosa peribadi pelacur itu tiada kaitan dengan seluruh manusia, sebaliknya pelacuran itu dilakukan demi kesinambungan hidup setelah hidupnya dikotori politikus konspirator lagi koruptor.

Maka, Hanipa pun melanjutkan ceritanya lagi. Kononnya, ada sebuah NGO yang menemu bual pelacur Lorong Haji Taib lalu mereka memberi reaksi positif tentang Bersih. Pendedahan Hanipa Maidin dalam ceramahnya boleh ditelaah dalam pelbagai cara. Kita boleh sebut bahawa pelacur sudah benci Umno.

Hal ini menarik dikaji juga. Apakah kaum pelacur di negara ini pernah mengundi? Pelacur tidak terlibat dengan gerakan seperti kita yang terdedah dengan wacana kebebasan bersuara, dan berhimpun.
 
Pelacur tidak terjebak dengan wacana ilmiah. Tiada wacana kebebasan melacur yang diangkat sebagai tema perdebatan di ranjang debatan umum. 'Debat-debat' di atas ranjang bukanlah debat sebenarnya tetapi adalah usaha mendapatkan wang untuk menyambung terus kehidupan esok hari.

Tapi, jangan hina tahap intelektual pelacur ini. Mereka tonton televisyen dan tonton iklan propaganda BN mencela Bersih habis-habisan. Mereka ada duit. Mereka akan membeli Blueberry, membaca berita politik dan boleh ikut berkempen untuk Bersih 2.1 nanti lewat Facebook dan Twitter juga.

Pelacur-pelacur negara mungkin telah maju pemikirannya. Tiada orang yang membuat kajian terhadap ke atas tahap kesedaran politik mereka. Kononnya ada pelacur atasan yang tergolong dalam kelompok terpelajar. Mereka tentu sedar bahawa mengundi mana-mana parti pun itu bukanlah suatu yang batil.

Oleh itu, pelacur yang maju daya fikirannya mungkin mengetahui bahawa perjuangan Bersih 2.0 yang kemukakan tuntutan lapan perkara ke arah pilihan raya Bersih ini bukan satu masalah besar pun. Yang bermasalah adalah polis, Najib dan Patriot yang mengupah Bangla bagi menghalang niat Bersih 2.0.

Jika pelacur dan GRO boleh dibangkitkan kesedaran untuk mengundi Pakatan Rakyat, dan kita janjikan sebuah kehidupan yang sempurna, maka berkemungkinan masyarakat kita menjadi lebih sejahtera.

Syahadan, Rendra tampil mencadangkan kepada saf barisan pelacur di Jakarta itu agar berdemonstrasi bagi menuntut hak masing-masing dalam rangkaian kata-kata berikut:-

Membubarkan kalian / tidak semudah membubarkan partai politik. / Mereka harus beri kalian kerja. / Mereka harus pulihkan darjat kalian. / Mereka harus ikut memikul kesalahan. / Saudara-saudariku. Bersatulah. / Ambillah galah. / Kibarkan kutang-kutangmu di ujungnya. / Araklah keliling kota / sebagai panji-panji yang telah mereka nodai. / Kinilah giliranmu menuntut. / Katakanlah kepada mereka: / Menganjurkan mengganyang pelacuran / tanpa menganjurkan / mengahwini para bekas pelacur / adalah omong kosong.

Mungkinkah dalam acara Bersih 2.1 nanti, Alumni Bersih 2.0 dapat menyusun saf barisan mereka ini?

No comments: