Monday, August 15, 2011

Bersih 2.0: Pemuda Umno Patriot perlu bezakan mamak dengan Bangla

Oleh BOESTAMAM SARI

Bersih 2.0 dan sebelumnya, Bersih 1.0 mengajar kita banyak makna mengenai garis-garis kehidupan ini yang sebelumnya tidak kita ketahui. Kita mula belajar pengalaman mengenal watak-watak manusia.

Dalam menuju negara maju, kita perlu berjuang membuang fikiran sesat. Antaranya, kita lazim menyebut bahawa percakapan mamak ini tidak boleh dipakai sangat. Jika begitu, Melayu juga ada sikap-sikap buruk seperti menipu dan tidak menepati janji.

Walaupun benar bahawa leluhur Dr Mahathir itu datang dari India Selatan; Kerala, namun beliau telah menunjukkan usahanya yang bagus di samping usaha kerosakan negara yang tak boleh dinafikan juga.

Bercakap mengenai mamak, kita wajar bertanya siapa yang terawal membawa kumpulan India Muslim ke dalam Umno hari ini? Adakah Dr Mahathir? Pengaruh mamak juga wujud di dalam 1Malaysia tajaan Najib Razak apabila pasaran Mydin melakukan kerjasama dalam menubuhkan kedai rakyat 1Malaysia.

Apakah Najib Razak juga mamak? Mustahil juga. Seorang mamak atau anak mami cukup pelihara adat dan anak perempuan mereka. Tidak mungkin mereka nikahkan anak mereka dengan orang luar seperti lelaki Kazakhstan atau janggal juga seorang mamak menikahi wanita Mongolia. Itu dulu, sekarang nilai itu mungkin juga sudah berubah mengikut rentak zaman dan arus semasa.

Jadi, persoalan yang kita perlu jawab hari ini, siapakah mamak itu?

Mamak di Malaysia banyak merujuk kedudukan kaum India, khasnya mereka yang bercakap Tamil dan mereka juga beragama Islam di sini. Perkataan Mamak juga adalah bahasa Parsi yang membawa pengertian 'ibu kecil' atau 'ibu yang penuh berjiwa pengasih dan penyayang.' Mamak adalah juga nama daerah di Ankara, Turki! Jadi, Parsi, Turki dan India berkongsi perkataan mamak dengan makna yang berbeza-beza.

Kamus Dewan Edisi Empat (2007) mentakrifkan mama atau mamak sebagai saudara ibu yang laki-laki atau bapa saudara atau dengan kata lain merujuk pada pakcik.

Di dalam Sejarah Melayu Sulalatus Salatin, ada juga gelaran 'mamak bendahara'. Rupa-rupanya, dalam bahasa Indonesia (mungkin Jawa), panggilan mamak di sini adalah 'paman' atau bapa saudara.

Dikatakan, hubungan bendahara dan raja, sultan ini sememangnya ada ikatan pertalian darah. Seolah-olahnya, bendahara (Perdana Menteri) ini pengganti raja apabila sultan mangkat. Apabila ditinjau lagi, rupa-rupanya, memang adat tradisi dahulu, bendahara ini sebenarnya bapa saudara sultan.

Jadi, memang patutlah disebut mamak bendahara lantaran bendahara itu bapa saudara kepada sultan itu sendiri. Maka, badan pertubuhan India Muslim KIMMA yang berhajat memasuki Umno ini wajarlah juga mengambil tahu bahawa mamak dalam konteks mamak bendahara itu bukanlah mamak di dalam pengertian Indiawi (India) tetapi Jawawi (Jawi) jua adanya.

Dengan itu juga, kita menurunkan pesan buat sekalian mamak di dalam Pemuda Umno yang tubuhkan Patriot baru-baru ini bahawa Pemuda Umno seharusnya pandai membezakan antara mamak dengan warga Bangla juga yang datang dari negara Bangladesh itu.

Tidak wajar Bangla diupah turun berdemo untuk membunuh imej dan reputasi Bersih itu. Lebih afdal diupah India MIC dan Cina MCA untuk menganggotai Patriot kerana mereka itu rakyat Malaysia. Tetapi mungkin MCA dan MIC pun sudah tidak menyokong Umno lagi dalam Patriot ini.

Tetapi, prinsip tetap prinsip. Walaupun Pemuda MCA dan Pemuda MIC tidak menyokong 'perjuangan' Pemuda Umno yang menubuhkan Patriot ini, tapi atas nama patriot (cinta negara), tidak wajar diupah Bangla yang ada negara sendiri untuk tampil 'membela' maruah negara tercinta.

Untuk mamak-mamak di dalam Pemuda Umno yang tersesat dan terdesak sehingga terpaksa mencari warga Bangla untuk mendokong Patriot (kerana MCA dan MIC tidak sokong Patriot ini), maka kita pun menutup tirai perbincangan ini dengan sebuah bidalan kata pusaka Melayu.

Rambut sama hitam, hati lain-lain. Tapi, untuk mamak-mamak dalam Putera Umno dan Pemuda Umno ini, maka kita berkata, “Kulit mamak Umno dan Bangla itu sama hitam, tapi ingat negara itu lain-lain.”

Mamak Umno dan KIMMA setidak-tidaknya warganegara Malaysia, walhal warga Bangla sudah punya negaranya; Bangladesh. Atas nama patriotik (cinta negara), wajarkah Pemuda Umno mengupah Bangla sertai Patriot walhal kehadiran mereka hanya untuk cari rezeki dibawa pulang ke negaranya sahaja?

No comments: