Sunday, October 16, 2011

Apabila sastera, sejarah dibuang orang

Oleh H FANSURI

Ada tiga ilmu yang wajib dipelajari; sejarah, sastera dan falsafah. Ilmu agama terpecah tiga - Tauhid, Fiqh dan Tasauf. Semua ini - tiga ilmu agama, tiga ilmu akademik wajib dipelajari.

Falsafah tidak diajar di sekolah rendah, menengah. Di IPT ia khas kepada orang tertentu. Sastera jadi khusus di tahap menengah dan IPT. Sejarah, hanya diwajibkan apabila berlaku apabila ada orang mula mempertikai Ketuanan Melayu.

Tempangnya tiga ilmu serangkai menjadikan rakyat tidak sihat berfikir. Makanan ilmiah tidak cukup gizinya seperti tubuh, perut tidak mendapat tiga hak gizi; protein, vitamin
dan karbohidrat. Akal juga perlukan ilmu tauhid, fiqh dan tasauf disamping. sejarah, falsafah dan sastera untuk berfikir rapi.

Semua ini menolong setiap insan merumus teori, hukum perundangan, fiqh, ilmu yang asalnya peribadi. Kemudian, faham peribadi itu dimajukan dalam masyarakatnya. Imam As-Syafie merumus hukum fiqh lalu ia mengembang aliran itu sehingga ke Alam Melayu. Kiaskan juga hal ini ke atas failasuf lain. Perkembangan ilmu dimulai pergolakan debat awam (dialog), debat dalaman ruh (monolog, cetusan renungan dalaman jiwa sendiri).

Setelah itu, barulah faham peribadi terangkat sebagai hukum perundangan, teori dan ilmu. Setelah diputuskan kedudukan faham itu sebagai hukum maka yang melanggarinya, boleh dihukum. Untuk fahamkan hal ini, kita tinjau peraturan jalan raya.

Perundangan itu berbunyi - (1) berhenti (lampu merah); (2) bersedia berhenti (lampu kuning) dan; (3) berjalan (lampu hijau). Lalu mereka yang menyalahi hukum persetujuan ramai ini, maka hukuman pun dijatuhkan.

Tiba-tiba, lampu isyarat tidak berfungsi. Ketika ini, hukum jalan raya harus dilanggar pemandu, kerana mereka ada urusan. Ketika lampu isyarat, hukum tidak berfungsi, pemandu tidak boleh dipersalahkan kerana hukum jalan raya telah terbatal. Tidak boleh penguatkuasa menyaman atas alasan wujudnya perlanggaran hukum lalu lintas.

Arakian, baru-baru ini, seorang pensyarah merumuskan bahawa Malaya tidak dijajah. Beliau tidak hanya menyatakan sebegitu sahaja, malah menyebut 'hukum'nya, "Barangsiapa yang menyatakan bahawa, Malaya terjajah sejak berabad lalu, maka hal itu adalah kesalahan besar!"

Di sinilah kesilapan Zainal Kling, iaitu menghukum mereka yang menyatakan Malaya terjajah sudah bersalah besar. Sepatutnya, beliau beradab dengan berkata - kini sudah wujud pertembungan dua aliran pendapat, lalu debat mengenainya mestilah diteruskan.

Iaitu, pihak yang menyatakan Malaya dijajah mestilah beradu debat dengan Zainal Kling. Tidak boleh dengan tiba-tiba Zainal Kling isytiharkan Malaya ini tidak dijajah, lalu beliau melulu menyatakan bahawa selepas ini, mereka yang beranggapan Malaya dijajah sudah bersalah besar.

Seperti contoh hukum lampu isyarat yang terbatal kerana sudah berlaku kecelaruan, maka rakyat tidaklah boleh dihukum sebegitu oleh Zainal. Kenyataan 'Malaya jajahan British' sebagai 'ilmu' telah terbatal dengan sebab fakta Zainal. Oleh itu mereka yang menyatakan Malaya itu terjajah atau tidak, sudah tidak boleh dihukum. Murid sekolah yang menjawab peperiksaan, dan mahasiswa yang menulis tugasan ilmiah bersejarah tak boleh dikurangi markahnya sama ada mereka menganggap Malaya terjajah atau pun tidak.

Seperti perundangan jalan raya, melibatkan lampu isyarat. Kalau lampu sudah tidak berfungsi, maka perlanggaran peraturan sudah tidak boleh dihukum.

Lalu hukum, ilmu yang diimani sejumhur umat hari ini secara ijmak - Malaya terjajah sekitar 5 abad yang lalu - sudah tidak menjadi ilmu dan hukum lagi. Dan, ia perlu didebatkan semula untuk diangkat sebagai hukum dan ilmu baru. Dalam tempoh itu, sesiapa pun, khususnya Zainal Kling diharamkan untuk menghukum sesiapa sebagai pesalah, jika mana-mana pihak tidak mengikuti pendapat mereka.

Itu belum lagi disentuh hal kecurangan pensyarah. Tiba-tiba, ketika Mohamad Sabu berkata Mat Indera perlu dinobat sebagai wira, Zainal tampil dengan pandangan baru. Begitulah ketika sastera, sejarah dan falsafah tidak dipasak kukuh ke dalam fikiran umat. Mereka menjadi mudah dikelirukan.

No comments: