Oleh RUHI HAYATI THANI
Bulan Ramadan adalah bulan untuk Najib Razak berwatak soleh dan meraih sokongan setelah reputasi beliau hangus di United Kingdom, direntungkan oleh gerakan pembersihan beramai-ramai. Maka, kini sebelum Ramadan menjengah, maka gerakan Gelombang Merah diadakan di merata ceruk.
Baru-baru ini, Najib melancar Gelombang Merah itu di Pendang dan sebelum itu di Guar Chempedak. Itu hal Najib Razak. Memang lojiklah beliau terpaksa bekerja keras membersihkan reputasinya setelah dikotori oleh gerakan Bersih 2.0 yang kini pengaruhnya sudah melebar ke serata dunia.
Ditambah dengan 'arahan' agar peguam Peguam Perancis William Bourdon, (yang akan tampil dengan isu kontroversi berhubung urusniaga pembelian kapal selam Scorpene) dipaksa pulang ke Perancis, ini tambah memalukan beliau di mata negara Perancis, Kazakhstan, Turkmenistan dan Mongolia.
Ramadan akan menyambut kezaliman Najib Razak dengan duka nestapa. Sokongan agamawan Umno Wahabi Literalis ke atas si penzalim Najib dan si pemboros Rosmah dengan doa-doa kini pun menjadi terhijab di langit walaupun mereka bertembung dengan malam lailatulqadar itu. Kezaliman yang telah menjadi kelaziman dan amalan penindasan yang berterusan akan menghijab hati dan doa di langit.
Jangankan Cina dan India malahan Yahudi, Kristian, Perancis termasuk Mongolia pun sedar kedudukan kemuliaan Ramadan ini. Cuma Najib yang tidak menilai kemuliaan bulan ini sebagai bulan keampunan.
Umpamanya, di salah satu rangkaian televisyen, nampaknya telah ada siaran iklan yang menasihatkan para penonton tentang kaedah berpakaian sopan menjelang bulan Ramadan. Seorang pelakon wanita bukan Islam melakonkan watak gadis Cina berpakaian sopan ketika bulan yang mulia ini.
Nampaknya, kita berkongsi moral yang sama walau berbeza kepercayaan. Pengacara televisyen yang berpakaian menjolok mata pun sudah berkebarung dan mengenakan baju kurung.
Ertinya, orang-orang bukan Islam telah mengetahui kehebatan bulan Ramadan ini hasil syiar-syiar yang telah dikumandangkan di radio, televisyen secara meluas. Fadhilat bulan ini disebarluas dengan hebat.
Tapi, orang bukan Islam ini tidak mengetahui lebih jauh daripada itu. Mereka tidak tahu bahawa bulan ini diraikan kerana di dalamnya ada Lailatul Qadar itu sebagai tanda bahawa pada malam ini Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk kepada seluruh alam.
Jika Najib dan Rosmah tidak sedar bulan ini, bulan turunnya Al-Quran, bulan pengampunan, maka rugi yang amat besar ke atas mereka. Hal ini perlu ditekankan dengan lebih hebat oleh agamawan Wahabi Literalis Umno yang hebat mengganyang pendokong Bersih 2.0 itu sehingga berbuih-buih mulut itu.
Agamawan Wahabi Literalis Umno tidak boleh cuma melihat bumbung madrasah Ramadan ini sekadar meneduhi fikrah tentang tatacara puasa saja. Wacana yang kerap hadir, singgah di radio dan tv hari ini membentuk fikiran awam bahawa wacana, soal-jawab seputar bulan Ramadan ini tidak lebih daripada bicara menahan lapar dan dahaga, juadah makan minum pembuka selera ketika waktu berbuka puasa.
Wahabi Umno Literalis perlu tekankan kepada Najib dan Rosmah berhubung soal kesederhanaan berpakaian dan jangan menunjuk-nunjuk cincin berlian (jika ada) di majlis berbuka puasa. Lalu, jika orang bertanya lagi, di mana sumber dan usul segala asal bagi mengikis sifat haloba kepada cincin berlian dari New York, komisen berjuta-juta dalam pembelian kapal selam Perancis dan rasa ghairah membeli bom kanister Israel guna membunuh demonstran Bersih 2.0 itu?
Maka, jawapannya, bermula dengan latihan kerohanian di sepanjang Ramadan inilah, bakal terhapus rasa dendam, sakit hati, iri hati, hasad dengki, tamak haloba asalkan Najib dan Rosmah berdoa mengharapkan keredhaan-Nya dengan membanyakkan istighfar, bertaubat, bercakap jujur kepada rakyat sebagai cara membuktikan bahawa beliau benar-benar menginsafi tragedi pembunuhan Altantuya selama ini.
Di sana, ada cerita rohani berhubung Yahudi masuk syurga kerana hormatkan Ramadan setelah beliau melarang anaknya makan di bulan Ramadan di pasar. Maka hormatilah bulan Ramadan dengan taubat dengan cara Najib Rosmah mengaku mengenai bom C4, bom kanister Israel, cincin berlian New York.
Di tangan siapakah yang terlebih awla dan afdal untuk mengirim pesan nasihat tausiyah wasiat ke atas pasangan kekasih Putrajaya itu?
Maka, di bulan Ramadan, bulan keampunan dan bulan perjuangan ini, semoga Wahabi Umno Literalis sedia memburu syahid agar mereka berani mengetuk pintu hati nuraini dan mencuci kekotoran agar ia mengalir keluar dari jiwa Najib Razak dan Rosmah Mansor yang sudah lama terkunci dan terhijab itu.
No comments:
Post a Comment