Kemerdekaan bukan disambut dengan pekikan suara. Ia hadir dengan resapan kefahaman. Hari ini, peranan agama kuat mencengkam pemikiran, maka sambutan bahtera kemerdekaan mula karam ditenggelami kemeriahan Aidil Fitri.
Kemerdekaan tajaan Umno rapuh diabadikan dalam ingatan, dipaku pahat di kenangan. Kebudayaan Islam pula yang disebut. Umat pula kerap menyanyi lagu raya, menggemakan bualan tentang rendang, lemang, ketupat dan juadah warisan hari raya.
Perayaan kemerdekaan pun menjadi tenggelam kerana Umno tidak merakyatkan perjuangan pembebasan itu secara menyeluruh dengan menyebut nama tokoh perjuangan lain. Ketika Umno menyempitkan perjuangan mendapat kemerdekaan, kita tidak turut disentap batin nurani untuk menyambut merdeka.
Setiap Melayu Muslim sepanjang Ramadan telah berpuasa, merasai 'nikmat' lapar dahaga. Ketika menderita menanggung lapar dahaga, yang berpuasa pun sudah melalui penderitaan orang-orang yang belum bebas merdeka.
Orang yang berpuasa, akan menyelami derita orang yang belum bebas daripada penjajahan. Jadi, Islam pun hadir mengasuh jiwa untuk berjuang dengan memahami penderitaan orang lain.
Yang gagal diasuh Umno ialah usaha meresapkan rasa kasihan ke atas penderitaan kaum lain yang belum merdeka penuh. Kemerdekaan Malaysia tidak dihubungkait dengan bebanan penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin, selatan Thai dan selatan Filipina.
Melihat ini semua, perlahan-lahan kita meyakini bahawa Umno sudah pun kalah daripada segi moralnya dalam mempertahan idea-idea kemerdekaan ini, kerana rakyat tidak riuh membahaskan kemerdekaan negara. Ketika rakyat tidak mewacanakan kemerdekaan dengan ghairah, Umno melihat umat hilang patriotik. Sepatutnya, Umno perlu menyemak persoalan ini - kenapakah 'syiar' kemerdekaan Umno tidak seghairah sambutan Aidil Fitri?
Islam telah lama mengasuh jiwa agar tabah dan tahan didera selama sebulan diuji dengan kehausan dan dahaga. Ini tabiat orang yang berada di bawah penjajahan. Mereka tidak cukup bekalan makanan dan minuman. Di bawah jajahan Jepun, umat hanya makan ala kadar, persis kehidupan berpuasa yang kita jalani sebelum ini.
Umno hanya hadir bermodalkan semboyan, laungan dan teriakan merdeka ke atas rakyat, tapi Umno juga yang menjajah dengan menawarkan ketakutan terhadap 'tear-gas' dan akta zalim. Sebab itu kemerdekaan jadi sepi manakala sambutan Aidil Fitri dijunjung tinggi. Syariat Islam lewat puasa Ramadhan menawarkan tarbiyah ruhiyyah (asuhan kejiwaan) lalu seni kebudayaan Melayu Islam meraikan tujuh likur, ketupat, lemang, rendang termasuk lagu raya.
Perayaan kemerdekaan ciptaan Umno cuma diraikan Umno sementara Aidil Fitri anugerah Tuhan itu kemudiannya diolah mengikut budaya Melayu sejak berzaman. Kali ini, makin jelas kebesaran Allah s.w.t dan kekerdilan Umno. Proses kebudayaan Umno lewat perayaan kemerdekaan negara itu dipandang. Manakala, perayaan Aidil Fitri anugerah Tuhan itu disambut hati gembira dan lapang dada.
No comments:
Post a Comment