Thursday, August 25, 2011

BERSIH 2.0: Kesedaran sastera sudah bangkit, biar rakyat sahaja berbicara

Oleh H FANSURI

Salam temanku Ramadan yang menghampiri. Beberapa hari lalu, Ahmad J Hussein menitipkan pesan buat sahabat sasteranya di Asasi yang mengherdik Bersih 2.0. 
Kini, Nahmar Jamil tampil membela Pak Samad secara tersirat, lalu mendedahkan nama sasterawan secara tersurat dan terhormat. Zahirudin pula mendokong Pak Samad secara diam-diam, dan secara halus menikam teman-teman dengan melantun soalan.

Lalu semua pertanyaan, sindiran ini mengalun badai pertanyaan menggunung tinggi sehingga samudera pertanyaan ini kian berombak ke daerah pantai intelektual yang masih hangat dan setia dengan sikap bisunya. 
Daerah intelektual itu akan membisu sampai bila-bila biarpun dihempas tsunami soalan berulangkali. (kerana mereka tahu mereka bersalah barangkali atau sikap menunggu anugerah kerajaan menyekat mereka terus daripada bersuara!?)

Dan, terhadap segala soalan, teguran dan kritikan itu, tidak akan pernah ada yang berani pula menyambut dan menyahutnya! Tidak pernah ada. Hari ini, hampir sudah patah segala fitnah dan tohmah yang menyatakan bahawa, 
"Sastera itu tiada ertinya bagi rakyat! Ia tidak menyerap ke dalam jiwa apabila kata-kata puitis tidak bangkit membela hak rakyat." Tapi, hari ini, kenyataan itu melebur dengan sendirinya apabila sastera itu mengganyang kezaliman.

Tiga tahun lalu, ketika ruang sastera bertatih dengan Rice Without Rain, tidak ramai berkarya sebab mungkin bagi mereka, sastera tiada ertinya selain memuji alam, keindahan pantai dan mencoretkan bait kata puitis kepada pesona wajah wanita yang dicintai. 
Setelah tiga tahun dengan laman dikurangi sehingga tinggal satu muka, karya mengalir terus-menerus bertali-arus! Tidaklah menang tangan pula kita memilih sajak dan cerpen yang bagus.

Kini, ada karya yang terpaksa dipenggal kerana ruangan makin terhimpit oleh bahasa politik tersurat. Sastera adalah laras bahasa politik yang diungkap tersirat. Manakala pidato dan ceramah politik itu, kerap menyelar kezaliman penguasa secara tersurat. Itu bezanya. 
Sastera mengasah bakat, mengasuh kita mengelar kezaliman secara batin tersirat ketika pidato umum ceramah politik terang-terangan menyelar penindasan secara zahir tersurat.

Ramadan kekasihku! Tiga tahun pantas berlalu. Kita tak perlu panjang kata lagi. Saatnya tiba untuk umat bingkas bangkit menyelar kezaliman, memugar kata-kata puitis mereka.

No comments: