Wednesday, October 05, 2011

Sastera sejarah' perlu ketengahkan perjuangan Mat Indera

Oleh H FANSURI

Apabila Perdana Menteri 'mengiktiraf' arwah Noramfaizul Mohd Nor, bekas jurukamera BernamaTV sebagai wira, maka 'pengiktirafan' itu bukan wujud dalam kekosongan. Jauh di sudut hati Najib Razak, beliau ingin beritahu semua orang, bahawa Timbalas Presiden PAS Mohamad Sabu itu tidak betul ketika menyebut Mat Indera sebagai salah seorang wira negara.

Rakyat tiada masalah dengan pengiktirafan jurukamera ke Somalia itu. Yang ada masalah dengan rakyat ialah Najib Razak. Tujuan Najib berkata begitu, kerana beliau mungkin menyerang secara serampang dua mata - sambil mengiktiraf pejuang Somalia, Najib mencela pihak tertentu yang mengiktiraf Mat Indera sebagai wira.

Najib berdepan dengan masalah kerana mata hati nurani rakyat saat ini sudah pun celik. Lidah pula sedang riuh-rendah mendendangkan kedudukan Mat Indera sebagai wira ketika ramai pihak pula mencelanya sebagai pengkhianat.

Mat Sabu bukan ahli sejarah. Jadi beliau mungkin salah dan jangan menolak pula bahawa kemungkinan beliau betul dalam beberapa fakta. Oleh kerana dia bukan ahli sejarah, maka tidak perlulah media Najib Razak terlalu melulu mengganyang kenyataan Mat Sabu itu secara kepartian.

Cuba beri peluang untuk muzakarah di tv, jemput pula pakar sejarah untuk berdialog terbuka, dibuat siaran langsung. Tapi, hal ini tidak dilakukan kerana lebih banyak rahsia gelap Umno yang tersorok, bakal terbongkar. Lagipun, hal mengganyang Mat Sabu ini pun memang dibuat sebab pilihan raya makin mendekat.

Lalu, imej Mat Sabu itu perlu diruntuhkan. Pakatan Rakyat didesak agar memperlihat sikap mereka sama ada mahu menyokong kenyataan Mat Sabu atau tidak. Jikalau silap langkah, ia berterusan dimomokkan kepada rakyat, bahawa kononnya Pakatan Rakyat mendokong komunis dan pengganas mengganas untuk mengambil alih negara kita yang aman makmur sejahtera bahagia selama ini. Sikap Umno ini persis sikap penjajah British pada zaman darurat.

Mat Sabu, ketika menyampaikan pidato ceramah kemerdekaan itu, beliau bukannya tidak baca sejarah walaupun dia bukan ahli sejarah. Pustaka mini di rumahnya penuh dengan buku karangan Marx, Lenin, Mao Ze Dong ('khalifah' komunis) di China dan tokoh-tokoh komunis lainnya. Ertinya, dia membaca juga sebelum membuat kenyataan itu. Pendek kata, sebagai sosok yang bukannya ahli sejarah, tidak sepatutnya Mat Sabu dilayan sebegitu.

Filem Bukit Kepong yang dikait dengan serangan komunis ke atas polis itu pun, tetap sahaja wujud kejujuran kerana Jins Shamsuddin menonjolkan British menguasai pasukan polis. Jadi, hujah Umno patah melalui filem ini juga (itu pun jika Umno anggap British sebagai penjajah).

Kecelaruan fikiran dalam isu serangan Bukit Kepong ini berlaku kerana Umno mencampuradukkan antara kedua-dua isu dalam satu mangkuk perbahasan. Pertama, isu kedudukan komunis sebagai pengganas; kedua, isu komunis sebagai pengusir penjajah British. Kesilapan Umno ini adalah memasukkan dua perencah isu ini dalam satu masa, maka rencam kelirulah jadinya perbahasan mencari kebenaran yang memang sedia jelas terpampang di depan mata.

Umno tidak sepakat dalam kedudukan Mat Indera. Umno Johor mengiktiraf Mat Indera sebagai salah seorang daripada 150 tokoh terbilang Johor. Dalam buku Pengukir Nama Johor terbitan Yayasan Warisan Johor, Mat Indera disebariskan dengan pejuang kemerdekaan. Malah, di laman buku ini, jelas wajah Mat Indera terpampang di muka depan buku itu. Rasanya, buku kesusasteraan sejarah perlu mengangkat kisah penuh Mat Indera untuk mengusir fikiran jahat Umno sehingga mengganggu keliru pemikiran rakyat.

No comments: