Friday, September 09, 2011

Ramadan, bulan menguji keimanan Najib, Rosmah dan ketaqwaan SPR

Oleh H FANSURI | RHT

Ramadan adalah bulan Al-Quran. Oleh kerana itulah umat Islam ini difardhukan berpuasa (Al-Baqarah: 185). Ramadan sejak kemerdekaan Malaya 1957 tidak pernah menginsafkan para pemimpin Umno ini.

Pesan-pesan ulama' dan ustaz di televisyen dan radio banyak menasihatkan rakyat bawahan, marhaen agar sentiasa bertaubat, tetapi mereka meninggalkan pesan kepada Umno, BN dan SPR agar tidak lagi menipu dalam pilihan raya. Kesannya, penipuan Umno – BN dan SPR tetap merebak seperti biasa pada bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan ini.

Misalnya apabila pecah isu dan terbongkar kisah kad pengenalan biru Mismah dalam pilihan raya akan datang, barulah kita dapat melihat bagaimana resahnya pimpinan Umno ini. Amanah rakyat kini sudah disalahguna. Nazri Abdul Aziz menteri di JPM hanyalah terdaya berhelah bahawa mustahil 'Permanent Resident' (PR) didaftar sebagai pengundi kerana mereka tiada kad pengenalan berwarna biru.

Nazri berkata, beliau tidak tahu bagaimana orang tiada kad pengenalan biru boleh menjadi pengundi, dan beliau tidak fikir hal ini boleh terjadi. Bagaimanapun beliau meminta pihak yang mempunyai bukti itu akan merujuk terus kepada SPR untuk siasatan lanjut.

Nazri berkata, pada umumnya, mereka dapat meminta menjadi PR (pemegang kad pengenalan merah) setelah tinggal di Malaysia selama 12 tahun mengikut kaedah yang diputuskan sebelum ini. Tetapi, dia sudah terjerat sebenarnya. Nazri berkata, beliau akan berbincang dengan Najib Razak berkenaan usul Pakatan Rakyat yang mendesak diadakan sidang tergempar Parlimen untuk berdebat isu 'Mismah' itu.

'Helah' Nazri, beliau tidak mahu mendahului PM dalam hal kad pengenalan biru yang didapati Mismah itu. Atau, Nazri dan Najib mungkin ingin bertukar fikiran terlebih dahulu, agar kenyataan mereka tidak kelihatan bercanggah ketika menjawab persoalan mengenai kad pengenalan biru Mismah di Parlimen.

Ini baru penipuan di bulan Ramadan yang dilaksanakan Umno, BN, SPR. Tapi, kita dapat melihat ustaz Umno hari ini masih mengirim pesan nasihat kepada rakyat sahaja di dalam Ramadan ini. Seolah-olah, Ramadan ini bulan agar rakyat sahaja yang tidak menipu. Manakala SPR, Umno, Najib dan Nazri harus menipu pula di bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan ini.

Justeru, Ramadan kini mengingatkan kita betapa kepemimpinan Umno dan BN kini sejak 60 tahun lalu belakangan ini telah berdepan dengan masalah dan pelbagai karenahnya. Ramadan sejak 60 tahun ini tidak membawa apa-apa perubahan rohani kepada pemimpin Umno sementara Najib Razak itu hanya meneruskan kejahatan-kejahatan beliau seperti biasa sahaja dan tidak terkena apa-apa hukuman pula.

Tetapi, boleh jadi juga, kecederaan lutut Najib yang mula mendenyut-denyut menjelang Ramadhan itu suatu kifarat juga, siapa tahu? Kalau benar demikian, maka Najib termasuklah SPR perlu sedar bahawa mereka akan terkena hukuman Tuhan pada bulan Ramadhan, bulan pembersihan ini.

Di sana, ada juga agamawan sering mengingatkan bahawa puasa pada bulan Ramadan mengasuh kita supaya ingatkan orang miskin, mereka susah mencari makan, dibuang kerja. Tapi, mereka tidak pernah mengirim ingatan buat pemimpin Umno khususnya Najib agar mengingati pekerja Dawama yang tiada kerja. Kayanya Najib dan Rosmah menyebabkan mereka tidak terfikir kesengsaraan hidup insan lain.

Kalau pun ada kelibat Rosmah dalam acara Singgah Sahur, hal itu dilakukan untuk mendapat populariti dan kemasyhuran diri, bukan atas kerelaan yang terbit daripada hati suci murni beliau.

Apakah Najib serta Rosmah menziarahi rumah-rumah para pekerja Dawama yang baru 'diberhentikan' kerja sepanjang Ramadan ini? Ramadan tidak mengirim ingatan Najib dan Muhyiddin bagi memikirkan soalan ini, “Dengan duit RM650 juta sejak 2002 kepada Dawama, apa yang dibelanja sehingga syarikat itu sudah tenat dan nazak seperti hari ini?”

Awal Ramadan, ketika pembuangan pekerja Dawama dilakukan, ramai yang tertanya-tanya kenapakah kontrak pracetak dan percetakan buku DBP yang dilaksanakan syarikat yang ada kewangan kukuh lagi berwibawa seperti Dawama ini boleh mengalami kerugian?

Namun, saat Ramadan tiba, Najib, Muhyiddin dan Rosmah tidak terfikir bebanan persoalan ini kerana mereka lebih fikirkan usaha membubar Parlimen lepas Ramadan. Nikmat menipu pada bulan mulia ini menyebabkan fikiran mereka lari tumpuan untuk memikirkan kebajikan pekerja Dawama itu.

Yang terbit, adalah kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Wee Ka Siong, iaitu pembantu Muhyiddin.  Itu pun, Wee cuma tertanya-tanya, mustahil Dawama boleh kerugian, kerana, hasil buku teks sekolah dengan kontrak daripada Kementerian Pelajaran itu bernilai tinggi dan dijamin pula.

Ringkasnya, dengan isu Dawama, kad pengenalan Mismah dan lain-lain isu penipuan yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan ini, umat tidak boleh 'bertawakal', bergantung harap ke atas Umno BN buat selamanya kerana semangat, jiwa Ramadan gagal menumbuhkan budi pekerti mulia Umno, SPR, Najib, Muhyiddin dan Rosmah yang hanyut tenggelam dalam kehidupan sarat penipuan dan kecurangan itu.

No comments: