Oleh H FANSURI
Kita semua pun bersepakat bahawa polis dan tentera adalah sebahagian daripada pengawal keselamatan di negara ini, bukan Perkasa dan bukan Pemuda Umno.
Kita semua pun bersepakat bahawa polis dan tentera adalah sebahagian daripada pengawal keselamatan di negara ini, bukan Perkasa dan bukan Pemuda Umno.
Sedangkan sikap polis menghalang perhimpunan itu pun dikatakan menyalahi semangat perlembagaan, inikan pula Perkasa dan Pemuda Umno (bukan pengawal keselamatan) yang mahu halang perhimpunan anjuran Bersih 2.0 tersebut.
Sekurang-kurangnya, Bersih 2.0 telah pun jelas menyatakan matlamatnya dan tuntutannya kepada SPR, iaitu penggunaan dakwat kekal, pemansuhan undi pos dan lain-lainnya.
Tetapi Perkasa dan Pemuda Umno tidak mengemukakan tuntutan apa-apa! Yang paling jelas, kononnya Ibrahim Ali tidak mahu perhimpunan itu menjejaskan keselamatan awam negara. Itu sahaja.
"Kehadiran Perkasa adalah untuk pertahankan keselamatan negara dan bukannya untuk menimbulkan kekecohan, tetapi kita mahu menghalang perhimpunan itu daripada terus berlaku," katanya ketika hadir dalam meja bulat bersama 30 NGO Melayu untuk bahaskan perhimpunan Bersih itu.
Selebihnya, kata Ibrahim, beliau sedia disiasat pihak berkuasa kalau pembangkang tetap mahu tindakan diambil terhadapnya atas alasan keselamatan.
Tetapi, mustahil kerajaan akan mengambil tindakan ke atas Ibrahim Perkasa yang 'berjuang' untuk bela SPR dan Umno ini. Mana mungkin Umno akan mengenakan tindakan ke atas pejuang mereka sendiri.
Umno tidak akan mara ke depan kerana ingin menjaga nama baiknya sebaliknya Perkasa akan bersuara bagi pihak Umno. Dalam hal ini Khairy tentu rasa tercabar. Apa guna jadi Pemuda jika biarkan Perkasa menonjol di depan. Tentu Khairy tidak ingin hal ini dijadikan modal oleh Ibrahim Ali suatu masa nanti.
Maka, Ibrahim berkata demi menunjukkan ketegasannya, "Saya juga bersedia untuk menjawab soalan-soalan yang mungkin dibangkitkan pembangkang semasa sidang Dewan Rakyat ini berlangsung.”
Perkara ini pun diketahui umum, tentu Umno akan membela Ibrahim kalau beliau terpukul di Parlimen. Jadi, Ibrahim tahu dan sedar bahawa dirinya diberi perlindungan secara tersirat.
Hal yang sama terjadi atas drama sandiwara 'sengketa' yang dipentaskan antara Khairy Jamaluddin dan Hishammuddin Hussein. Iaitu, Hisham 'marahkan' Khairy seolah-olah membayangkan KDN tidak pun bersetuju dengan sikap Pemuda Umno itu. Tapi, ini fasa pertama.
Iaitu, memberikan gambaran bahawa kerajaan dan Umno bersikap adil, iaitu tidak membezakan antara demonstran. Kepada Khairy, Hishammuddin seolah-olah dan pura-pura marah. Manakala, Perkasa pula berhujah bahawa mereka sedia didakwa kerajaan oleh sebab berhimpun melawan Bersih 2.0 ini.
Sebelum ini, Ibrahim membuat pertemuan bersama NGO itu lalu menjelaskan bahawa perhimpunan anjuran Bersih 2.0 itu akan mengundang kesan terhadap keselamatan, ekonomi dan pelancongan.
Lalu, jihad Perkasa adalah menghentikan perhimpunan itu. Mati dalam pertempuran itu bernilai syahid. Sebenarnya, tiada pihak mana pun di negara ini yang meletakkan Perkasa sebagai anggota keselamatan negara. Kita hanya mengiktiraf polis dan tentera sahaja sebagai pasukan keselamatan negara.
Jikalau polis anti rusuhan dan tentera pun sudah menyebabkan rakyat benci dan bertambah menyampah terhadap polis, maka inikan pula Perkasa yang bukannya ada kuasa yang diiktiraf rakyat sebagai pihak keselamatan negara.
Namun begitu, ada bagus juga jika berlaku pertempuran antara demonstran seluruh bangsa (Melayu, Cina, India) dan Perkasa dengan Pemuda Umno ini. Bayangkan jika maruah polis tercalar oleh sebab sikap mereka menghalang perhimpunan ini, maka bagaimana pula dengan nasib Perkasa dan Pemuda Umno ini yang bukannya anggota keselamatan negara, tapi berhajat benar mahu halang perhimpunan ini.
Sudah pastilah imej Perkasa dan Pemuda Umno ini akan menjadi tercalar balar gara-gara ini semuanya. Maka, hal kedudukan imej dan reputasi mereka yang bakal tercalar ini belum juga dapat dikesan.
Jadi, kita mesti biarkan sahaja hal ini terjadi terlebih dahulu. Mungkin sudah ada kalangan Perkasa dan Pemuda Umno yang sedar bahawa maruah mereka akan jatuh, tetapi untuk berganjak dari pendirian itu terlalulah sulitnya lantaran ketakburan diri masing-masing.
Oleh kerisauan itu, Ibrahim Ali berkata juga, bahawa Perkasa tidak akan berhimpun untuk menghalang perhimpunan Bersih 2.0 itu, jika Bersih berhimpun di tempat yang tertutup.
Perhimpunan Bersih itu, menurut Ibrahim, haruslah diadakan di tempat yang selamat seperti di stadium dan bukannya di jalan raya kerana ia akan merugikan negara dan mengancam keselamatan nyawa.
Lagi-lagi, isu keselamatan awam yang diapung seolah-olah perarakan itu bertujuan mengangkat senjata dan sekali gus membunuh orang-ramai. Hakikatnya, Ibrahim pun mungkin terfikir juga mahu berhenti, tapi apa kan daya, beliau sudah terlanjur menyatakan beliau akan turun menghalang Bersih 2.0 itu.
No comments:
Post a Comment