Sunday, August 28, 2011

Gelombang Merah Najib Razak pudar di Kedah

Oleh H FANSURI

Ketika menulis ini jam telah pun menunjukkan 3:17 petang pada Khamis 28 Julai, dan Perdana Menteri Najib Razak bersama isterinya Rosmah Mansor belum menjengah tiba lagi di pekan Pendang.

Orang-ramai yang entah datangnya dari arah mana, berpusu-pusu berbaris menunggu kehadiran Najib Razak itu. Saya perhatikan di belakang orang-orang ramai yang berpusu-pusu berbaris itu tiada ramai pun yang ada di belakang mereka. Kosong! Masih ada ruang yang banyak!

Kaum-kaum ibu yang tua-tua berteduh di sebalik khemah putih. Kiosk-kiosk yang menawarkan kerjaya memang rapat ke tebing sungai dan bukanlah ramai sangat yang berminat bersinggah di situ.

Tetapi, saya nampak juga kelibat FRU merah yang baru masuk ke persimpangan menuju masuk ke arah persimpangan antara Petronas dan stesen bas Pendang itu. Apa motif trak ini tiba tidak diketahui pula.

Apakah telah ada khabar mengenai riak gelombang rusuhan yang bakal membadai di daerah ini? Atau, Najib Razak sudah mencium bau-bau ajal kematiannya yang bakal menghampirinya?

Sejak kelmarin khabarnya si Najib Razak ini ke berkenduri dan duduk bersila di Guar Chempedak. Telah berbelas ekor lembu ditumbangkan lalu penduduk kampung pun berduyun-duyun datang melapahnya secara bergotong royong. Itu cerita di Guar Chempedak. Patutlah, ketika saya melewati pekan itu, riuh rendah dengan kain rentang dan bendera Umno yang terpacak di sana-sini di pekan tersebut.

Hari ini, radio pun memutarkan laporan berita kononnya Najib Razak sudah berjiwa rakyat apabila dia sudah berhasil duduk bersila bersama rakyat. Duduk bersila bagi Najib serta radio itu, adalah lambang beliau sedia setia dengan rakyat dalam apa-apa jua keadaan.

Hari ini, kelibat anak-anak muda remaja belasan tahun memacak bendera Umno itu hadir di mana pun juga. Setengah mereka ini berpakaian merah dengan tertera ayat Gelombang Merah di belakangnya.

Pengacara majlis ketika ini mengirimkan pesan - “Nanti, kalau YAB Najib Razak datang ke sini, dia akan menjeritkan perkataan Gelombang... ”, pengacara itu, berhenti seketika, lalu menyambung,

“... Maka, ketika itu, hendaklah tuan-tuan dan puan-puan sekalian menyambut seruan PM itu beramai-ramai, dengan berkata... Merah!” demikian pesan pengcara itu. Di sini, saat ini, saya nampaklah wajah pengampu, pembodek di situ. Atau, arahan itu memang hadir tiba daripada PM sendiri.

Kalau benar Najib Razak sendiri yang mengarahkannya, maka memang benar-benarlah Najib terdesak!

Susunan majlis itu pun nampaknya tidaklah teratur lagi. Seketika kemudian, seorang pengacara majlis membuat pengumuman khas terhadap para petugas Amanah Raya yang sibuk melayani pengunjung.

“Tadi ni saya dah cakap dah kat Amanah Raya ni, jangan bawa keluar lagi kupon tu. Tunggulah sampai Perdana Menteri sampai,” katanya, lalu disambut dengan 'boo...' oleh kalangan petugas di situ.

“Selepas berpidato nanti, Perdana Menteri akan ada press conference,” kata pengacara yang awal tadi, lalu dia menyambung pesannya lagi, “Diharapkan tuan-tuan jangan berganjak lagi kerana acara belum selesai.” 'Mood' kebencian rakyat nampaknya kian hangat terpancar di daerah ini.

Kemarahan yang meluap-luap ini nampaknya gagal dilihat oleh Najib Razak sendiri kerana orang-orang di sekeliling beliau cuba memadamkan kesan-kesan pergolakan dan penentangan rakyat terhadapnya.

Orang-orang Pendang yang asal, tidak memakai baju merah Gelombang Merah. Mereka pun hadir di sini lalu menjengah ke khemah belakang yang menyediakan plastik merah dengan epal hijau, air kotak laici dan roti krim double cream, blueberry High 5 yang sudah lunyai dilenyek, dilanyak oleh timbunan barang-barangan di situ.

Ramai anak muda berbaju merah dengan Gelombang Merah di sini bukanlah penduduk tempatan sini, sebaliknya dibawa dari luar. Deretan beberapa buah bas kelihatan berbaris di sepanjang jalan menuju ke Pejabat Tanah. Maka, di sinilah punca bagaimana orang-orang boleh jadi ramai di situ.

Tanpa kerahan tenaga dan titah perintah daripada pihak jabatan, nescaya program Gelombang Merah, tajaan Najib Razak ini tiada sambutan dalam kalangan penduduk tempatan di sini.

Sambil bersantai di sini, telinga lintah pun seperti radar, mencerap isi bualan manusia yang bergebang di kedai bihun sup berhampiran Pejabat BN Pendang itu yang berkembar dengan CIMB di situ.

“Orang-orang luar semua ini, kalau orang di sini, depa tak mai,” kata seorang pakcik. Teman bualannya berbangsa Cina, yang fasih dengan loghat Melayu Kedah pun membalas, “Depa (BN) jemput mai puak-puak Bukit Jenun dengan orang-orang kot daerah Tanah Merah ni. Tu yang ramai tu...”

Najib Razak sememangnya tertekan dengan desakan Gelombang Kuning Bersih 2.0 baru-baru ini di UK hingga Ratu Elizabeth turut menyambutnya dan isterinya; Rosmah Mansor dengan berbaju kuning.

Semoga Gelombang Merah ini menjadi rawatan dan terapi jiwa kepada Najib Razak buat seketika.

No comments: