Sunday, July 24, 2011

Iktikaf 1Malaysia di Masjid Al-Aqsa, adakah Apco beri ruang ya Najib?

Oleh H FANSURI

Seorang rakan mengirim pesan daripada khidmat pesanan ringkas (sms). Katanya, di LRT Kelana Jaya, sudah wujud Kedai Rakyat 1Malaysia. Beberapa minggu lalu, saya melalui LRT Kelana Jaya juga atas urusan peribadi. Memang ternampak jelas beberapa pekerja yang sedang memunggah barangan di situ.


Tapi, saya rasa premis itu akan dibuka kedai lain. Menurut sms rakan, memang akan wujud 'kerjasama' antara Mydin dan 1Malaysia ini, khususnya di premis perniagaan di stesen LRT yang terakhir itu.

“Itulah kedai rakyat 1Malaysia,” kata beliau melalui sms. Sudah lama juga tidak ke sana, jadi tak dapat saya sahkan dengan jelas. Bagaimanapun, bila teringatkan para pekerja yang mengangkat besi di stesen itu, maka saya berpendapat isi kandungan sms itu mungkin ada kebenarannya juga.

Tapi, tiba-tiba ada pula kenyataan seperti berikut dalam Twitter Najib Razak. “Kedai Rakyat 1Malaysia sinonim dengan perjuangan mengukuhkan perpaduan rakyat dan simbol pembelaan rakyat.

Juga, melalui Twitter, Najib Razak mengesahkan bahawa, “Kerajaan bersama dengan Syarikat Mydin akan bina lebih banyak kedai rakyat 1Malaysia. Faedah besar untuk rakyat.”

Jadi, maklumat daripada rakan saya itu ada benarnya juga. Bagaimanapun, itu semua tidak penting lagi. Biarlah Najib Razak 'berkempen' dengan caranya yang tersendiri. Itu semua mungkin sudah diputuskan dalam perjanjian antara beliau dengan Apco (Israel, Zionis, Yahudi).

Mungkin, kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi sekarang kerana perjanjian telah dimuktamadkan. Kedai 1Malaysia itu pula sedang dalam proses pembinaannya. Kalau kita mahu bantah, rakyat mesti gerakkan semula projek demonstrasi untuk demonstran di atas jalan raya nanti.

Jadi, jika masih ada yang berminat, hal itu boleh kita bincangkan kemudian. Seperti yang kita sebutkan pada awal-awal tadi, segala macam ragam bentuk kempen telah pun disusun atas nama 1Malaysia.

Sekitar RM70 juta wang rakyat dilaburkan guna memancarkan sinar cahaya gemerlapan pemerintahan Najib Razak sekali gus meleburkan wajah seteru politik dan mencacatkan imej pembangkang negara.

Tidak ramai orang yang mahu bertanya Najib Razak, dari manakah beliau mendapat hak untuk melabur wang sejumlah RM70 juta itu untuk 1Malaysia? Kalaupun ada yang bertanya, jumlahnya amat sedikit.

Yang penting kini - kita bertanya Najib, setelah wang RM70 itu diambil, ke arah mana dia belanjakan? Adakah yang dibelanjakan itu memenuhi cita-cita dan aspirasi umat? Kita risau ini semua berpandukan idea Zionis Israel dan Yahudi saja ketika idea 1Malaysia diterjemahkan dalam acara tertentu.

Mungkin, Najib tiada gagasan dan ideanya sendiri, atau beliau terlalu bergantung harap kepada kempen yang diborong dari Israel, dilanggan daripada Yahudi dan pemikiran yang didatangkan Apco Zionis itu.

Jika hal ini yang berlaku, maka ia tidak adil. Rakyat mesti didahulukan dan pencapaian itu diutamakan.

Jadi, rakyat itu mesti dilibatkan sama dengan penyusunan agenda 1Maysia itu oleh sebab wang kita ada juga bahagiannya dalam RM70 yang hangus di tangan Apco Israel Zionis itu.Sama ada kita setuju atau tidak dengan Najib yang merumus janjinya dengan Apco, hakikatnya duit kita telah hangus dikerjakan!

Tapi, kita sebagai Muslim tentu terfikir juga jika Najib bermimpi ke Baitul Maqdis, untuk iktikaf serta bersolat Masjid Al-Aqsa itu? Hal beriktikaf di masjid ada juga disebut di dalam Al-Baqarah, ayat 187.

“... Kemudian sempurnakan puasa hingga malam (Maghrib); dan jangan kamu setubuhi isteri-isterimu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas larangan Allah, maka jangan kamu melewatinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada semua manusia agar mereka bertaqwa.”

Hendaklah Najib ketahui bahawa ada pendapat ulama tentang masjid sebagai tempat iktikaf. Ada ulama membolehkan iktikaf di setiap masjid yang digunakan untuk bersolat jemaah lima waktu itu.

Manakala, ulama lain mensyaratkan agar iktikaf itu dibuat di masjid yang dibuat solat Jumaat, sehingga orang yang beriktikaf tak perlu tinggalkan tempat iktikaf menuju ke masjid lain untuk solat Jumaat.

Pendapat ini diperkuatkan oleh para ulama Syafiiyah bahawa yang afdal iaitu iktikaf di masjid jamek. Lebih afdal lagi iktikaf di tiga masjid; Masjid al-Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Aqsa.

Maka, di sinilah yang kita mahu Najib Razak menjadi insan Muslim yang lebih peduli terhadap agama Islam ini. Di sana, ada juga pendapat yang agak kuat – iaitu, sebenarnya tiada iktikaf melainkan hanya di ketiga-tiga buah masjid ini sahaja – Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa.

Meninjau realiti yang ada pada hari ini, bukanlah senang bagi semua umat Islam beriktikaf di Masjidil Aqsa itu. Semua orang Islam boleh sahaja pergi ke Madinah, Mekah pada bila-bila masa sahaja. Tetapi, tidak semua umat Islam yang boleh berziarah ke Palestin dan beriktikaf di Masjid Al-Aqsa itu.

Arakian, oleh kerana demikian akrabnya Najib dengan Yahudi, Israel dan Zionis oleh sebab rundingan dengan Apco bernilai RM70 juta ini, kita tidak perlu sangat Klinik 1Malaysia, kedai rakyat 1Malaysia.

Terlanjur berunding dengan Apco, apa kata Najib buat inisiatif berkonvoi 1Malaysia ke Baitul Maqdis? Mustahil Apco tak beri masuk? Bukankah kita ini pelanggan dan majikan Apco. Mustahil majikan tidak dibenar masuk Palestin? Apakah Najib mahu tunggu kita bahas isu ini ke Parlimen Belia pula?

No comments: