Oleh H FANSURI
Ketika hampir menyambut Hari Merdeka, rakyat dikejutkan dengan hal penukaran nama Puduraya kepada Pudu Sentral oleh Perdana Menteri Najib Razak. Fikiran ini warisan penjajahan British Barat yang masih berpanjangan hingga kini. PPSMI juga masih belum dimansuh. Yang ada, hanya penundaan. Pada hakikatnya adalah penipuan. Sasterawan Negara Dato' A Samad Said sejak awal menyedari helah ini. Tapi, masih ramai yang percayakan Muhyiddin.
Kini, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) sedang berusaha merangka susunan pergerakan baharu kali ini. Pada masa ini, patutnya kita tidak lagi berjuang mendaulatkan bahasa dalam negara, malah sudah menjadikan bahasa ini setaraf bahasa bangsa lain di dunia. Nampaknya, tamadun Melayu Melaka itu jauh lebih berjaya dibanding pemerintahan BN hari ini.
Di bawah kibaran panji penjajahan Umno, kepenggunaan bahasa Melayu dalam filem-filem ketika Aidil Fitri kini penuh berbaur keganasan. Telah wujud kemasukan kata-kata dari jalur sekumpulan samseng dan mat rempit. Kita perlu sedar bahawa kepenggunaan mutu bahasa yang baik menunjukkan kita bebas dan merdeka kerana tidak 'meminjam' bahasa bangsa lain.
Kita tidak hairan dengan pencemaran budaya dan penjajahan bahasa dalam filem yang dilakonkan orang bawahan. Jikalau Najib boleh menukar Puduraya kepada Pudu Sentral, ini menunjukkan nyalaan api penjajahan masih bersemarak, membakar rentung fikiran umat hingga hangus luluh binasa.
Saya terserempak dengan beberapa filem Indonesia yang mengetengahkan hasil sumbangan kelompok penyair negara mereka, misalnya W S Rendra dan Chairil Anwar. Membuat bandingan begini ke atas filem-filem yang tersiar sepanjang Aidil Fitri ini, maka tidak pula kelihatan filem kita yang menonjolkan sejarah hidup, mutu karya penyair-penyair kita yang tidak kalah mengirim pesan dan nasihat mengenai makna hidup merdeka.
Saya difahamkan bahawa ada acara sambutan bagi mengenang Usman Awang. Tetapi, masih tiada sebarang filem yang mengabadikan watak penyair ini termasuk garis kehidupan A Samad Ismail dan lain-lain. Walhal, dengan biografi A Samad Ismail di Singapura, garis kehidupan perjuangannya sudah layak difilemkan. Ya, ia boleh difilemkan jika Umno jujur ke atas tuduhan komunis ke atas Pak Samad dan Finas pula tidak akan memotong babak tuduhan keras Umno ke atas sosok wartawan sasterawan itu.
Sehingga kini, kita hanya boleh menonton filem Ada Apa Dengan Cinta yang menyelitkan kepenyairan Chairil Anwar dan buku kumpulan sajaknya. Dalam filem 3 Hati, 2 Dunia, 1 Cinta turut mengetengahkan himpunan sajak W S Rendra, seorang penyair revolusioner Indonesia.
Di Malaysia, kita sekadar ingin bertanya Najib apakah wujud filem yang merangsang ingatan terhadap bayangan sosok penyair tanah air? Tiada setakat ini, kisah siswa sastera (jika filem drama itu berlatarbelakangkan kampus) yang menelaah Putera Gunung Tahan Pak Sako, tiada babak kuliah pensyarah yang mendorong siswanya menyantap isi kepala Dr Burhanuddin Al-Hulaimy.
Mungkin ada yang berkata - sosok di atas itu aliran Sosialis dan Komunis. Baiklah lihat filem bercitra Islami; Ketika Cinta Bertasbih (Habiburrahman El-Shirazi). Di sana ada dialog siswa Universiti Al-Azhar yang mengangkat wacana kitab Al-Hikam, Ibnu 'Atha'illah Al-Askandari. Ya, baik aliran Islami dan Sosialis-Komunis, filem mereka tetap subur dengan sajian, ramuan terbaik lewat filem-filem itu. Jadi, kita kini di tahap mana?
Syahadan, marilah bermuhasabah, melakukan bedah siasat mengenai masa depan filem negara di samping kita menyambut kemerdekaan pada hari raya Aidil Fitri, di samping bermuhasabah mengenai tragedi berdarah di Somalia baru-baru ini juga.
No comments:
Post a Comment