Sunday, September 25, 2011

Najib, Ramadan-Syawal bukan bulan berkonspirasi

Oleh BOESTAMAM SARI

Kita suka menonton kisah-kisah yang sering terjadi dalam masyarakat. Mereka bermesyuarat sebelum melakukan tindakan. Lazimnya, mesyuarat yang bermotifkan kejahatan itu dinamakan konspirasi.

Dalam Al-Qur'an, Nabi Yusuf a.s pernah bercerita kepada ayahnya mengenai sebelas bintang matahari, bulan yang tunduk kepadanya dalam mimpi. Lalu, Yusuf pun diberi peringatan agar tidak menceritakan mimpi itu kepada saudaranya. Yaakub a.s risau jika Yusuf menjadi mangsa konspirasi jahat saudaranya.

“Ketika saudara-saudara Yusuf berkata: "Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata."

“Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh agar perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna."

“Salah seorang antara mereka berkata: "Janganlah kamu membunuh Yusuf, tapi buang dia dalam pergi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu."

Kisah ini diperihalkan dalam Surah Yusuf, ayat 8 hingga 10. Ia memuatkan dialog perbincangan saudara Yusuf yang berkomplot jahat untuk memusnahkan ikatan kasih sayang bapa mereka terhadap Yusuf.

Komplot konspirasi ini memang sudah menjadi lumrah manusia yang jahat. Sejak awal Ramadhan lalu, bertepatan 1 Ramadan, telah ada pemecatan beramai-ramai di Dawama. Ini pun adalah konspirasi jua.

Sebelum pemecatan pekerja itu, barangkali ada mesyuarat, komplot dan rancangan untuk berhentikan mereka. Tiada sutradara filem, drama yang dapat mencungkil kisah benar pergelutan Dawama-DBP ini kerana mereka khuatirkan periuk nasi mereka terjejas.

Kisah komplot konspirasi ini hanya tertuang dalam kisah terindah (Ahsanil Qashahi), iaitu Surah Yusuf. Manusia cuma berani menuang curahan ilham mengenai cerita jenayah benar yang diangkat daripada fail-fail polis. Termasuk juga kisah jenayah orang-orang bawahan yang sudah pun dipenjarakan.

Jika kisah-kisah jenayah pembunuhan itu terkait dengan ahli politik (Altantuya misalnya), maka ia akan didiamkan begitu sahaja. Misalnya skandal kapal selam. Sutradara mana yang berani memfilemkannya setakat ini? Siapa pula yang berani melakonkannya atau menulis skrip filem jenayah pembunuhan itu?

Berhubung konspirasi pergolakan dalaman DBP yang dikait dengan kejatuhan Dawama tentu saja tiada yang berani mengenengahkannya kerana hal ini melibatkan kerajaan persekutuan. Drama, filem begini tentu sekali mengganggu keselesaan orang-orang atasan.

Itu kisah konspirasi Dawama pada awal Ramadhan. Di pertengahan dan akhir-akhir Ramadhan, banyak konspirasi terjadi antara SPR – Umno bagi mengekalkan kuasa. Terbaru, bekas menteri besar Selangor, Khir Toyo mendakwa bahawa ada tiga menteri yang mahukan dirinya dipenjarakan. Kalau dakwaan ini, benar sekali pun, maka Khir mesti insaf bahawa konspirasi memenjarakan Anwar ini berlangsung sejak Ramadan belum tiba lagi. Malah, konspirasi liwat kali kedua ini berlaku jauh lebih lama.

Tetapi agak tidak lojik memikirkan bahawa dengan pemenjaraan Khir, maka BN dapat rampas Selangor semula. Tapi itulah keyakinan Khir Toyo sebagai yang tercatat lewat blognya. Katanya, seorang menteri berkata kepada dua menteri lain bahawa jika mahu dapat kembali Selangor maka Khir perlu didakwa.

Tambahnya lagi, menteri yang sama juga menyatakan bahawa jika BN mahu menang di Selangor, maka Khir perlu ditahan. Khir menulis, “Saya tidak mahu percaya mereka berupaya mengarahkan hakim atau hakim akan mendengar arahan kumpulan ini.

Nampaknya, dia yakin bahawa ada usaha mengenakannya melibatkan arahan ke atas hakim. Benarkah ada usaha sebegitu? Mungkin juga ia benar kerana Khir tidak menaruh bimbang lagi ketika menulis hal sebegini. Lagi pun, dalam sejarah MB Selangor dipenjarakan bukan baru. Antaranya, Harun Idris.

Tiba-tiba, kedengaran konspirasi baharu – Nazri Aziz menjadi ejen 'perpaduan' antara parti komponen Pakatan Rakyat. Mungkin beliau disuruh Najib Razak untuk membawa DAP ke dalam BN. Tetapi, jarum muslihat itu tidak dapat disulam jauh ke dalam jubah DAP.

Umat tahu dan bijak menilai bahawa Umno kehilangan undi Cina dan penyertaan DAP ke dalam BN itu diharapkan dapat membawa semua undi Cina ke dalam BN yang hampir rebah itu. Undi kaum Cina ke atas MCA dan Gerakan ternyata sulit juga didapati dan Umno perlu menukar strateginya dalam bulan Ramadan ini. Tetapi, ternyata DAP juga sudah mula menolak.

Dan, amat Mustahil juga jika Umno ingin menjemput PKR dalam Umno kerana proses menghancurkan karier politik Anwar masih berlangsung kini hingga Syawal menjelma tiba serta berakhirnya pula entah bila. Kita cuma tinggal berharap sambil berdoa semoga Najib Razak faham bahawa Ramadan itu bulan mulia dan tinggalkanlah segala pekerjaan konspirasi bersama SPR dan jentera-jentera kerajaan lainnya.

No comments: