Wednesday, July 20, 2011

Sebuah cerita mengenai seni berpolitik kaum sasterawan

Oleh H FANSURI

Salam revolusi buat teman-teman yang dikasihi. Alkisahnya, dalam cerita rakyat bangsa Eropah pada suatu masa dahulu, seorang raja di benua Eropah sana ingin memakai pakaian cantik, terindah yang tidak pernah dipakai orang sebelum ini. Maka, tiga penipu dari negara luar pun menyamar sebagai tukang jahit terhandal. Mereka berkata, pakaian yang mereka cipta itu sungguh seni dan halus buatannya.


"Bukan calang-calang orang yang akan dapat melihat pakaian tuanku itu," kata salah seorang daripada mereka. "Cuma orang yang bermakam tinggi saja yang akan terpesona melihat keindahan mutu pakaian tuanku itu. Orang bertaraf rendah, nescaya tidak akan dapat melihat baju ciptaan kami itu."

Maka, pada hari memperagakan pakaian indah itu, raja pun keluar bertelanjang bulat di depan rakyat. Tiada seorang pun isi istana menegur kerana malu kononnya jika pakaian itu tidak dilihat, maka dituduh pula makam mereka itu bermutu rendah pula adanya. Jadi, masing-masing mendiamkan perihal ketelanjangan raja kerana malu jika diketahui umat bahawa makam rohani mereka bermutu rendah.

Syahadan, maka hairanlah akan sekalian hamba rakyat. Direnung dan ditenunglah mereka itu akan bentuk segala rupa bentuk tubuh raja itu termasuklah sang punai
diraja yang tiada boleh terbang itu (kalau pun punai itu berkicau, ia hanya memancutkan air sahaja dan bukan suara).

Arakian, pabila peragaan fesyen teragung abad itu berlangsung, maka menjeritlah seorang budak, "Ah! Sang Raja kita sedang telanjang! Kah! Kah! Kah!"

Pencerahan pun tiba! Raja tersedar oleh sebab teriakan budak itu. Raja malu lalu masuk ke istana. Penipu lari dengan berpukal-pukal emas yang mereka terima. Tiada yang tahu kisah mereka. Mungkin mereka menipu raja Kazakhstan atau raja Mongolia, tiada kajian pula.

Itu semua tidak penting. Yang penting ialah betapa sastera lisan yang kemudiannya sastera Eropah, Barat selepas itu muncul dengan memaku kritikan dan memahat teguran padu terhadap pemerintahan. The Three Musketeers (dalam bahasa Perancis, Les Trois Mousquetaires), sebuah Alexandre Dumas, adalah contoh yang boleh kita bahaskan. Ia wujud sebagai respon dan maklumbalas terhadap Revolusi Perancis itu.

Novelis tersohor Azizi Abdullah, walaupun berkiblatkan PAS, tapi tidak sunyi melempar teguran untuk kebaikan parti. Guru beliau Shahnon Ahmad seorang sasterawan negara adalah bekas Ahli Parlimen Sik dan terlibat dengan parti. Keris Mas, Pak Sako dan lain-lainnya pernah terlibat dengan kepartian kiri.

Baru-baru ini ketika Dialog Orang Muda di Rumah Pena membincangkan kedudukan sastera dan hubungannya dengan politik, saya sebut bahawa ketika sasterawan itu terjebak dengan mana-mana parti pun (berhaluan kanan atau kiri), ia bukan masalah besar. Tapi, adalah lebih baik jika mereka bukan ahli parti.

Memang ada penulis muda yang segan dan takut berparti. Kita boleh berparti dan tidak berparti. Tapi, untuk bersikap adil pada kemudiannya agak payah jika kita keterlaluan larut di dalamnya.

Soe Hok Gie, aktivis mahasiswa komunis Indonesia, juga siswa jurusan fakultas sastera pernah merakam dalam diarinya, kemudian dibukukan dengan judul Catatan Seorang Demonstran), "Bagiku sendiri politik itu adalah kotor, tapi apabila keadaan memaksa, maka terjunlah (ke dalam lumpur politik) ..."

Kita sendiri boleh menahan diri kita sama ada mahu terlarut sehingga ditarik untuk mengikut kemahuan pemimpin politik kepartian atau tidak. Setiap kita boleh memilih untuk menjadi apa pada kemudian hari - apakah rela dirinya dibeli pemerintah atau memilih sikap seperti Gie, "Hidup dalam keterasingan itu lebih baik daripada tunduk menyerah kepada kemunafikan..."

Atas nama kebebasan, maka terserah saudara mahu undi siapa dan mahu bergiat dengan parti apa. Janganlah sampai terbit pula hukum dan fatwa baru, "Haram sasterawan itu terjebak dalam politik dan parti...", sudahlah...

No comments: