Sunday, September 25, 2011

Filem Islam Malaysia masih kurang menjelang Hari Raya?

Oleh H FANSURI

Ketika menurunkan catitan ini, sebenarnya, saya mahu mengelakkan menyebut filem Islam sebab saya risau, ia akan menimbulkan polemik berpanjangan pula. Orang-orang mungkin akan jadi sibuk mempolemikkan hal ini dengan bertanya -- apakah yang saudara maksudkan sebagai filem Islam? Takrif filem Islam itu apa sebenarnya?

Jadi, ia akan menimbulkan bebanan lain pula. Lalu, kita perlu memberikan jawapan ke atas persoalan pentakrifan mengenai apakah itu filem Islam. Lalu, untuk memudahkan perbincangan ini, maka perkataan dan istilah 'Filem Islam' itu kita gunakan terlebih dahulu buat sementara waktu.

Jika orang bertanya, kenapakah digunakan istilah, ungkapan dan perkataan filem Islam? Maka, jawapan yang ada setakat ini ialah - kerana mauduk, judul bahasan kali ini dikait rapat dan akrab pula dengan kedudukan filem Islam yang wajar ditayang siar pada hari raya, sama ada raja Aidil Fitri, Nuzul Quran, Aidil Adha, Hijrah dan lain-lain perayaan yang terangkum dalam Kebudayaan Islami.

Lalu, sebab itulah kita kerap mengulang-ulang perihal kewajaran menyiarkan filem-filem Islam menjelang perayaan kebesaran Islam ini. Kita sebutkan hal ini sebab kedudukan Malaysia hari ini (mungkin sebelum ini pun) telah terjadi sekian banyak lambakan skrip drama, dan bertindan-tindan pula filem yang boleh disebut sebagai produk budaya yang tidak mewakili citra masyarakat kita dalam erti kata yang sebenarnya.

Maka, filem-filem yang tidak bermutu inilah pula yang dihidangkan kepada khalayak penonton pula akhirnya. Maka, sikap ini (menyiarkan isi kandungan filem tanpa memperhitungkan mutu) mengandung kerugian serta mengundang bahaya yang lain pula terhadap pemikiran rakyat jika dihadapkan kepada khalayak penonton.

Seruan Filem Kita Wajah Kita cuma tinggal sebagai slogan. Lebih banyak dipaparkan kisah kelas atasan yang berebut saham dan projek. Sesekali, tempat penggambaran itu dibuat di hotel terkemuka dan selebihnya ada babak, dialog orang-orang kenamaan yang sedang bermain golf sambil membincangkan projek-projek pembangunan negara.

Tidak dinafikan ada juga drama, filem yang menonjolkan suasana kampung dan desa yang permai dan indah. Tetapi, peratusannya sangat kecil dibanding paparan gaya hidup mewah itu. Jadi, penggiat drama, filem kita ini - sama ada memang lahir dalam kelompok keluarga mewah atau pun memang dipaksa menyusun babak, drama sebegitu dengan alasan - (mungkin) produk sebegitulah yang diminati khalayak penonton?

Tapi, alang-alang mahu membikin suatu drama bersifat perebutan saham-saham mewah dan projek kerajaan, kita lihat, tiada pula drama atau filem yang menampilkan babak kelam-kabut ribut pertengkaran dan sengketa pertarungan antara Dawama - Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 1 Ramadan itu.

Jadi, inilah masalahnya apabila produk kebudayaan kita tidak benar-benar meluahkan rasa terbuku di hati serta tidak pula melantunkan perasaan dengan penuh keterbukaan. Fikiran umat menjadi beku dan tidak mengalir deras dan tidak dikocak keras ke arah melahirkan gelombang pemikiran yang baharu.

Kembali kepada persoalan awal, iaitu filem Islam yang kurang di pasaran khususnya menjelang hari raya. Dan pihak penyiaran televisyen pula sepertinya 'terpaksa' menayangkan filem-filem seram dan filem-filem yang mana isi kandungannya tidak bermutu.

Ketika catatan ini ditulis, di Indonesia sudah difilemkan novel ulamak terkenal; Buya Hamka yang berjudul Di Bawah Lindungan Ka'bah. Ia telah masuk ke pawagam tanggal 25 Ogos, bersamaan 25 Ramadhan. Sedangkan, di negara kita sendiri, ada filem yang tidak bercitrakan gaya hidup Islamik.

Kita mesti mengubah cara berfikir masyarakat hari ini yang melihat filem sebagai produk budaya yang melalaikan. Dalam dokumentari Jejak Rasul, ketika penggambaran dijalankan, maka ada juga madrasah tahfiz yang memberikan peluang kepada para pelajar menonton televisyen sebagai hiburan.

Hal ini berlaku di sebuah madrasah tahfiz Al-Quran di Chechnya, sedangkan di Malaysia, pelajar tahfiz tidak digalakkan menonton tv kerana dikhuatiri hal ini akan mengganggu kelancaran pengajian mereka sekali gus merencatkan proses hafalan mereka itu.

Sebenarnya, yang berlaku di Chechnya adalah, televisyen dan filem dimanfaatkan dengan tujuan pendidikan dan pengajaran. Filem-filem Islam atau filem kerohanian yang memaparkan biografi kehidupan wali-wali Allah itu ditayangkan bertujuan mendidik para pelajar tahfiz tersebut. Acara itu dipimpin oleh seorang guru yang kemudiannya akan mengendalikan sidang perbincangan berhubung filem-filem Islam bercorak kerohanian tadi.

Teknik pengajaran ini tentu sulit dilaksanakan di kebanyakan madrasah tahfiz Malaysia kerana kekurangan filem-filem Islam bercorak kerohanian itu. Jika kita kekurangan filem Islam bercorak kerohanian sebagai alat sokongan dan perkakas asuhan pengajaran untuk pelajar tahfiz, lalu marilah kita renungkan sejenak, bagaimana pula kita mahu mengasuh umat dalam keadaan kita ketandusan filem Islam selepas Ramadhan, menjelang Aidil Fitri dan Aidil Adha?

No comments: