Sunday, August 28, 2011

Muhasabah Ramadan: Giliran Wahabi Literalis Umno dizalimi polis Najib kali kedua

Oleh BOESTAMAM SARI

Ramadan yang baharu tiba ini sepatutnya mengirim peringatan ke atas Wahabi Literalis Umno bahawa kecenderungan mereka dalam memihak kepada kezaliman penguasa Umno itu membawa padah.

Ada nas yang menyebut bahawa jika sesiapa yang menyokong kezaliman, lambat-laun, mereka sendiri bakal dimangsakan oleh kezaliman yang mereka dokong selama ini.

Inilah yang terjadi ke atas puak agamawan Wahabi Literalis Umno baru-baru ini apabila polis tetap jua menyenaraikan mereka ke dalam jaringan pengganas Wahabi. Hal ini terjadi kerana puak-puak mereka gagal mentarbiyah dan menta'dib polis dengan faham dan nilai agama yang murni sejati.

Jika polis cerdik dan faham agama, maka tidak ada seorang pun yang akan mendokong Najib. Masalah hari ini, biro agama dalam PDRM dan Kagat dalam tentera tidak dapat berfungsi menjana fikrah polis terhadap Fiqh Daulah, Fiqh Jihad karangan Dr Yusuf Al-Qaradawi.

Sebelum ini, Fiqh Jihad buah tangan Al-Qaradawi itu dihadiahkan kepada Perdana Menteri Najib Razak ketika enjin kapal terbang jet pejuang hilang dicuri orang. Sangat tragik! Saat Al-Qaradawi sedang cuba mendekatkan Najib terhadap makna jihad, ketika itulah jet pejuang hilang lantaran hati pihak tertentu yang belum beres; terhijab oleh silauan habuan keduniaan.

Dan baru-baru ini, PDRM berterima kasih kepada RTM kerana siarkan rakaman kononnya Bersih sudah buat provokasi. Kalau polis bijak, berani dan jujur, mereka mesti mengirim salinan video ke USA dahulu sebagai bukti bahawa ia tulen seperti mana polis mengirim video seks Dato' T ke Amerika sebelum ini.

Ketika riuh berbicara soal kebodohan polis dan sikap mereka yang masih menjebak Wahabi Literalis di dalam jaringan teroris, maka kenyataan bekas mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin amat menarik diteliti.

Beliau yang dikenali sebagai Dr Maza juga menyebut kekeliruannya ke atas polis yang mengaitkannya dengan pengganas, walhal Ketua Polis Negara juga menelefonnya untuk nasihatkan pendokong Bersih.

"Seminggu sebelum perhimpunan Bersih 2.0, ketua polis negara sendiri telefon saya untuk bantu tenteramkan masyarakat (yang hendak berhimpun). Takkanlah ketua polis negara menghubungi teroris?” katanya yang turut 'pelik' dengan kunjungan ziarah bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi di rumahnya, sambil menyindir, 'takkan sebesar ini jaringan teroris'.

Dan, banyak lagilah contoh yang boleh membuktikan betapa polis hari ini tidak bijak. Kalau rasa sedar polis ini tumbuh dan pencerahan tiba di bulan Ramadan ini, sudah tentulah pihak polis dan tentera ini menjadi tentera dan polis di Indonesia, iaitu mereka mengawal segala bentuk perusahaan yang ada.

Polis mungkin bertugas dalam situasi celaru, tegang, cemas, keliru dan haru biru. Walaupun bekas KPN Musa Hassan berjaya memukat 40 ulama Wahabi Literalis ke dalam Umno, tetapi, baru-baru ini, dalam taklimat Putrajaya yang disertai mufti dan wakil majlis Islam negeri, 40 ulama itu turut disebut teroris.

Jika hanya Dr Asri yang masih dikaitkan dengan Jemaah Islamiyyah dan jaringan pengganas, maka lojik ini masih boleh diterima. Tetapi kenapa 40 Wahabi Literalis Umno ini masih disebut sebagai pengganas walhal mereka sudah kembali 'bertaubat' kepada 'Tuhan' Umno mereka?

Hal ini yang memeningkan kepala ramai pihak. Kumpulan 40 Wahabi Literalis Umno inilah yang selama ini berjasa, berhempas pulas mempertahan kerajaan selama ini khasnya di dalam mengganyang Bersih 2.0 baru-baru ini. Namun, nama mereka sendiri masih boleh tersenarai. Kini, susu pula dibalas tuba!

"Jadi, saya minta golongan ulama berhati-hatilah hendak berjasa dengan parti kerajaan," sindir Dr Asri yang sebelum ini juga terancam dengan ugutan polis (bahawa mereka akan ditahan atas nama teroris) jika enggan menyertai Umno. Apakah Ramadan kali ini akan menuntut Wahabi Literalis ke jalan benar?

Wallahu'alam. Pergolakan ini sebenarnya bermula dengan debat klasik antara Kaum Muda dan Kaum Tua; percakaran kaum Wahabi dan Sunni (Ahli Sunnah Wal Jamaah) yang kurang difahami PDRM.

Mungkin ada kalangan mufti yang membentangkan kertas pertuduhan hingga mengaitkan Arab Saudi sebagai dalang dan penaja langsung bagi mengembangkan ajaran dan faham Wahabi di negara ini.

Berdasarkan laporan akhbar, nama-nama tokoh yang disebutkan itu dituduh sebagai sudah 'dinaungi' kerajaan Arab Saudi dan Kuwait dan Bahrain. Di sana, terbit laporan seperti Arab Saudi menjadi faktor kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah pada 1923.

Malah, turut disebutkan nama tokoh agama di selatan Thailand, Ismail Lutfi yang tiada kena-mengena langsung dengan pertikaian yang kian hangat merebak di Malaysia, khasnya yang melibatkan Wahabi – Sunni. Dalam keadaan bercelaru kini, polis kian keliru dan terpaksa heret sesiapa sahaja yang dianggap sebagai pengganas walaupun semua sengketa ini bermuara dari lubuk dendam debat klasik yang amat panjang itu.

Apa pun yang berlaku, pesanan kita terhadap Wahabi Literalis Umno, madrasah Ramadan kali ini akan menyebabkan kalian akan lebih keras berfikir tentang suatu hal, iaitu – bersekongkol dengan penzalim, kelak kita sendiri bakal dizalimi oleh si penzalim yang kita pertahankan tindakan zalimnya sebelum ini.

No comments: