Kita perlu jelas terhadap suatu hal, iaitu British adalah penjajah. Hakikat ini tidak boleh diubah. Jepun juga adalah penjajah dan hakikat ini tidak boleh diubah sampai bila-bila pun. Mana-mana kitab sejarah yang memusingkan fakta bahawa kuasa Jepun, British dan Portugis sebagai tuan kita adalah tertolak.
Sarjan Hassan arahan P Ramlee menunjukkan askar Melayu berjuang melawan Jepun dan bernaung di bawah British. Ini tidak bermaksud British itu baik dan Jepun jahat. Tetapi, kita tiada pilihan paling baik ketika itu melainkan terpaksa bergabung dengan penjajah British untuk merdeka Jepun.
Filem Embun juga menceritakan orang-orang kampung yang bergabung dalam Force 136 tajaan British untuk melawan Jepun. Kita terpaksa bergabung dengan suatu kuasa penjajah lain bertujuan mencapai kebebasan total dan kemerdekaan penuh.
Dan, kiaskan juga dengan Leftenan Adnan yang terpaksa ikut bertempur dengan Jepun di Bukit Candu, Singapura. Mereka bergabung dengan British untuk melawan Jepun; sebuah kuasa penjajah juga. Kita tidak bermaksud hendak membahaskan penjajah mana lebih baik dan penjajah mana lebih jahat.
Setidak-tidaknya, Embun, Leftenan Adnan dan Sarjan Hassan – walaupun membantu penjajah British, tetapi ia tetap memerangi kuasa penjajah Jepun juga akhirnya.
Selain Jepun, penjajah British mempunyai ramai musuh termasuk anak-anak Melayu tempatan, selain komunis. Rata-rata komunis Cina mula insaf dengan kedudukan British sebagai kuasa penjajah selepas Jepun mula menduduki Tanah Besar China, setelah mengusir keluar British daripada negara itu.
'Komunis' (namanya MPAJA saat penjajahan Jepun itu) turut dibantu British dengan kaedah yang sama ketika Jepun menjajah Tanah Melayu. British menawarkan bantuan dengan sejumlah alat kelengkapan persenjataan yang rapi agar komunis (MPAJA) menumbangkan penjajahan Jepun itu.
Tiba-tiba, setelah Jepun menyerah kalah pada 1945, puak-puak MPAJA yang menjadi komunis ini pula yang diserang dan digelar British sebagai pengganas. British menggelar komunis sebagai pengganas itu setelah komunis (MPAJA) tadi keluar menentang British pula.
Dan deretan pengalaman inilah yang tertuang di dalam filem Bukit Kepong itu. Bukan tidak ada babak tentang British yang sedang bermesyuarat dengan penduduk kampung apabila membahaskan tatacara dan kaedah untuk menangani serangan pihak komunis itu.
Mengkaji kemerdekaan dengan menonton filem-filem ini boleh meningkatkan tahap kecerdasan akliah juga. Kita boleh melihat bagaimana darah tentera Melayu kita masih mengalir untuk orang lain dalam filem Black Hawk Down yang pernah menimbulkan kemarahan tentera kita pada suatu ketika dahulu.
Kita akan sedar betapa penjajahan itu masih tetap terjadi hingga kini. Kecurangan di dalam filem Black Hawk Down telah mendedahkan betapa kuasa penjajah Barat khasnya Amerika Syarikat ini akan selalu meneruskan agenda penjajahan cara lama, iaitu memperalat tentera Melayu sejak dulu hingga kini.
Maka, seperti mana jasa dan sumbangan tentera Melayu hari ini dinafikan dalam filem itu, maka itulah juga yang terjadi pada masa lalu seperti mana British telah memperalat orang Melayu untuk melawan Jepun melalui Force 136. Inilah juga kaedah yang mereka guna, iaitu memperalat tenaga askar Melayu untuk menyerang Jepun di Bukit Candu, Singapura sehingga mengorbankan Leftenan Adnan.
Semua filem ini makin mengesahkan bahawa kita memang terjajah dan masih keliru dalam pasungan kerangka fikiran penjajah, sehingga serba-serbinya kita ambil tiru daripada penjajah, sehingga bendera kita pun masih melekat kuat kepada corak bendera kuasa Barat Amerika.
Dalam Black Hawk Down, kita dapat melihat betapa kumpulan pemberontak ini memang anti Amerika sehingga mereka pernah menyerang Amerika. Agaknya, mungkin juga pemberontak ini masih teringat sikap tentera Malaysia yang berhempas pulas menyelamatkan tentera Amerika yang mereka benci itu.
Timbul juga soalan yang kerap berlegar di fikiran ramai orang - adakah serangan yang mengorbankan jurukamera Bernama TV itu adalah kesan daripada ingatan dendam mereka yang tidak pernah surut dalam ingatan lalu. Adakah kumpulan pemberontak di Somalia ini masih menyimpan api bara dendam kepada kita yang telah menawarkan bantuan terhadap tentera Amerika sebelum ini.
Demikianlah yang boleh kita bicarakan mengenai filem-filem bercorak kemerdekaan itu. Yang disimpul daripada semua hal di atas ialah, sekurang-kurangnya, filem-filem kemerdekaan yang mempersembah fakta-fakta yang salah itu boleh kita semak-semak semula untuk dicarikan kebenarannya kemudian.
Misalnya, dahulu orang melihat filem Bukit Kepong sebagai lambang ketabahan pasukan polis kerajaan (baca British) melawan pengganas komunis. Namun, hari ini, perlahan-lahan rakyat telah mula bangkit sedarnya setelah menyedari bahawa mereka tertipu sebab ditipu oleh kekeliruan sutradara filem itu.
Mereka yang menonton filem Bukit Kepong tentu dapat melihat kelibat pegawai tentera British sedang berbincang dengan penduduk kampung berhubung cara-cara menangani serangan komunis. Lalu, wira yang tidak dikenali sebelum ini seperti Mat Indera yang suatu ketika dahulu surut dalam fikiran orang, kini perlahan-lahan mula timbul di permukaan sejarah tanah air.
Syahadan, arwah Noramfaizul yang maut dalam insiden kemalangan di Somalia baru-baru ini, keadaan beliau itu mirip sama sama seperti Leftenan Adnan yang terkorban ketika bertugas di bawah British itu sendiri. Terhadap mereka itu, kita tidak pernah pula menyatakan mereka tidak berjasa. Mereka itu tak pernah bersalah sebenarnya, kerana mereka terkorban saat bertugas di bawah orang yang tidak jujur.
Mereka yang terkorban dalam kategori ini, kita sedekahkan Al-Fatihah dan kita tidak mencela mereka, sama seperti polis yang terkorban dalam insiden di Bukit Kepong. Yang dicela adalah British dan Umno yang memperalat polis, tentera dan wartawan demi kepentingan mereka menjulang nama 1Malaysia.
No comments:
Post a Comment