Saturday, October 08, 2011

Polemik Komunis, serampang dua mata, musnah reputasi dan lalai

Oleh RUHI HAYATI THANI

Laporan polis ke atas kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sebelum ini tidak masuk akal. Memberi pendapat dalam negara ini bukannya suatu jenayah. Berucap itu menggunakan tenaga akal fikiran. Berfikir itu anjuran agama Islam. Maka, berfikir bukanlah suatu dosa dan jenayah.

Laporan polis itu pula tiba-tiba menjadi serentak diadakan di serata negara. Ini menunjukkan seolah-olahnya ada gerakan terancang. Seolah-olahnya, dalam sehari dua sebelum itu, sudah pun ada suatu mesyuarat tersusun untuk mengagihkan pihak tertentu untuk membuat laporan polis serata negeri.

Laporan polis itu mungkin cuma bermotifkan suatu perkara sahaja, iaitu mendesak pihak polis membuat siasatan bagi merosakkan imej, reputasi Timbalan Presiden PAS di mata rakyat.

Punca desakan itu amat kecil sebetulnya, iaitu beliau menafikan Tunku Abdul Rahman sebagai wira. Dan, hanya dengan sebab Mohamad Sabu menggemakan kedudukan Mat Indera sebagai wira negara, bagi menggantikan kedudukan pemimpin Umno selama ini, justeru bertalu-talu pertuduhan, bertubi-tubi pula parang dakwaan yang ditala tikam ke atas batang tubuh beliau sehingga berhari-hari pula.

Kita katakan kecil kerana, bukan Mohamad Sabu seorang yang berkata sedemikian. Sebelum beliau itu ramai lagi yang membuat desakan agar lagu Negaraku itu diubah. Ini kerana lagu asalnya; Terang Bulan itu tidaklah mencerminkan jiwa kemerdekaan dalam erti kata yang sebenarnya.

Jadi, bukan Timbalan Presiden PAS sahaja yang berkata sedemikian. Termasuklah gesaan supaya wajah dan rupa paras bendera Malaysia diubah ke arah citra hati nurani Malaysia yang sebenarnya. Jadi tidak Mohamad Sabu seorang yang berkata sedemikian. Ramai lagi. Tiba-tiba, hanya beliau yang diserang.

Apakah yang ada dalam fikiran Umno sekarang? Hal ini tidak diketahui. Televisyen mempertikai hujah beliau dengan menaja cakap-cakap ahli akademik secara propaganda tanpa melibatkan ucapan musuh parti mereka. Mujurlah kita hidup bernafas pada zaman Youtube dan Facebook. Jadi, kita dapat telaah dan meraih semula isi perbincangan ini dengan sihat.

Ya, serangan ini sungguh tidak masuk akal. Semua tahu bahawa Mohamad Sabu bukanlah seorang ahli sejarah. Apa salahnya, jika faktanya salah sekali pun, maka hal ini dapat dibetulkan secara berhikmah. Ceramah malam itu adalah ucapan pidato di atas pentas politik, dan boleh dinafikan sejarahwan pro-Umno hanya dalam beberapa hari sahaja. Kemudian, terus tutup buku. Tamat dan khalas!

Tapi, hal itu tidak berlaku. Polemik itu kekal berpanjangan dalam masa yang lama. Modal mereka hanyalah filem Bukit Kepong. Mujur Jins Shamsuddin bersikap 'jujur' apabila beliau mengarahkan filem itu. Turut disertakan babak British bertemu orang Melayu untuk patahkan strategi komunis di Muar.
Setelah media dengan begitu kejam mengecam watak pimpinan PAS dengan tuduhan yang tidak boleh dijawab, maka pihak PAS menawarkan rundingan untuk berdebat secara baik.

Tetapi, sehingga catatan ini ditulis, Umno, khasnya presiden parti itu, Najib Razak belum lagi menyahut seruan Salahuddin Ayub dan Mohamad Sabu agar dibuat suatu jawatankuasa agar dilaksanakan debat Parlimen berhubung penulisan semula sejarah tanah air ini.

Demikianlah halnya. Jika debat itu berlaku, nescaya akan lebih banyak bilah-bilah kebenaran yang akan timbul terapung di permukaan, sekali gus menampakkan hakikat sejarah negara kita dalam rupa wajah yang sebenarnya. Hal seperti inilah yang sangat dibimbangi oleh Umno.

Jadi, debat pun tak akan pernah berlaku dan mustahil terjadi. Yang ada, hanyalah laporan polis supaya diadakan siasatan dan terus dijatuhkan hukuman. Budaya debat Umno itu pudar dan hangus rentung.
Itulah yang terjadi akhir ini. Saat ini, longgokan laporan polis dikemukakan ke atas Mohamad Sabu itu. Jadi, oleh kerana wujudnya laporan polis daripada serata negeri, maka menjadi keperluan pula supaya polis mengeluarkan kertas siasatan ke atas kenyataan Timbalan Presiden PAS itu.

Semua ini kaedah bagi menyimpang fikiran rakyat daripada berterusan memikirkan operasi pemutihan daftar pengundi selama ini. Ini semua adalah kekecohan, 'chaos' yang diciptakan bertujuan mengaburi fikiran umat daripada berterusan berbahas isu pilihan raya yang tempang pincang kini.

SPR dan Umno terpaksalah menutup jalan berfikir rakyat dengan berterusan menghangatkan polemik ini daripada semasa ke semasa supaya perbincangan mengenainya akan selamat.

Kepada mereka yang sedar dengan strategi busuk ini, maka tulisan ini tidaklah bermaksud supaya kita tidak berbicara lagi mengenai Mat Indera. Teruskan berbincang mengenai siapakah wira-wira sejati itu, tapi janganlah sampai mengabaikan urusan pembersihan senarai daftar pengundi di tangan SPR itu. Inilah bahana kesan polemik komunis yang berpanjangan itu - ia memusnahkan reputasi pimpinan Pakatan Rakyat sekali gus melalaikan rakyat daripada isu sebenar, iaitu pembersihan senarai daftar pengundi oleh SPR.

No comments: