Saturday, October 15, 2011

Zainal Kling 'dikutuk rapat' arwah Azizi Abdullah

Oleh H FANSURI

Banyak benar kisah yang disimpan dalam fikiran, terkurung meredap dan lama terendam di hati. Kisah ini semua kalau disiarkan akan lukakan hati ramai pihak. Apabila direnung, saya fikir, sesekali kita perlu kelukaan itu, kerana di dalam tubuh ada 'darah kotor' (racun toksik).

Sebab itu, nabi berbekam untuk keluarkan darah kotor. Mengeluarkan darah kotor memang sakit kerana terpaksa menyiat-nyiat daging, melukakan kulit. Tetapi, faedahnya besar, iaitu tubuh jadi sihat lantaran kekotoran sudah tertanggal daripada tubuh. Lalu, saya fikir, perlu diriwayatkan kisah sosok yang tergamak mengeluarkan kata-kata yang tidak masuk akal baru-baru ini, iaitu Zainal Kling.

Aktivis siswa Sosialis Indonesia; Soe Hok Gie, kerap ditegur kerana menulis nama orang dengan jelas dalam penulisannya. Gie berkata, dia bersedia dengan kecaman balas orang yang dia tuliskan dalam penulisannya di akhbar.

Alkisahnya, pada suatu malam di Bucu DBP, Azizi bercerita hal Zainal Kling mengucap tahniah kepadanya. Azizi kembali bertanya, "Tahniah pasai pa ni?"

Zainal menjawab, "Alah... atas semua perkaralah..."

Itu babak bualan ringkas antara mereka seperti yang diriwayatkannya kepada kami. Katanya, pujian itu 'tidak jujur'. Bertolak daripada sinilah saya ingin bicarakan hal kecurangan ahli akademik, walaupun kita berguru kepada mereka.

Plato atau Aristotle berkata, kita hormati guru, tapi kita juga hormati kebenaran. Dalam hal ini, saya ingin sentuh sikap tidak jujur ketika Zainal berkata - Malaya tidak dijajah British. Ya, kini Tuhan sudah mengirim pensyarah yang terang-terangan mendedahkan bahawa Malaya ini tidak pernah dijajah.

Secara ijmak BN-Pakatan Rakyat akui Malaya dijajah. Mereka berbeza dalam satu hal. BN dakwa Tunku Bapa Kemerdekaan dan Pakatan Rakyat nyatakan pendirian agar jangan nafikan haluan kiri; ulamak Gunung Semanggol, Mat Indera, Ibrahim Yaakob, Dr Burhanuddin Al-Hulaimy dan lain-lain.

Saya fikir, ketika membentang buah fikirnya itu, Zainal jadi curang. Sepatutnya, dia menolak pendirian Pakatan Rakyat-BN yang 'mengimani' kepenjajahan British di Malaya secara adil. Tapi, beliau seolah-olah berat sebelah sebab penjelasannya lebih ke arah mengecam Mat Sabu.

Moga Ketua 'Cluster' (perkataan ini menandakan kita dijajah) Majlis Profesor Negara ini akan kirim memo kepada Najib untuk 'betulkan' sejarah, atau menulis Jurnal ISI untuk ditelaah ahli akademik sedunia termasuk PBB yang pernah isytihar bahawa Malaya itu dijajah atas nama Malayan Union.

Bermodal hujah 'Malaya tak pernah dijajah', beliau kecam Mat Sabu, tapi tidak berani mendepani Najib, menulis jurnal dan tidak berani berhujah dengan akademik luar. Maka kritikan arwah Azizi yang terpaku keras, terpahat lama diingatan saya ada benarnya. Hal benar salah sudah tidak penting di sini. Isu yang dibahas di sini adalah hal sikap; antara kejujuran dan kecurangan ahli akademik.

"Mereka pengampu..." kata novelis Seorang Tua Di Kaki Gunung itu kepada kami; ashabul PENA pada pagi dinihari itu. Ini menjelaskan suatu hal, bahawa kebanyakan pensyarah yang bernaung di bawah MPN itu curang dengan ilmunya. Untuk arwah Azizi... kita kalung dengan sejambak karangan Al-Fatihah.

No comments: